Makin lama, makin ramai tetamu yang hadir. Papa kata sekadar nak buat majlis doa selamat secara kecil-kecilan sempena dia jadi CEO. Tapi ini dah jadi besar-besaran. Penat dia nak senyum pada tetamu. Dia pun mula rasa tak selesa. Bukan papa tak tahu dia tak suka nak beramah mesra dengan orang yang tak kenal. Tapi papa kata, kena belajar. Lepas ni, dia nak kena jumpa client. Terpaksalah dia ikut kata papa.
Bila separuh tetamu dah balik, dia keluar cari angin. Biarlah mama dan papa pula yang layan tetamu. Lagipun yang ada cuma rakan niaga papa. Kalau dia duduk dekat dalam, rasa tak cukup nafas. Sesak sangat. Atau dia je yang rasa macam tu?
Pap!
Bahu Eriq ditepuk Arman. Dia pandang Arman tidak puas hati. Bapa budak ni, nak je dia luku kepala. Tak kuat mana pun Arman tepuk bahu tu, tapi dia terkejut. Sebab dia tengah termenung tadi. Dengan salamnya tak ada. Tak pasal-pasal jantung dia berdegup laju.
"Kau ni, nak aje aku lempang. Kau tak reti nak bagi salam?" marah Eriq. Dia hadiahkan satu jelingan buat Arman.
"Uish garangnya. Gaduh dengan bini ke? Oh lupa tak ada bini." Arman sengih mengejek. Saja dia nak bergurau dengan Eriq.
Eriq memandang Arman dengan tajam. Mentang-mentanglah si Arman tu dah kahwin. Boleh pula dia bergurau macam tu.
"Kenapa ni? Ada masalah ke?" tanya Arman. Serius.
"Kaulah masalah aku tu,"
"Aik? Sejak bila aku buat masalah ni? Jangan naik main tuduh je, bang."
Eriq julingkan mata ke atas. Ingatkan dah jadi suami dan ayah ni, berubahlah perangai Arman tu. Rupanya sama aje. Malaslah dia nak layan.
"Kau nak apa ni?" soal Eriq. Suara kedengaran akur. Nak tak nak, dia terpaksa layan juga si Arman ni.
"Saja datang nak ucapkan tahniah. Tadi ramai sangat orang. Abang pun sibuk layan tetamu,"
"Terima kasih," balas Eriq lalu dia senyum segaris. Sekejap saja, senyuman tadi terus hilang.
"Macam tak happy aje. Ada masalah lain ke ni?"
Eriq pandang Arman dengan kerutan didahi. Memang ada tulis perkataan 'masalah' ke dekat dahi dia? Arman bukan orang pertama yang tanya dia ada masalah ke tidak. Pagi tadi, Nekwan dan Uncle Indra yang tanya. Masa mula majlis tadi, Aunty Lin yang tanya. Sekarang, Arman pula. Muka dia ni jelas sangat ke tengah ada masalah? Hairan juga dia. Padahal, dah sehabis baik dia cuba sembunyikan.
"Tak ada," jawab Eriq ringkas. Masalah tu tak ada pun. Cuma dia risaukan kerja dia nanti. Selain itu, dia pun ada fikirkan tentang Kasturi. Dia dah janji nak move on. Tapi sampai sekarang tak ada perubahan. Masih mengenangkan nasib sendiri.
"Cakap tak ada, tapi muka tu macam diambang maut dah. Kalau ada masalah, share ajelah. Jangan dipendam sangat. Rosak hati. Nanti tak boleh jatuh hati. Lepas tu single sampai ke mati,"
Eriq hembuskan nafasnya perlahan. Dia pandang Arman. Sungguh, dia rasa nak sangat lempang si Arman ni. Tapi sabar sajalah. Risau masuk ICU nanti. Eriq halakan pandangan ke hadapan. Melihat manusia yang lalu lalang.
"Macam mana kau jatuh cinta pada isteri kau?" Entah kenapa soalan itu yang Eriq ajukan pada Arman. Padahal dia juga yang rasa menyampah dengan Arman.
Arman melepaskan tawa kecil. Dia syak, Eriq tengah ada masalah cinta.
"Entah, tiba-tiba saja rasa tu muncul."
Jawapan Arman, macam tak boleh nak membantu. Tapi betul juga apa yang Arman cakap. Perasaan tu hadir dengan tiba-tiba. Sekali nak hapus, payah benar.
YOU ARE READING
Bahagia Yang Aku Tunggu
רומנטיקה3rd New Generation Series ERIQ HAIYAN merupakan anak sulung kepada Tuan Emir Hakeem dan Puan Hanan Auliya. Umur sudah meningkat tapi masih belum berpunya. Anak kepada kawan-kawan ibunya sudah ada yang mendirikan rumahtangga. Bahkan yang lebih muda d...