Bab 18

839 55 68
                                    





LAFAZ suci yang terucap menyatukan dua hati dengan ikatan perkahwinan. Sebentuk cincin berlian tersarung ke jari manis. Tangan bergetar hebat bila tiba gilirannya menyarungkan cincin pada jari si suami. Sesat. Dia berhenti. Takut-takut memandang Qaf yang berada tepat di hadapan Oja. Dia masih teragak-agak mahu menyalam. Kepala tertunduk ke bawah, air mata ditahan dari menumpahkan isi.

"Apa tunggu lagi? Ciumlah tangan suami kamu tu. Tergedik-gedik sangat nak kahwin dengan anak aku, kan?" Puan Sofia menjeling geram.

Bisikan sinis dari belakang menerpa koklea. Automatik bulu roma menegak bagai disampuk hantu. Oja beranikan diri menyalami tangan Qaf. Dingin, dan berpeluh ketika disentuh. Nampaknya bukan dia seorang sahaja yang gementar.

Qaf senyum tipis. Kucupan hinggap di dahi licin. Wajah bersih dan cerah dihiasi solekan tipis. Keseriannya bertambah bila dia tersenyum sambil menayang gigi. Gembira atau gembira yang sengaja dibuat-buat? Macam dia tidak dengar apa yang Puan Sofia katakan di belakang Oja seketika tadi.

Qaf dekatkan diri. Berbisik sesuatu ditelinga yang buatkan Oja berasa selamat buat masa sekarang.

"Jangan risau. Aku kan ada."

Tubuh ditegakkan di hadapan Oja. Senyum yang tak dibuat-buat. Senyum yang cukup ikhlas sehingga matanya melengkung seperti bulan sabit. Mouth Corner Dimple menambah kemanisan senyuman itu. Senyum yang menayang sebaris gigi rapat. Senyum yang menunjukkan hatinya sedang bergembira. Si awek kucing menatap lama.

"Aku tak perlukan apa-apa dalam hidup aku. Aku cuma perlukan seseorang yang dapat terima siapa diri aku. Aku tak minta banyak, cukup kau jadi orang pertama dan terakhir."

Tubuh Oja kaku. Dia tak bergerak. Direnung lama wajah Qaf dengan mata yang basah.

"Menangis?"

Boleh pula Qaf tanya soalan bodoh. Oja menjeling geram. Air mata diseka kasar. Kesian mak andam menyolek lama-lama, tetapi dihancurkan kerana air mata.

"Err... tak salah kan? Atau, nak kena minta izin dulu baru boleh menangis?"

Qaf tergelak kecil. Terhibur hatinya dengan kepolosan Oja. Memang dia tak salah memilih. Dia pilih orang yang tepat.

Tangannya menggenggam erat jari-jemari Oja yang sejuk. Sekali lagi Oja kaku. Dibiarkan saja Qaf menggenggam tangannya. Selesa. Itu yang dia rasa. Seperti ada semangat yang disalurkan melalui sentuhan hangat itu.

"Terima kasih. Terima kasih sebab sudi hadir dalam hidup aku."

Bibir Qaf membentuk senyum yang Oja sendiri tak faham maksudnya.

Entah ikhlas atau tidak. Tetapi senyum itu benar-benar memaksudkan apa yang Qaf rasa pada Oja.




HARAPANNYA sirna hendak bermenantukan gadis pilihan sendiri apabila Qaf memilih untuk berkahwin dengan gadis yang ditemui di kampung. Entah-entah dia diguna-guna sehingga menurut permintaan gadis itu untuk dikahwinkan. Ataupun cuma mahu mengikis harta kekayaan keluarganya. Jika benar, minta dijauhkan. Tetapi jika dengan cara itu si gadis akan mengundur diri. Dia sanggup! Asalkan si gadis berpisah dengan anaknya itu.

Bibir terasa berat hendak menegur. Tangan yang dicapai untuk disalam, cepat-cepat ditarik ke belakang. Tak kuasa hendak menyentuh kulit kasar yang tak disapu losyen. Oja terdiam. Renungan mata yang basah membalas perbuatan itu. Tanpa bicara, dia menyalami tangan Tuan Yusuf.

"Pandai Qaf pilih. Cantik dan sejuk mata memandang." puji Tuan Yusuf tidak bertapis.

"Mata abang dah rosak ke? Abang cakap budak ini menyejukkan mata? Bertambah panas hati saya memandang adalah!" Puan Sofia menyusun langkah meninggalkan Oja dan Tuan Yusuf di situ.

𝐐𝐀𝐅 𝐑𝐀𝐘𝐘𝐀𝐍 𝐔𝐍𝐃𝐄𝐑𝐂𝐎𝐕𝐄𝐑 [OG]Where stories live. Discover now