Setahun Kemudian
Pengajianku di luar negara berakhir enam bulan yang lalu. Keinginan untuk tinggal di sana untuk seminggu lagi berubah menjadi enam bulan. Setahun berada di sana, aku semakin selesa. Komunikasi juga tak menjadi masalah. Malahan, aku semakin fasih berbahasa Sepanyol.
Namun, aku tak boleh nak tipu diri sendiri. Mexico bukan tempat kelahiranku. Bolehku gelar rumah kedua, tapi takkan pernah menandingi tempat asalku; Malaysia. Walaupun... memoriku di Malaysia pahit semuanya.
Cuaca di Malaysia sangat baik hari ini. Langit cerah, tak ada tanda hujan akan turun tidak lama lagi. Cuaca di Mexico juga lebih kurang sama. Senanglah aku nak biasakan diri dengan cuaca di Malaysia semula. Cuma mungkin, perbezaan zon waktu saja yang menjadi masalah memandangkan Mexico City ketinggalan 14 jam di belakang waktu Malaysia.
Sekarang, mungkin keluarga yang memberikan aku tempat tinggal dan menjagaku sepanjang aku di sana sedang lena dibuai mimpi. Pukul tiga pagi; siapa saja yang masih celik matanya.
Pintu balai ketibaan penumpang bagi penerbangan antarabangsa dibuka. Aku menarik bagasiku bersamaku saat meninggalkan terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Perkara pertama yang aku sedari, ramai keluarga yang berada di situ untuk menyambut ahli keluarga mereka.
Tapi... tak ada satu pun yang memegang kadbod dengan namaku tertulis padanya. Mungkin enam bulan lalu, ada yang menanti. Aku terlewat enam bulan. Memang patut pun tak ada yang jemput.
"Bila kau balik nanti—itu pun kalau kau ada niat nak balik sini lagi, don't expect me untuk datang dan ambil kau."
Hujung bibirku menjongket ke atas. Menahan tawa. Kaca mata hitam aku tanggalkan, melihat dunia dengan lebih jelas.
Aiman, Aiman. Agak-agak kau masih merajuk lagi tak kat aku?
Aku menghentikan sebuah teksi. Sedia untuk menyambung kisah hidupku yang tergendala di sini.
+
Con Café tertera pada papan tanda kafe di hadapanku. Setahun berlalu dalam sekelip mata, tapi tiada yang berubah di kafe itu; tempat aku membesar. Pintu kafe dibuka sedikit dan aku menghirup udara. Aroma biji kopi dan manisan menyapa. Lantas senyuman terukir.
Tak tahu pula aku rindu sangat dengan tempat ni. Memori pahit dan luka yang aku dapat di sini, yang aku sangka akan memakan diriku selamanya, tak lagi menggangguku. Buat pertama kali dalam seumur hidupku, aku boleh kata dengan yakin, yang aku betul-betul okay.
Aku okay.
Aku menolak pintu, masuk ke dalam kafe. Nampaknya, masih ramai pelajar yang datang ke sini untuk menyiapkan tugasan atau sekadar meluangkan masa lapang bersama sambil menikmati kopi. Tak ada yang berubah.
"Selamat dat—" Dulang di tangan Kak Ainur hampir terjatuh. Mujur aku sempat menyambutnya. "Sha." Kak Ainur memandangku tak berkerdip.
Aku meletakkan dulang tadi pada meja di sisi kami. Terus menarik Kak Ainur ke dalam pelukanku. Betapa rindunya aku dengan dia; orang yang selalu ada untuk aku. Untuk naikkan semangat aku supaya teruskan hidup walaupun aku pernah putus asa.
"Sha rindu akak." Bisikku.
Kak Ainur menolakku, meleraikan pelukan kami. Dia menelitiku dari atas ke bawah. Kedua-dua tangannya di bahuku.
"Ini, ini betul Sha, kan?" Soalnya.
Aku rasa... perubahan aku tak adalah drastik sangat. Tinggi aku masih sama; terbantut. Tak ada pun ambil pil tinggi. Badan yang aku rasa gemuk, rupanya normal dan masih kekal sehingga sekarang. Tak ada pun buat diet ekstrem sangat sampai tak makan sebulan. Tak macam dulu.
Cuma... mungkin selendang warna hijau zamrud yang menutup rambutku membuatkan Kak Ainur terkejut. Atau mungkin juga sebab aku tak berhenti tersenyum. Mungkin juga cara aku tersenyum, menampakkan barisan gigiku yang tak rata tanpa perlu takut apa orang akan kata. Tak macam dulu.
"Akak tak rindu Sha ke?" Aku tertawa kecil, terhibur melihat reaksi Kak Ainur.
"Ainur, cupcake yang—" Suara feminin tegas itu terhenti.
Pandangan kami berpaut. Aku melepaskan tangan Kak Ainur. Perlahan-lahan menghampiri wanita yang semakin berusia itu. Mataku berkaca.
"Ma, Sha dah balik." Aku tunduk memandang lantai.
Aku malu. Aku tahu aku berdosa sangat. Aku tak sepatutnya tinggalkan tempat ni tanpa izin mama. Aku menyesal. Tak ada sehari yang berlalu tanpa aku menyesali perbuatanku.
Tiba-tiba, aku dapat merasakan sepasang lengan menarikku ke dalam dakapannya. Kehangatan pelukan seorang ibu yang selama ini aku dambakan, yang selama ini aku tak pernah rasakan dari wanita di hadapanku ini—akhirnya. Akhirnya aku ada seorang mama.
"Sha pergi mana? Sha jangan tinggalkan mama lagi. Mama minta maaf sebab halau Sha. Mama ingatkan Sha akan datang balik lepas sehari dua. Sha selalu datang balik. Tapi kenapa hari tu, Sha terus hilangkan diri?" Pelukan mama semakin erat. "Sha jangan tinggalkan mama lagi."
Tanganku naik. Mengusap belakang mama. Senyuman kecil terukir di bibir.
"Sha takkan tinggalkan mama lagi." Bisikku.
This time, I'll stay—selamanya.
"Iesha?" Tegur seseorang.
Aku menoleh ke arah datangnya suara tadi. Aina berdiri di belakangku. Baru saja masuk ke dalam Con Café. Aina juga tak ada bezanya. Masih cantik dan ayu seperti dahulu.
Kalau Aina ada kat sini, Aiman...
YOU ARE READING
Acah-acah Sweet
Teen FictionNurul Iesha; definisi 'hodoh' di mata semua. Namun hakikat itu dia ketepikan kerana kehadiran Khai sudah cukup untuk membuatkan dia rasa-bahagia. Sayang, bahagia itu sekadar pinjaman. Dengan kepergian Khai, hidup Iesha kucar-kacir. Dia mula memperca...