"Dah lama sampai, Mama?" Qaf menyoal.
Oja pula tidak mahu memandang ke arah Qaf. Sudahlah ada Mama di depan. Mama pula yang lihat tadi. Mana dia mahu meletak muka? Qaf pun satu. Yang dia tolak aku dah kenapa? Oja ketap bawah bibir rapat-rapat bila Qaf secara selamba duduk di sebelahnya seolah tiada apa yang baru berlaku.
Puan Sofia mengecil mata. Dipandang Qaf Rayyan kecil besar. Mungkin dia terlupa sebelum berpindah keluar tadi. Di rumah Apak lagi, Mama berhasrat hendak menyusul di belakang. Katanya nak melihat rumah baru Qaf. Tak sangka pula, dia datang semasa pasangan itu sedang merasmikan katil pertama mereka bersama.
"Kot ya... tunggu malam la Rayyan. Ini tidak! Tak pandai sabar betul." Mama mengusik sebelum tertawa.
"Macam awak jugalah kan? Tak silap saya, awak yang mulakan dulu." Tuan Yusuf tanpa segan silu mengingatkan Puan Sofia tentang malam pertama mereka.
Puan Sofia menyiku lengan Tuan Yusuf. "Tch! Abang... janganlah ingatkan saya lagi fasal tu." marah Mama. Tak semena-mena undang tawa di bibir Qaf.
"Gelak-gelak. Kalau Mama tak kahwin dengan Apak kamu, Rayyan tak wujud pun." balas Puan Sofia mematikan serta merta tawa Qaf.
"Baik. Yan tak gelak lagi." Qaf akur.
"Errh... mama dengan apak tunggu kejap ya. Saya nak pergi buat air." Oja bingkas bangun dari tempat duduk. Tiba-tiba dia terasa tak selesa pula duduk di sebelah Qaf.
Qaf menengadah. Dia cuba menahan kepergian Oja. Tempat duduk pun belum panas. Nak mengelak dari dia kah?
"Nak abang bantu tak?" Qaf bangun dari tempatnya.
"Ta... tak perlu pun." Tanpa menoleh ke belakang, Oja berlalu pergi ke arah dapur. Dia benar-benar tidak mahu memandang Qaf. Macam manalah dia boleh beriak biasa depan Mama Apak yang melihat kejadian tadi?
Qaf kembali di tempatnya. Dia tersenyum sendiri. Itu baru sedikit. Dia belum habis lagi.
"Esok Yan nak pergi ke hospital kan? Teman Ainul." soal Mama. Qaf mengangguk laju.
Memang itu tujuan dia berpindah ke sini. Berpindah ke kawasan yang lebih dekat dengan HKL. Biarpun jauh sedikit daripada tempat kerjanya, di Mersing.
"Haah. Kemoterapi buat kali kedua. Lepas buat pemeriksaan fizikal, dan ujian darah kat hospital Kuala Besut. Doktor sahkan Fiyyah hidap Leukimia mieloid akut tahap pertama." jelas Qaf.
Puan Sofia menghela nafas. Tiba-tiba dia teringat pada gejala awal yang sering ditunjukkan oleh Oja sebelum ini, tetapi tidak diambil peduli oleh Puan Sofia ketika Qaf sedang bertugas di Sabah. Dia sering mengalami sesak nafas, diikuti dengan keletihan dan demam panas secara berterusan. Tetapi Puan Sofia tidak pernah mengambil peduli tentang aduan dari Mak Anis. Dia pekakkan telinga sahaja bila Mak Anis memberitahu Oja sedang sakit. Malah dia terus memperlakukan gadis itu seperti dia tidak pernah mengenal erti penat.
"Sebenarnya... Mama dah lama tahu Ainul sakit. Tapi mama butakan mata, pekakkan telinga, dan tak ambil peduli langsung fasal Ainul. Mama..." Puan Sofia mengeluh di hujung kata sambil bermain jari sendiri.
"Mama menyesal, Rayyan. Mama tak patut biarkan Ainul." luah Puan Sofia. Sehingga kini dia masih dirundung rasa serba salah.
"Mama jangan fikirkan fasal itu lagi. Fiyyah masih ada peluang untuk sembuh. Sel kanser belum berkembang sepenuhnya, tapi tak bermaksud kita akan lepas tangan macam tu aje. Kita akan rawat sehingga Fiyyah sembuh seperti sediakala." nekad Qaf.
"Apak setuju. Kita sebagai satu keluarga berperanan untuk memberi sokongan penuh terhadap Ainul agar tidak mudah patah semangat." tambah Tuan Yusuf lagi.
YOU ARE READING
𝐐𝐀𝐅 𝐑𝐀𝐘𝐘𝐀𝐍 𝐔𝐍𝐃𝐄𝐑𝐂𝐎𝐕𝐄𝐑 [OG]
RomanceQaf Rayyan x Seroja Ainul Afiyyah Dalam menanti saat bahagia, Armel putuskan tunang dengan Qaf. Perkahwinan yang diatur oleh kedua orang tua. Tanpa rasa cinta dan sayang. Tak pernah bertemu, tak pernah bertukar nombor. Kalau bagi Qaf, dia terima saj...