BAB 49

1.7K 75 6
                                    

"JOM, sayang." kata Danial seusai membetulkan sedikit letak tali lehernya kepada Dania yang masih berada di hadapan cermin. Dania mencapai botol wangian Victoria's Secret miliknya lalu disembur dua tiga kali pada tubuhnya. Dia bergerak mencapai beg tangannya di birai katil namun dia terhenti apabila melihat Danial yang sedang menyembur wangiannya pada tubuh lelaki itu. Terbeliak matanya.

"Abang, tu bukan David's Secret la!" Pandai-pandai dia aje meng'David'kan nama perfume itu. Konon ingat David Beckham lah tu. Padahal Victoria's Secret tu langsung tak ada kena mengena dengan Victoria Beckham.

"Alah takpe la, lagipun sayang kan tak suka bau perfume yang abang pakai semalam tu. Abang dah buang dah pun. So now abang pakai la sayang punya. Takde la sayang nak mengelak dari abang lagi." balas Danial kemudian meletakkan semula wangian tersebut lalu bergerak ke muka pintu. Dania hanya senyum menggeleng lalu diikut langkah Danial keluar dari bilik mereka.

Perjalanan ke tempat kerja mereka hari ini agak aman dan lancar berbanding semalam. Dania juga duduk dengan selesa sementara Danial dapat memandu dengan tenang. Sesekali matanya dikerling ke wajah gerangan di sebelahnya. Lega rasa hati melihat wajah itu beriak biasa tanpa kerutan di dahi seperti yang dilihatnya semalam.

"Are you okay?"

"Hm?"

"No I'm just asking... Sayang okey tak hari ni?"

Dania senyum nipis. "Alhamdulillah setakat ni okey. Takde rasa nak muntah ke pening ke apa. Tapi... serious la abang buang perfume abang tu?"

"Serious la, sayang! Dia dah buat isteri abang sakit, abang campak la dia dalam tong sampah. Dia ada la menangis merayu-rayu kata 'Tolonglah kesian dekat saya, janganlah buat saya macam ni' tapi abang peduli apa? No one can hurt my lovely wife." Dania ketawa terus. Apa drama sangat suami aku ni? Perfume aje pun, bukannya pembunuh ke apa.

"Abang ni over la! Perfume je kut, dahlah mahal nak mati. Abang buang macam tu je?"

"Daripada abang nak kena hadap sayang jauh-jauh dari abang, pening kepala nak muntah semua lebih baik abang buang. Abang lagi sayang Ieya daripada perfume tu. Perfume boleh beli, sayang nak beli dekat mana? Sayang ada satu je tau dekat dunia ni, and you are only mine. Forever."

Dania berpaling memandang Danial yang kekal memandu di sisinya. Tersentuh hatinya mendengar kata-kata yang keluar dari mulut lelaki itu. Bicaranya agak ringkas tetapi amat bermakna baginya. Sesaat bibirnya menyimpul senyuman.

Jarang suaminya itu hendak mengungkapkan kata-kata cinta kerana seorang Danial sebenarnya tidaklah seromantis Romeo. Kerana bagi Danial, cukup Dania tahu isi hatinya tanpa perlu mengungkapkannya berlebih-lebihan.

*****

TELEFON yang berbunyi menandakan ada panggilan masuk dicapai oleh Dania lalu dilihat nama pemanggil yang tertera. Tanpa membuang masa skrin dialih dan telefonnya itu ditekap kemas ke telinga. Salam yang diberi dijawab terlebih dahulu.

"Waalaikumussalam. Ya Cik Damia' Areesya, ada apa-apa yang boleh saya bantu?"

"Tak payah nak skema sangat la, Cik Dania Aqira. Aku nak ajak kau lunch dengan aku ni."

"Aik, tiba-tiba je? Buah hati kau mana?"

"Amar ada lunch meeting katanya. Itu yang aku nak ajak kau."

"Ooh... buah hati dah tak ada, baru cari aku? Hmm macam ni la orang dah berpunya, boyfriend sendiri diutamakan, bestfriend akhirnya diketepikan."

"Ewah ewah, nak berdrama pulak minah ni. Kau jangan sampai tangan aku yang licin cantik berseri sampai dekat pipi putih gebu kau tu eh? Dah tak payah nak buat ayat sinetron sangat, nanti aku belanja kau. Tunggu aku macam biasa okey?"

"Ya lah, ya lah. Saja je nak test skil lakonan aku, kut-kut boleh lawan Mira Filzah ke?"

"Banyak la kau punya Mira Filzah! Jangan nak berangan."

"Ya lah aku sedar aku siapa, hanya seketul kentang." Dania membuat nada berkecil hati kononnya.

"Hee makin lama aku melayan kau ni, tak siap kerja aku dibuatnya. Dahlah, aku letak dulu. Bye."

Dania ketawa seketika sebelum panggilan itu ditamatkan. Aplikasi WhatsApp dibuka lalu ruang perbualannya dan Danial disentuh. Mahu memberitahu sekali gus meminta izin suaminya itu.

*****

"KAU nak belanja aku makan dekat mana ni?" soal Dania sebaik kereta Mia bergerak meninggalkan perkarangan bangunan syarikat. Mia mengetuk stereng kereta dengan jemarinya sambil berfikir.

