Their Backstory - 2

32 2 0
                                    

Tiba sahaja dia di sebuah hotel milik lelaki itu, dia terus melabuhkan punggung di atas sebuah katil besar di dalamnya meskipun hati masih ragu-ragu.

Lelah berjalan, kakinya juga yang sakit. Matanya tidak kurang sama, meliar memerhati corak dan susunan perabot di dalam bilik itu. Semuanya kelihatan asing benar daripada negara asalnya.

Sosok seorang lelaki mula menjamah mata bersama sebuah beg kertas di tangan. Lelaki itu menarik kerusi kerjanya lalu diberhentikan benar-benar di hadapannya ketika ini.

Gadis itu memerhati tanpa kata.

"Aku Evran. Kau?" soal Evran sebaik dia melabuh punggung di kerusi tersebut.

"Nara" balasnya ringkas.

"Kau faham bahasa aku?" soal Evran lagi. Gadis itu mengangguk perlahan-lahan mengundang herotan bibirnya.

"Ini bilik aku. Kau boleh duduk sini sementara tunggu waktu aku pulang ke Korea Selatan." ujar Evran sambil membelek sebuah gajet canggih itu.

"Tahu ini apa?" gadis bernama Nara itu menggeleng.

"Ini ialah alat komunikasi kita bila berjauhan. Kalau aku tiada di sini, kau boleh hubungi aku melalui benda ni. Faham?"

Kali ini Nara mengangguk.

"Mana keluarga kau yang lain?" soal Evran senada.

Pada awalnya Nara tidak berkata apa-apa. Entah mungkin dia juga takut untuk bercerita lebih. Tambahan, bahasanya tidak begitu rapi berbanding lelaki itu. Tiada siapa yang mengajarnya untuk berkata lebih.

"Kau boleh cakap dengan aku. Aku faham bahasa kau." ujar Evran akhirnya.

"Aku... aku lari bersama kakak tapi dia ditangkap dan terus ditembak mati oleh mereka." ujar Nara perlahan.

Evran mendengar teliti.

"Orang tua aku sudah lama mati," sambungnya semula.

"Kenapa?"

Jeda.

Evran terangguk-angguk tatkala menyedarinya. Tak perlu tahu pun tak apa tetapi apa puncanya?

Sedih? Dia juga tiada keluarga kandung jadi tidak tahu mahu beriak apa. Kasih sayang orang tuanya beri cuma sekadar tujuh tahun lamanya sahaja sebelum mereka meninggal dalam kemalangan.

Nafas dihela berat.

"Sini tak berapa selamat sebab ramai pengintip mereka. Lagipula ini Hong Kong. Aku minta kau jangan pergi mana-mana dan tunggu sampai aku boleh bawa kau ke tempat aku. Boleh?"

Nara mengangguk perlahan.

"Untuk malam ini kau boleh tidur atas katil ini. Aku tidur di sofa sana." kata Evran senada sebelum bangkit dari duduknya.

Fikir Nara, dia mahu terus meninggalkan dirinya tetapi sangkaannya meleset tatkala lelaki itu kembali bersama beberapa helaian kain putih di tangan bersama sebuah besen kecil.

Kaki kanannya serasa melayang ke udara tiba-tiba dan mengundang kerutan dahi.

Tanpa berkata apa-apa, Evran terus membersihkan luka segar itu menggunakan tuala kering dengan perlahan-lahan. Namun desis sakit gadis di hadapannya masih berbunyi halus.

"Kebal sangat ke sampai lari daripada mereka tanpa kasut?" Evran menyindir sinis tanpa melihat ke wajah gadis itu.

Nara cuma diam tidak membalas apa-apa.

"Berapa lama kau larikan diri?" soal Evran lagi. Kali ini dia sudah menggantikan tugas dengan menggunakan tuala basah pula.

"Dua hari," balas Nara perlahan.

"Pergi rehat. Jangan risau tentang aku. Aku tak akan tidur satu katil dengan kau," ujar Evran sebelum akhirnya dia membuat hal sendiri di sofa empuk di penjuru.

Nara bergerak perlahan-lahan membaringkan diri dengan selesa sebelum akhirnya terlelap akibat terlalu letih menjadi seorang pelarian. Mana mungkin dia menjumpai waktu berehat dikala dirinya sedang menjadi buruan utama.

Tanpa sedar sebenarnya sepasang mata lelaki itu tidak pernah berhenti daripada melihat dirinya. Lambat-lambat bibir mengukir senyum nipis sambil meneguk sebotol Wine dengan rakusnya.

Tubuhnya menggeliat kecil sebaik sahaja dia mula menyedarkan diri dari lena panjangnya. Terpisat-pisat matanya cuba dicelikkan untuk memerhati sekeliling.

Pada awalnya dia kaget, tetapi cuma beberapa saat sahaja kerana akhirnya dia mengingat semula tragedi pada malam itu. Malam yang menyelamatkan dirinya. Malam yang janji telah dibuat.

Perlahan-lahan dia menyelak selimut sebelum matanya terbeliak luas memerhati beberapa titisan merah telah tertompok pada cadar putih milik katil lelaki itu.

Kakinya berdarah kembali?

"Dah bangun?" celah satu suara yang menyentaknya. Cepat-cepat dia menyelak kembali selimut tebal itu.

Nara cuma memerhati Evran yang berjalan masuk dengan rambut yang kusut. Di tangan kanannya terdapat sebotol minuman keras yang hampir habis isinya.

Melihat cara jalannya sahaja Nara boleh pastikan bahawa lelaki ini sedang mabuk. Ternyata dia juga minum minuman keras.

"Kenapa tak bersihkan diri lagi?" soal Evran sebelum akhirnya dia melabuh punggung di atas birai katil.

Selimut yang masih menutupi sebahagian kaki gadis itu diselak kasar sebelum dicampak ke atas lantai tanpa riak buat Nara berasa berdebar.

Evran cuma melihat cadar katilnya yang sudah dikotori dengan tompokan merah halus. Kemudian dia naik mendongak memerhati segenap wajah yang berubah takut itu.

"Maaf aku lupa nak balut luka di kaki kau malam tadi. Kejap lagi kau bersihkan diri, baru aku sapu ubat dan balut. Pakaian kau aku dah sediakan," ujar Evran yang masih tenang.

"Kita pergi tempat aku hari ini."

Nara mengangguk sekilas sebelum laju membolos masuk ke dalam bilik air dengan mata-mata yang masih memerhati dirinya.

Botol minuman keras tersebut diletakkan di atas meja sebelum akhirnya dia rebah di atas katil mahu merehatkan diri.

"Dia masih takut... tak apa," gumamnya sambil tersenyum sendiri.

Naif.

Satu gelaran yang tepat untuk gadis itu.

—Imagine Evran gunakan slang korea selatan and Nara gunakan slang korea utara.

LDV | THE MAD KILLERWhere stories live. Discover now