Bab 29

6.2K 271 10
                                    

2 minggu kemudian...

Batu nisan bewarna putih itu disentuhnya. Sebak rasa hatinya saat ini. Surah Yaasin yang telah selesai dibaca tadi diletakkan diatas ribanya. Perlahan-lahan tangannya mengusap batu nisan yang terukir nama 'Khairuddin bin Abdul Rahman'. Matanya dipejam dan nafasnya ditarik lalu dihembus perlahan. Berulang kali dia melakukan perkara yang sama. Berharap perasaan sebak yang bertandang berlalu pergi. Namun air matanya tiba-tiba mengalir laju. Diseka dengan hujung jarinya. Makin laju air matanya merembes keluar semula.

"Ayah..." Dikuatkan hatinya, menutur perkataan itu keluar dari mulutnya. Perlahan dia menyebut perkataan itu.

"Mikael datang ayah."

"Maafkan Mikael ayah." Kedengaran teresak-esak tangisannya di pusara itu.

Dia bergerak sedikit, batu nisan yang berada di sebelah batu nisan ayahnya disentuh juga.

"Ibu.. Mikael datang."

Dia berhenti berbicara sebentar. Air mata dikesat.

"Ayah, ibu ampunkan Mikael. Mikael tak sempat jumpa ayah, ibu dan adik-adik sebelum Mikael pergi. Ampunkan Mikael sebab tak jaga Nur."

Tangan gadis di sebelahnya digenggam erat. Dia menoleh sesaat ke arah gadis itu sebelum dia bersuara lagi.

"Ayah, ibu. Mikael dah jumpa Nur. Adik Mikael yang masih hidup. Mikael sangkakan semua keluarga Mikael dah tak ada. Maafkan Mikael ayah, ibu."

Mikael mengelap air matanya. Dia bangun dan berjalan beberapa langkah. Pusara adik-adiknya pula dituju. Danial dan Mikayla.

"Adik-adik abang. Abang datang sayang."

Mikael mengemam bibirnya, berusaha menahan esakannya. Merah mata dan hidungnya. Dia kembali pula ke pusara ibu dan ayahnya.

"Ayah, ibu. Mikael janji Mikael akan jaga Nur baik-baik. Sepenuh hati Mikael, Nur nyawa Mikael. Mikael tak akan biarkan sesiapa pun menyakiti Nur. Mikael janji ayah, ibu." Batu nisan ibu dan ayahnya dicium.

"Abang.." Nur bersuara. Dari tadi dia membiarkan saja Mikael meluahkan segalanya. Dia duduk bersila ditepi abangnya diatas tikar mengkuang itu. Bahu abangnya disentuh lembut.

"Abang. Tak baik menangis macam ni. Ibu dan ayah mesti sedih tengok abang macam ni."

"Abang bersalah Nur, abang bersalah sebab tak cari Nur betul-betul. Hidup Nur menderita disebabkan abang."

"Abang tak salah. Semuanya ketentuan Allah. Tak baik abang asyik salahkan diri sendiri. Sekarang kita dah jumpa, abang tak perlu rasa bersalah lagi."

"Maafkan abang Nur, abang bersyukur sangat dah jumpa Nur." Mikael memeluk bahu adiknya. Ciuman kasih sayang dilabuhkan dikepala Nur. Air matanya masih lagi mengalir perlahan.

Nur turut mengalirkan air matanya. Baginya sekarang doanya telah dimakbulkan Allah, dan dia seharusnya gembira dengan pertemuan ini. Air mata yang mengalir saat ini adalah air mata tanda kegembiraan dan syukur kepada Allah. Semua yang berlaku adalah perancangan dari Yang Maha Esa. Susungguhnya Allah lebih mengetahui segalanya.









************









"Mak Long tak patut buat macam tu. Mak Long memang pentingkan diri sendiri." Tegas Mikael berkata. Wanita bertubuh agak gempal di hadapannya direnung tajam.

"Engkau masih budak masa tu, aku tak nak lah engkau sedih dengan berita keluarga kau yang dah mati tu." Jawab Hasnah bersahaja. Baginya dia tidak perlu ada perasaan bersalah kerana menyembunyikan cerita sebenar.

NUR : Kau CahayakuWhere stories live. Discover now