Dua tiga

126 15 3
                                    

"ASSALAMUALAIKUM, mak su."

Bicara mak su terhenti saat dicelah satu suara garau.

"Waalaikumussalam," jawab mak su dengan riak kehairanan.

Mereka sama-sama terkejut dengan kehadiran seorang lelaki yang kini berdiri betul-betul di sebelah Sakinah.

Sakinah tak terkata. Kenapa Iddin tiba-tiba datang sini? Iddin nak apa?

"Eh, tak apa ke saya panggil mak su ni?" Iddin menyoal dengan senyuman mesra.

"Kamu siapa?" Mak su menyoal hairan. Dia tak pernah lihat lagi wajah anak muda di hadapannya ini. Sudahlah tiba-tiba datang, panggil pula dia dengan panggilan 'mak su'.

"Saya Syed Iddin."

Mata mak su meluas. Nama yang tak lagi asing pada pendengarannya "Iddin... tunang Kinah?"

"Mak su..." Sakinah cuba mengalih topik namun dipintas Iddin.

"Ya, tunang Sakinah." 

Sakinah memandang Iddin dengan riak tak percaya. Apa benda yang Iddin tengah buat ni? Kenapa muka tu nampak yakin sangat eh?

"Duduklah, Iddin. Ni baru pertama kali aku tengok muka tunang Kinah. Kacak juga orangnya!"

Tersenyum gembira mak su dengan kehadiran lelaki yang dikatakan tunang kepada anak saudaranya ini. Nampaknya inilah lelaki yang dipilih oleh kakak dan abang iparnya. Boleh tahan juga...

"Kalau boleh, saya memang nak duduk dan berbual dengan mak su. Tapi saya terpaksa bawa Kinah pergi dekat Nek Jah. Nek Jah panggil Kinah, katanya ada nak minta tolong sikit."

"Oh... Jadi biar Kinah ajelah yang pergi. Kau duduk sini, Iddin. Mak su ada nak tanya-tanya sikit." Mak su menepuk-nepuk kerusi yang kosong di sebelah.

"Kinah dengan Iddin pergi dululah, mak su. Mesti Nek Jah ada nak minta tolong kami berdua tu. Lain kali pula kita berbual." Sakinah yang tak mahu Iddin menerima pelawaan tersebut, terus berdiri lalu bersalaman dengan Natasha dan mak su. Pantas saja pergerakannya tika itu.

"Kinah pergi dulu. Nanti kalau ada masa, Kinah melawat mak su dekat rumah mak su, ya?" Hanya itu yang diutarakan Sakinah sebelum dia berlalu pergi. Sempat isyarat mata diberi kepada Iddin untuk cepat-cepat berlalu pergi dari situ.

Iddin turut meminta diri sebelum menyaingi langkah Sakinah.

"Nek Jah dekat dapur?" soal Sakinah saat Iddin sudah berdiri di sebelahnya.

"Tak."

Langkah Sakinah terhenti. Dia toleh ke arah meja makan beradab yang tadinya penuh dengan keluarga pengantin namun kini sudah tiada sesiapa.  Nek Jah tak ada dekat situ.

"Habis, dekat mana? Dalam rumah ke?"

"Tak."

"Oh, dekat luar? Tak ada pun Nek Jah?" Sakinah liarkan pandangan ke arah sekeliling kawasan rumah pula.

"Belakang rumah, eh?"

Walaupun hairan kerana tak mungkin Nek Jah akan mencemar duli ke belakang rumah pada waktu begini, namun Sakinah tetap menyoal mahukan kepastian.

"Tak juga."

Sakinah tarik nafas. "Habis tu dekat mana?"

"Pandanglah Abang Iddin kalau betul-betul nak tahu."

"Main-main ke apa, Abang Iddin ni?" tanya Sakinah sambil mendongak ke arah Iddin yang lebih tinggi dengan rasa terpaksa.

Mungkin dia tak matang tapi dia masih belum mampu untuk pandang tepat ke mata Iddin. Dia masih simpan sisa-sisa rasa kecil hati setelah apa yang Iddin lakukan pada dia.

SAKINAHWhere stories live. Discover now