BAB 59

1K 22 4
                                    

Setahun kemudian...

TENANG dan redup suasana di sekitar tanah perkuburan Islam itu. Kedengaran sayup-sayup bacaan surah Yasin dari pelbagai arah menandakan ada beberapa ahli keluarga atau mungkin sahabat datang menziarah, termasuklah mereka berdua.

Selesai membaca Yasin, Dania menyimpan buku Yasin yang digunakannya dan Danial di dalam beg tangannya, kemudian dia menadah tangan, berdoa untuk kedua-dua orang tuanya yang dibaca oleh Danial. Seusai itu, doa diaminkan. Dania merenung pusara ibu bapanya seketika, melepaskan rindu yang terpendam. Danial yang seakan mengerti perasaan Dania ketika itu, mengusap lembut bahu isterinya.

"Abang tunggu dekat kereta ya?" katanya, seperti memahami yang Dania ingin meluahkan sesuatu kepada ibu bapanya itu. Dania mungkin perlu masa untuk bersendirian.

Dania hanya mengangguk sebagai balasan, kemudian menghantar kelibat Danial melalui pandangan mata. Mujur jarak antara kereta yang diparkir Danial dan pusara ibu bapanya tidak terlalu jauh.

"Assalamualaikum ibu, ayah. Maaf lama Ieya tak datang ziarah ibu dan ayah. Alhamdulillah, Ieya sihat..." Dania berjeda seketika, memikirkan perkara yang ingin diluahnya.

"Ibu, ayah... Ieya nak ucapkan terima kasih sebab lahirkan dan besarkan Ieya. Walaupun masa kita bertiga tak lama, tapi cukup untuk Ieya rasa kasih sayang yang ibu dan ayah curahkan buat Ieya. Tak terbalas jasa ibu dan ayah melahirkan dan membesarkan Ieya walaupun hanya untuk seketika. Ibu dan ayah tak perlu risau, mama dengan papa dah jaga Ieya dengan sangat baik. Abang Danial pun sama. Ieya rasa bersyukur sangat dapat kasih sayang daripada mereka. Ieya tak akan pernah lupa jasa mereka ambil Ieya sebagai anak angkat mereka. Mereka sayang, belai, didik dan jaga Ieya macam anak mereka sendiri. Ieya tak akan sesekali lupa sampai bila-bila." Dania menarik dan menghembus nafas, sebelum menyambung semula luahannya.

"Ibu, ayah... Sepanjang 25 tahun Ieya hidup di atas muka bumi Allah ni, banyak benda Ieya belajar. Ieya belajar yang rasa sayang terhadap seseorang itu tak semestinya perlu diungkapkan. Kadang-kadang, melalui perbuatan pun dah memadai untuk menunjukkan kasih sayang kita. Tak semua perlu dicakap, cukup hati saja yang tahu. Ieya juga belajar yang... rasa sayang terhadap manusia tak boleh melebihi rasa sayang terhadap Tuhan kita. Tak kiralah kita sayang orang tu macam mana sekalipun, kalau Tuhan tak takdirkan kita dengan orang tu, buatlah apa sekalipun, kita tak akan dapat dia. Rasa sayang yang melampaui batas pun boleh menyebabkan seseorang tu sanggup buat apa saja, sama ada baik ataupun buruk. Sehinggakan sanggup membunuh. Astaghfirullahaladzim, Ieya tak pernah sangka, lelaki sebaik Syed Arief Izman sanggup buat sampai ke tahap tu." Matanya dipejamkan seketika, membayangkan apa yang telah Syed Arief lakukan terhadapnya.

"Ieya berharap sangat, Arief sempat bertaubat dan dosanya diampunkan oleh Allah. Walaupun apa yang dia dah buat dekat Ieya tu sangat kejam, tapi Ieya faham kenapa dia jadi macam tu. Ieya tak salahkan dia pun. Ieya cuma boleh doakan yang baik-baik untuk dia." Langit yang cerah diperhati sejenak, sebelum pusara ibu dan ayahnya dipandang silih berganti.

"Ibu, ayah... Abang Danial dah dapat terima Ieya sebagai isteri dia. Sebenarnya dah lama dah, tapi Ieya baru nak bagitahu dekat ibu dengan ayah. Abang layan Ieya dengan baik, abang jaga dan lindungi Ieya, pendek kata abang betul-betul sayang dan cintakan Ieya. Ieya bersyukur sangat dapat suami macam abang Danial. Ieya tak minta banyak, cukup hubungan kami kekal sampai ke Syurga. InshaAllah..." Bibirnya menerbitkan senyuman saat dirinya menceritakan perihal suaminya kepada ibu dan ayahnya.

"Oh dan tak lama lagi, Ieya dah nak jadi seorang ibu. InshaAllah, Ieya akan besarkan dan didik anak-anak Ieya nanti dengan sebaik-baiknya. Ieya harap Ieya dapat jadi ibu yang terbaik untuk anak-anak Ieya, macam ibu. Aamin... Ibu, ayah... Ieya balik dulu ya? InshaAllah panjang umur, kita jumpa lagi. Ieya sayang ibu dengan ayah, sampai Syurga... Assalamualaikum..."

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Mar 16, 2022 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

Sayang Separuh NyawaWhere stories live. Discover now