Bab 15

797 56 77
                                    





AWAL pagi lagi Uncle Muthu dikejutkan dengan kebakaran yang berlaku pada kedai runcitnya. Dengan bantuan daripada orang kampung, api berjaya dipadamkan sekitar pukul tujuh dua puluh minit pagi. Dan, punca kebakaran yang berlaku masih disiasat oleh pihak berkuasa. Ada yang berkata angkara dendam, ada pula yang berkata kebakaran itu berpunca dari kecuaian si pemilik kedai.

Uncle Muthu mengeluh dengan bahu jatuh ke bawah. Kedai runcit yang dia usahakan sejak sembilan tahun lepas kini hangus dijilat api. Tiada apa yang tinggal, kecuali papan tanda Muthu Enterprise yang tergantung senget di atas.

Oja mengucap panjang bila dia tiba di situ. Muncung topi dirapikan sedikit sebelum langkah diatur mendekati Uncle Muthu.

"Uncle, kenapa boleh jadi macam ini?" soal Oja sambil memerhati keadaan sekeliling.

"Saya pun tara tahulah. Boleh jadi salah saya sendiri sebab tak check betul-betul sebelum tutup kedai. Aiyoo... mahu makan apa lagi lepas ini?" Uncle Muthu menepuk dahinya.

Hendak menangis? Air matanya sudah kering. Kalaulah dengan cara menangis dapat mengubah segalanya. Tetapi, dia tahu. Tiada guna meratapi. Hidup perlu diteruskan ke depan.

"Macam inilah... gaji kamu bulan ini, saya bayar full. Tara potong gaji." ujar Uncle Muthu.

Kerugian yang dialami hampir mencecah sepuluh ribu ringgit. Tetapi, dia tak risau apa-apa. Selain membuka kedai runcit, Uncle Muthu juga mengusahakan kebun sayur sebagai sumber pendapatan yang kedua. Yang dia khuatirkan ialah Oja.

Ke mana gadis itu akan pergi mencari kerja? Dengan status kewarganegaraan yang tidak sah, belum tentu ada yang mahu menerima.

Kebun sayur yang dimiliki Uncle Muthu pula terletak jauh dari kampung. Macam dia tidak tahu Oja susah benar meninggalkan kampung itu. Lagipun, mustahil dia akan membiarkan Nek Som bersendirian di rumah. Harapkan anak-anaknya, tunggu ajal menjemput baru dilihat.

"Eh, tak apa ke kalau macam itu, Uncle? Lapan ratus bukan sikit, tapi banyak. Oja takut Uncle perlukan duit nanti. Seeloknya, janganlah dulu Uncle bayar, uncle kan nak simpan duit buat lamar Aunty Priya." jelas Oja sambil tersenyum.

Walaupun Oja amat memerlukan duit untuk membeli semula rumah pusaka yang dijual oleh Mak Nab berberapa hari lepas. Tetapi dia faham dengan nasib malang yang menimpa Uncle Muthu. Dia tidak memaksa, dan dia juga tidak meminta. Tahu... duit yang dia simpan, belum tentu cukup untuk membeli rumah itu. Bahkan, belum tentu dia dapat membeli semula rumah itu.

Dengan hati yang berat, dia merelakan rumah pusaka itu diduduki oleh orang lain. Hendak membawa kes perebutan rumah pusaka itu ke mahkamah, dia tidak punya apa-apa. Tak punya kad pengenalan, tak punya kenalan yang dapat membantu. Dan, sudah tentu dia akan kalah.

"Deii, lambat lagilah saya nak lamar kekasih hati. Yang kau itu, bila lagi?" soal Uncle Muthu.

Ketawa halus terletus di bibir. Terusik Oja dengan pertanyaan dari Uncle Muthu.

"Haih... mana ada orang nak dekat saya ini, uncle. Muka pun tak lawa, tak habis sekolah. Ada ke orang nak?"

Mahu saja Uncle Muthu menyebut nama anak saudaranya itu. Rajesh, minat sangat dekat Oja. Cuma Oja yang tak perasan, atau dia tak sedar langsung dirinya itu diminati pemuda di kampung.

"Yalah, kalau macam itu." putus Uncle Muthu.






TUAN YUSUF menghampiri anak terunanya yang sedang berdiri di beranda sambil melihat kertas lukisan belum siap diwarna.

𝐐𝐀𝐅 𝐑𝐀𝐘𝐘𝐀𝐍 𝐔𝐍𝐃𝐄𝐑𝐂𝐎𝐕𝐄𝐑 [OG]Where stories live. Discover now