BAB 16 - Buta Ke Rabun?

13.1K 483 10
                                    

TEPAT jam enam setengah pagi, Sarah Nia sudah memakai kasut sukannya. Dua hari setelah memakai pakaian-pakaian yang dibeli oleh Harris Amsyar, dia terus menukar kembali gaya penampilannya. Dia tidak tahan. Dia berasa lemas apabila terpaksa memakai pakaian yang tidak disukainya. Jadi, hari ini dia sudah tidak kisah jika Harris Amshar ingin memarahinya kerana menukar kembali gaya penampilannya. Tidak kisah juga sekiranya gajinya dipotong. Gajinya juga sudah melebihi jangkaannya, jadi dia sudah tidak takut jika dipotong gaji sebanyak lima puluh peratus sekalipun.

Rambutnya diikat kuda, topi merah jambunya yang berjenama Nike tersemat kemas di atas kepalanya. Baju longgar berlengan panjang berwarna merah jambu tersarung di tubuhnya. Juga dipadankan dengan seluar jeans berwarna hitam. Kasut pula, kasut sukan berjenama Nike berwarna merah jambu. Hari ini, dia serba merah jambu.

Seperti hari-hari biasa, dia akan pergi ke kerja menggunakan motorsikalnya. Ketika lampu merah, dia berhenti seketika. Pandangannya hanya dihala ke hadapan. Langsung tidak menoleh ke kiri ataupun kanan. Ketika lampu isyarat telah bertukar ke warna hijau, dia segera menyambung tunggangannya.

Tiba di selekoh untuk masuk ke simpang rumah Harris Amsyar, tiba-tiba motorsikal Sarah Nia dihimpit dengan sebuah kereta Mazda CX-5 berwarna biru.

"Eh aphal kereta ni. Nak aku mati ke apa. Dia tak nampak ke aku!" Sarah Nia yang ditutupi helmet itu mendengus geram. Berapi-api kemarahannya terhadap pemandu yang cuai itu.

Sarah Nia membunyikan hon sebanyak empat kali, tetapi kereta tersebut langsung tidak menghiraukan dia yang semakin hilang keseimbangan.

Sedang dia sibuk menekan butang hon, dia tidak perasan kehadiran lubang di hadapannya. Dia memandu sehinggalah, "Ahh!!" Tiba-tiba motorsikal Sarah Nia tumbang di tepi jalan. Dia tercampak di atas pokok-pokok hiasan yang ditanam di tepi jalan. Manakala kepalanya pula terhantuk pada tiang lampu yang berdekatan.

Kepalanya terasa berdenyut-denyut. Dia masih kaku di dalam posisi baring di atas pokok-pokok hiasan itu. Tiada tenaga untuk bangun. Dia dapat rasakan pedih mula menjalar di lutut dan lengannya. Lengan bajunya juga sudah terkoyak. Matanya pula berpinar-pinar. Masih cuba mengumpul tenaga. 'Sewel. Kalau aku tahu siapa yang langgar aku ni, mati dia' dia mengetap giginya. Geram yang teramat terhadap pemandu kereta Mazda CX-5 itu. Disebabkan pemandu itulah, dia lewat ke rumah Harris Amsyar. Selepas ini, pasti dia akan dibebel berjam-jam dengan Harris Amsyar.

Kereta Mazda tadi berhenti berdekatan dengan motorsikal Sarah Nia. Beberapa saat kemudian, pemandu kereta tersebut keluar untuk melihat keadaan Sarah Nia.

Melalui ekor mata, Sarah Nia memerhati gerangan pemandu kereta tersebut. Dia perhatikan dari bawah hingga ke atas. Kasut kerja, seluar kerja, baju garis-garis halur berserta tuksedo hitam. 'Boleh tahan' getus hati Sarah Nia.

Lelaki itu dengan riak bersalah datang mendekati Sarah Nia. Dia terus mengangkat motorsikal Sarah Nia dan menapak ke arah Sarah Nia.

"Awak, awak tak apa-apa?" Soal lelaki itu serba-salah.

Dari dalam helmet, Sarah Nia membuat mimik muka menyampah. 'Kau nampak aku macam ni lagi kau nak tanya aku tak apa-apa?'. Perlahan-lahan Sarah Nia bangun dari pokok-pokok hiasan itu. Terhinjut kakinya apabila berdiri. Tangan kanannya memegang lengan kirinya yang terasa pedih. Spontan dia mengaduh.

Lelaki itu terus memegang lengan kiri Sarah Nia yang luka itu. "Awak, awak cedera ni. Jom saya bawa awak pergi klinik" ujar lelaki itu dengan nada lembut.

Sarah Nia terus membuka helmetnya. Dia mengambil topi merah jambunya di dalam motorsikalnya lalu disarung ke atas kepala. Tangannya menyisir laju rambutnya supaya kelibatan kemas. Namun setiap perbuatannya diiringi dengan jelingan tajam ke arah lelaki itu.

Taming The Bad GirlWhere stories live. Discover now