Selepas dua hari berada di Port Dickson, Kasturi dan Eriq pulang ke Kuala Lumpur semula. Mereka berdua akan tinggal di rumah keluarga Eriq buat sementara waktu sebelum berpindah ke rumah Kasturi.
Baru saja mereka masuk ke dalam rumah, terlihat Puan Hanan dan Tuan Emir sedang berpeluk mesra di ruang tamu. Kasturi terkejut. Pantas di menyorok dibelakang Eriq. Eriq pula tak memberi sebarang reaksi. Dia sudah terbiasa kalau mama dan papanya bermesra tanpa menghiraukan anak-anak yang melihat.
"Ehem." Tuan Emir berdeham membetulkan suaranya. Malu pula aksi dia dan isteri tadi disaksikan oleh menantunya.
"Bila kau orang sampai ni? Mama tak perasan pula kamu dah balik," ujar Puan Hanan. Anak dan menantunya pula dihampiri.
"Bila mama nak perasan kalau bermesra dengan papa tu. Kalau pencuri masuk pun mama dan papa takkan perasan," perli Eriq. Dia harus akui, mama dan papanya tak malu nak tunjukkan kemesraan mereka.
"Siang hari mana ada pencuri nak masuk rumah," kata Puan Hanan lagi.
"Kalau pencuri nak masuk, dia tak kisah siang ke malam. Asalkan dia dapat apa yang dia nak curi tu," kata Eriq lagi.
"Kalau pencuri hati mama adalah. Tu papa kamu. Siang malam asyik curi hati mama je."
Terangkat kening Kasturi mendengar jawapan ibu mertuanya. Dia tak sangka ibu mertuanya romantik macam ni.
"Hisy, sayang ni. Janganlah cakap macam tu. Malulah abang depan menantu kita tu."
Eriq sudah julingkan mata ke atas. Ini yang buatkan dia menyampah ni. Papa pun sama naik je dengan mama!
"Nak malu buat apa? Dia orang pun dalam fasa honeymoon lagi. Dia orang patut belajar daripada kita, bang."
Erk? Apakah? Belajar apa pula ni?
"Kasturi, jom ikut mama sekejap. Mama ada benda nak ajar Kasturi."
"Ajar apa?" Kasturi menyoal. Berdebar pula dia rasa.
"Ala, ikut sajalah. Nanti kamu tahulah." Puan Hanan menarik tangan Kasturi agar mengikutinya.
Kasturi pandang Eriq meminta bantuan. Kepala digeleng tanda tidak mahu. Dia rasa tak sedap hati pula dengan mama mertuanya ini. Eriq pula tak mampu nak buat apa selain memandang isterinya pergi. Apa yang mama nak buat pun dia tak tahu.
"Mama nak buat apa dengan isteri Eriq tu, pa?" soal Eriq pada papanya. Jangan mama dia buat yang bukan-bukan pada Kasturi sudahlah.
"Kamu tak payah nak risau sangat. Kamu tunggu dan lihat sajalah. Papa yakin kamu pun suka."
Kening Eriq berkerut kerana tidak mengerti. Papa pun nampak sesuatu je. Adakah papa pun terlibat sama?
Kasturi hanya berdiri didepan wardrobe bilik mama mertuanya. Menunggu mama untuk mengambil barang yang ingin diberikan kepadanya.
"Ambil ni, mama berikan untuk kamu." Puan Hanan hulur beg kertas berwarna coklat kepada Kasturi.
Lambat-lambat Kasturi menyambutnya. Apabila beg kertas itu sudah bertukar tangan, dia buka. Bulat matanya saat melihat isi di dalam.
"Apa ni, ma?"
"Baju tidur. Untuk kamu. Baju ni, baju mama dulu. Mama sayang nak buang. Kalau nak sedekah dekat orang, tak tergamak pula. Nak bagi pada Hanim dan Haura, dia orang tak kahwin lagi. Jadi mama rasa, kamulah yang paling layak."
Kasturi keluarkan sehelai baju dari dalam beg kertas itu. Dia telan air liur. Mak aih! Jarangnya. Ini kalau dia pakai, mesti terdedah bahagian tubuhnya. Cepat-cepat Kasturi simpan semula. Dia serahkan kembali beg kertas itu pada Puan Hanan.
YOU ARE READING
Bahagia Yang Aku Tunggu
Romansa3rd New Generation Series ERIQ HAIYAN merupakan anak sulung kepada Tuan Emir Hakeem dan Puan Hanan Auliya. Umur sudah meningkat tapi masih belum berpunya. Anak kepada kawan-kawan ibunya sudah ada yang mendirikan rumahtangga. Bahkan yang lebih muda d...