Bab 16

853 56 100
                                    


DAUN kering berguguran ke atas tanah bila dihembus bayu yang bertiup lembut. Koklea menanti jawapan dari si gadis yang sedang menatap penuh persoalan. Kening bertaut lama, bibir diketap lembut. Bait-bait bicara yang terucap terasa sukar untuk dipercaya.

Sebahagian dalam hidup?

Berkongsi suka, dan duka. Melalui jalan yang berduri bersama-sama. Mencari erti bahagia yang tak dapat dibeli dengan kemewahan. Terasa ringan di bibir, tetapi hendak melakukan terasa payah.

Qaf alih pandangan. Langit yang tadi berwarna jingga mula dihiasi kepulan mendung hitam yang membawa takungan hujan. Sepantas itu langit berubah. Pawana bertiup membawa mendung gelap dari arah timur. Air yang ditakung menunggu masa untuk menumpahkan isi ke atas tanah. Pepohon kayu bergoncang hebat dan ada yang menjatuhkan buah. Sebuah layang-layang berwarna kuning terbang tinggi membelah udara. Qaf lipat tangan di dada. Tenangnya bak tiada apa yang baru berlaku.

"Maksud encik? Saya tak faham."

Rasa malu menguasai diri Qaf. Keberanian hilang ditenggelami awan hitam. Senyum yang terukir tulus di bibir itu, pudar dan tak muncul-muncul. Kening lebat digaru. Janggal.

Sesaat... baru Oja dapat menangkap apa yang Qaf maksudkan.

"Aku ini dahlah tak ada apa-apa. Sekolah pun tak habis. Apa yang kau nampak dekat aku?"

Dari 'Saya, ke 'Aku, Kau.'

Intonasi suara berubah. Keterujaan untuk mencari tahu terbang jauh-jauh. Di antara mereka, ada dinding yang memisahkan. Jarak mereka dekat. Tetapi dipisahkan kerana darjat.

Oja tunduk sambil memintal baju Ajinomoto. Sedar diri tak punya apa-apa dan belum tentu layak mendapat bahagia. Bahagia yang belum dia miliki.

"Bukan itu yang aku maksudkan, Afiyyah."

Cepat-cepat Oja pusing kepala menghadap Qaf. Darimana dia tahu nama sebenar Oja?

"Kejap..."

"Nek Som dah cerita semuanya dekat aku. Nak harapkan kau buka cerita, belum tentu aku akan tahu fasal kau." Qaf berjauh hati. Senyum dikoyak.

"Eh, bukan itu yang aku maksudkan." Oja cuba menjelaskan.

"Sebenarnya aku tak terfikir pun nak buat macam ini. Tapi dengan kau, aku berani. Malu aku hilang. Dah macam jual diri sendiri pula..." Qaf menyinis di hujung kata.

"Kau pun tahu keadaan aku macam mana. Dan, tak mungkin kekurangan aku akan diterima dalam keluarga kau." balas Oja.

"Sebab itu aku ajak kau kahwin dengan aku. Aku tak nak kau tanggung kesakitan itu seorang-seorang, fiyyah." Qaf pandang lama wajah Oja.

Oja menggeleng. Nikah koboi? Oh, tidak. Cukuplah orang tuanya dulu yang nikah koboi hingga tidak berkesempatan mengurus surat-menyurat.

"Ta... tak. Aku tak mampu. Macam mana dengan Mak, bapa kau? Apa yang dia orang akan fikir fasal aku?"

"Dia orang akan ok. Selain nek som, kau dah tak ada sesiapa dalam dunia ini. Kau cuma ada aku, fiyyah. Dan, aku akan lengkapkan apa yang kurang dalam hidup kau. Termasuklah dalam hati kau. Tempat tu... cuma aku seorang saja yang boleh masuk."

Oja terdiam. Cepat-cepat dia ambil buku lukisan dan menutupi dadanya. Mata lelaki boleh tembus! Tak kira tebal mana yang dipakai.

Qaf tergelak hambar. Kepala diangkat lagi memandang langit.

"Orang senang macam kau ini patutnya cari orang yang sama taraf dengan kau. Bukannya kutip sampah tepi jalan macam aku. Tak ada angin, tak ada ribut, tiba-tiba ajak kahwin. Cepat, cakap dekat aku sekarang. Apa yang kau mahukan dari aku?"

𝐐𝐀𝐅 𝐑𝐀𝐘𝐘𝐀𝐍 𝐔𝐍𝐃𝐄𝐑𝐂𝐎𝐕𝐄𝐑 [OG]Where stories live. Discover now