SUDAH dua hari Anan berada di rumah Dora. Tetapi dia tidak pernah melihat Dora tidur di ruang tamu mahupun dalam biliknya sendiri. Tenang hati Anan bila dia tidak serumah dengan Dora.
Keluh kecil dilepaskan. Seandainya dia dapat bercakap, sudah lama dia suarakan ketidakpuasan hati terhadap Dora. Adakah patut dia menyajikan Anan makanan yang tidak halal sebagai sarapan pagi?
"Oh lupa, kau tak makan apa yang aku makan."
Sanggup dia menahan lapar daripada memakan makanan yang Dora makan. Anan mengusap perutnya. Lapar. Perut pula menyanyikan lagu ketipak ketipung lapar. Ah! Macam tahu-tahu saja Anan belum makan.
Anan gagahkan diri untuk mengemas rumah. Harapkan muka saja yang terjaga, tetapi tidak reti mengemas rumah. Dikutip satu persatu baju yang dibiar berhamburan di atas lantai. Seingat Anan, dia sudah melipat baju-baju itu dan meletak ke dalam bakul. Sejak bila pula baju Dora the explorer itu pandai berjalan keluar dari dalam bakul?
Usai melipat baju dan meletak semula ke dalam bakul. Anan mula menyapu lantai dan mengemop.
Selepas itu pula, dia bergerak ke dapur. Botol-botol arak tanpa isi menjadi santapan plastik sampah. Terasa berat untuk diangkat, akhirnya Anan memilih untuk menyeret dan meletak plastik tersebut di luar rumah. Fikir Anan, dia hendak membuang sampah itu selepas dia habis mengemas dapur.
Anan tak betah duduk diam. Hampir setiap ruang dalam rumah itu dia bersihkan. Kalau Dora ada, dia tidak berani keluar dari dalam bilik melainkan Dora yang arahkan.
Hamba tanpa gaji.
Anan tahu statusnya apa. Dia ialah seorang gadis yang dijadikan sebagai hamba manusia.
Dan, apa yang Anan takutkan ialah...
"Apa yang kau tengah buat?" tegur Dora.
Terkejut dia melihat perubahan pada rumahnya itu. Dari ruang tamu, sehinggalah ke dapur. Bersih dan berkilat. Senang matanya memandang.
Menyedari kehadiran susuk tubuh Dora dibelakang, laju Anan berpusing. Dihadiahkan senyum seceria mentari ketika mata mereka bertembung.
Dora mengakhiri dengan jelingan sinis. Dia meletak seplastik nasi bungkus di atas meja.
"Makan."
Anan kerutkan kening. Jangan kena tipu hidup-hidup sudah.
"Makan." kata Dora lagi. Kali ini dia sengaja menekan suaranya.
Anan membuat muka jelik. Poket seluar diraba, isinya dikeluarkan. Laju tangan Anan menari di atas kertas. Bila sudah terisi dengan tulisan, kertas itu diberi kepada Dora.
"Kau belikan untuk aku? Yang aku boleh makan, kan?"
Dora tenung lama wajah Anan. Sticky Note yang bertulis dilekat pada dahi Anan. Pap! Membulat terus mata Anan dengan tindakan spontan dari Dora.
"Perempuan cacat macam kau ini tak reti nak ucap terima kasih dekat aku ke? Aku dah belikan makanan yang kau boleh makan, ini yang aku dapat sebagai balasan?" Dora tersenyum sinis.
Suka dia melihat riak muka Anan berubah marah. Cepat betul ambil hati dengan apa yang dia katakan. Lama mereka begitu, saling bertatap mata dengan jarak yang tak adalah jauh mana. Dora hairan, tak lenguh juga ke Anan melihat ke atas. Semata-mata mahu membalas pandangan dingin itu?
Tiba-tiba Dora membongkokkan badannya hingga menyamai ketinggian Anan. Wajahnya pula sengaja didekatkan, dan hampir-hampir menyentuh pucuk hidung Anan.
Sekali lagi sepasang mata Anan membulat. Jantungnya berdegup kencang seolah-olah dia baru menamatkan larian pecut. Bibir Dora pula membentuk senyum segaris, terhibur hati batu melihat reaksi balas dari Anan.
YOU ARE READING
𝐐𝐀𝐅 𝐑𝐀𝐘𝐘𝐀𝐍 𝐔𝐍𝐃𝐄𝐑𝐂𝐎𝐕𝐄𝐑 [OG]
RomanceQaf Rayyan x Seroja Ainul Afiyyah Dalam menanti saat bahagia, Armel putuskan tunang dengan Qaf. Perkahwinan yang diatur oleh kedua orang tua. Tanpa rasa cinta dan sayang. Tak pernah bertemu, tak pernah bertukar nombor. Kalau bagi Qaf, dia terima saj...