Prolog

213 29 5
                                    

Sakinah tak tahu apa yang patut dia buat sekarang. Dah dua kali dia kemas bilik tapi tetap saja masa berlalu dengan perlahan. Lagipun tak ada apa yang boleh dikemas sangat pun dengan keadaan bilik dia yang kini sudah bertukar menjadi bilik pengantin ini.

Bilik pengantin.

Aduh, tak senang duduk dia dibuatnya saat teringat akan gelaran yang disandangnya pada hari ini.

Sakinah fikir dia mampu hadapi hari ini dengan santai saja mengenangkan dia dah terbiasa dengan situasi sebegini.

Namun sekarang dia sedar sesuatu. Situasi yang dia terbiasa itu adalah situasi melihat sepupu-sepupunya berkahwin. Tapi, kali ini dia sendiri yang berkahwin! Tak sama langsung dengan situasi yang dia hadap sekarang.

Sakinah tarik nafas dan hembus. Perbuatan itu diulang-ulang beberapa kali sehinggalah dia sendiri terasa penat. Seketika tangan naik memicit hujung dahi.

Mandi, dah. Solat isyak, dah. Jadi apa yang belum? Tidur. Ya, dah boleh tidur. Jam pun sudah menginjak sebelas malam. Lagipun suami dia belum naik-naik lagi ke bilik mereka. Tak tahu apa yang dibualnya di ruang tamu. Sakinah tak berminat nak masuk campur sebab dia dah terlalu penat.

Sakinah labuhkan punggung di birai katil. Bantal peluk awal-awal lagi diletak di tengah-tengah katil bagi menjadi penghadang buat dia dan suaminya. Jangan salahkan Sakinah... dia cuma tak terbiasa dengan situasi sebegini!

Usai menutup lampu bilik dan menghidupkan lampu malap, Sakinah rebahkan badan ke atas katil. Senyuman lega terukir di wajah saat belakang tubuh dia akhirnya bertemu dengan tilam yang empuk ini. Penatnya berkahwin, hanya yang tahu saja tahu! Ni baru majlis makan secara kecil-kecilan, belum lagi majlis bersanding nanti. Dia pun tak dapat bayangkan macam mana nanti.

Walaupun Sakinah rasa hari ini adalah hari yang memenatkan, tetap saja dia rasa gembira sepanjang melalui hari ini. Seronok kerana dapat bertemu dengan saudara jauh juga gembira kerana dapat berkenalan dengan saudara-mara suaminya.





MATA Sakinah berkerdip beberapa kali. Jujur dia kata, dia bingung dan buntu. Apa yang dia nak buat sekarang? Tak, apa yang perlu dia buat sebaik sahaja dia celik mata daripada tidur... mata ini sudah terhidang dengan wajah suaminya? Tipulah kalau dia kata dia tak terkejut. Tapi tipu juga kalau dia kata dia lupa yang di hadapannya kini adalah suami dia.

Dia pun bukannya hilang ingatan!

Tapi... macam mana ni? Dia nak bangun ke tandas tapi dia risau kalau suami dia sejenis yang mudah terjaga. Walaupun dia tak ada apa-apa perasaan terhadap suaminya ini, tetap saja dia rasa kasihan. Perasaan kasih dan sayang itu hadir tanpa dipaksa saat status mereka telah berubah.

Ah, redah sajalah!

Sakinah lepaskan pelukannya pada bantal peluk lalu bergerak menuruni katil dengan penuh berhati-hati. Tingkahnya tak ubah seperti seorang ibu yang tak mahu bayinya terjaga. Sakinah mula keluar dari bilik dengan senyuman kelegaan. Lihat daripada cara suaminya yang langsung tak bergerak itu, mungkin saja lelaki itu sejenis yang tak mudah terjaga.

Baguslah. Sesuai sangat dengan Sakinah yang selalu saja terjaga malam-malam.

Masuk semula ke dalam bilik, Sakinah tak lagi berjalan dengan terjengket-jengket seperti tadi. Gayanya lebih bersahaja. Sakinah menggaru pangkal hidung saat melihat bantal peluk dia kini sudah berada dalam pelukan suaminya.

Macam mana pula suami dia boleh capai bantal peluk dia ni? Tak silap tadi, dia dah letak betul-betul di hujung katil.

Aduh, sudahlah Sakinah tak boleh tidur tanpa bantal peluk. Nak batalkan niat untuk sambung tidur pun tak boleh. Sekarang baru jam 2 pagi. Awal lagi! Mata pun masih terasa berat.

Sakinah labuhkan duduk di birai katil. Tangan mula bergerak mahu mencapai bantal peluk yang berada kemas dalam lingkaran lengan suaminya. Saja dia mahu mencuba nasib untuk mengambil semula bantal peluk itu.

Perbuatan Sakinah berhenti serta-merta saat tersedar bahawa sepasang mata suaminya itu kini sedikit terbuka.

"Kenapa, Kinah?"

Sakinah tersengih seraya kepala menggeleng laju. "Tak ada apa-apa. Tidurlah. Maaf ganggu."

"Kinah pergi mana? Tak boleh tidur ke?" Suara serak-serak basah itu menyoal lagi.

"Tandas. Tidurlah balik. Awal lagi ni," ujar Sakinah dengan nada perlahan. Tubuh dibaringkan tanpa sebarang kata lagi. Niat dia yang mahu mengambil bantal peluk dia itu tadi pun serta-merta terbatal.

Kalau dah suaminya terjaga, tak sanggup dia mahu meminta pula. Biarlah. Malam ini dia tidur peluk tubuh sendiri saja. Kedengaran sedih tapi nak buat macam mana? Kalau dia berkahwin dengan pilihan hatinya sendiri, sudah tentu malam ini dia tidur dalam pelukan suaminya.

Tapi, situasi dia sebaliknya pula. Hubungan mereka ini memerlukan masa untuk menjadi seperti yang dia idamkan. Mustahil akan berlaku semudah itu sahaja.

Mata terkelip-kelip merenung siling putih bilik. Keras saja tubuh itu berbaring dengan tangan yang menggenggam selimut. Sakinah tak tahu sama ada suaminya sudah kembali lena ataupun tidak.

Yang pasti, Sakinah hanya mampu melayan kantuk sebelum dirinya benar-benar terlelap. Mungkin kerana tubuh Sakinah betul-betul penat, jadi tidur tanpa memeluk bantal peluk tidak menjadi masalah untuk dia malam ini.

"Sakinah, tidur dah ke?"

Telinga masih dapat menangkap soalan yang dilontarkan suaminya. Sakinah hanya mampu menggumam perlahan sebagai jawapan kerana dia sudah tak larat untuk membuka mulut.

"Tidurlah, isteri abang."

Hanya itu yang Sakinah sempat dengar sebelum Sakinah tak sedar apa-apa lagi selepas itu.

Sakinah juga dapat rasakan yang sebelah tangannya diangkat dengan perlahan dan diletakkan di atas bantal. Dia membawa bantal itu kemas ke dalam pelukannya dengan senyuman kecil.


Hello, I'm back on wattpad! Bismillah, kisah hidup Sakinah kini bermula.

SAKINAHWhere stories live. Discover now