"Entah la aku pun tak tahu sebenarnya nak makan dekat mana ni. Dah aku nak belanja kau ni kan, tak nak la pergi dekat tempat yang sama je."

"Hmm... dekat area sini ada tak kedai makan asam pedas yang sedap?"

"Kenapa? Kau nak makan asam pedas ke?"

Dania mengangkat bahu. "Tiba-tiba terasa macam nak asam pedas. Terbayang pulak kuah dia, makan dengan nasi panas-panas... wuishhh terliur aku. Tak boleh jadi, tak boleh jadi nak makan jugak." Mia mengerling pelik seketika ke arah Dania. Tinggi sebelah keningnya dijungkit.

"Kau punya terasa tu lain macam bunyinya erk?"

"Manalah aku tahu. Tiba-tiba je terlintas dekat kepala otak ni."

"Hah try la cari dekat google kut-kut ada dekat area sini. Senang sikit tak payah drive jauh-jauh."

"Kejap, kejap." Dania mengeluarkan telefonnya lalu dia membuat carian di Google. Beberapa saat kemudian, dia bersuara.

"Yes! Ada ni hah Mia. Dalam 200 meter dari sini. Tengok rating pun okey. Jom la, jom la." gesa Dania teruja semacam. Mia menggeleng-geleng.

"Iye iye, sabar sabar. Tak lari mana pun kedai tu."

Setelah memarkirkan kereta, Dania dan Mia sama-sama melangkah keluar. Dania berhenti seketika memerhati deretan kedai di hadapannya.

"Jom." Baru mereka mahu menapak ke hadapan, Mia tiba-tiba memanggil Dania.

"Weh kejap."

"Kenapa?"

"Phone aku tertinggal dalam kereta la." Mia kalut mengeluarkan kunci keretanya semula apabila menyedari telefonnya tiada.

"Takpe pergi la ambik, aku tunggu sini."

"Aku takut tak sempat, sekarang pun dah pukul berapa. Takpe kau pergi dulu tengok kedai tu, kut-kut penuh ke ramai orang ke. Kau bagitahu je aku kedai tu dekat mana."

"Ya lah. Kau nampak kedai dobi dekat depan ni kan? Sebelah kanan dia, selang tiga kedai." Mia mengecilkan matanya untuk memfokuskan pandangan. Jari telunjuknya menunjuk kedai yang dimaksudkan oleh Dania.

"Oh yang warna macam maroon tu?"

"Ha'ah situ."

"Okey kau pergi la dulu tengok tempat ke order dulu ke. Nanti aku datang."

"Ya lah mak cik." balas Dania kemudian terus saja melangkah mahu melintas jalan. Mia tersenyum lucu mendengar Dania memanggilnya begitu namun sekelip mata pandangannya terarah kepada sebuah kereta yang kelihatannya sangat laju bergerak ke arah Dania. Tiada langsung tanda-tanda mahu berhenti. Terus nama Dania dijerit kuat.

"Dania!"

Dania hendak berpusing memandang Mia namun matanya bertembung dengan sebuah objek yang sedang bergerak laju mendekatinya. Dia jadi terkaku. Kakinya seolah-olah dipaku di situ. Beberapa saat kemudian tubuhnya terasa ditolak kuat ke tepi oleh seseorang menyebabkan kedua-dua mereka terjatuh.

"Dania, kau okey tak?" Mia bertanya kalut. Kereta tadi langsung tidak berhenti sebaliknya terus bergerak jauh meninggalkan mereka. Muka Dania berkerut sambil bibirnya berdesis sakit. Luka melecet di tapak tangannya dilihat.

"Okey, okey."

"Weh siapa yang nak langgar kau tadi ni hah? Ini bukan saja-saja, aku syak dia memang sengaja nak langgar kau! Tengok la tak berhenti langsung, main blah macam tu je." marah Mia sungguh-sungguh. Mana tidaknya, tak ada angin tak ada ribut tiba-tiba nak langgar orang. Siapa aje yang tak bengang?

"Eihh biarlah dia. Tak payah peduli. Dahlah, jom la." Malas dia mahu memanjang-manjangkan perkara itu. Mia yang mahu membantu lekas dihalang Dania. "Tak apa aku boleh bangun sendiri." Dania yang baru mahu bangkit berdiri tiba-tiba mengerang sambil memegang perut.

"Dania! Kau kenapa ni?"

Dania menggeleng. "Tak tahu, perut aku sakit sangat. Maybe sebab aku lambat makan kut. Tolong angkat aku." Mia memaut kedua-dua bahu Dania untuk membantu mengangkatnya namun sesaat kemudian Dania kembali rebah lalu menjerit kesakitan. Bawah perutnya ditekan kuat, terasa bagai dicucuk-cucuk dengan ribuan jarum. Pelipisnya merenik peluh, mukanya berkerut sakit. Sebelah tangannya memegang kuat lengan Mia.

"Dania! Weh kau jangan buat aku takut..."

"Sakit Mia! Ya Allah... sakit..."

Mata Mia yang melilau terus tertumpu pada bahagian seluar yang dipakai oleh Dania yang terdapat kesan berwarna merah. Membulat besar matanya. Merah?

"Ya Allah, Dania!"

"Kenapa?"

"Seluar kau ada... d-darah..."

"Hah?"

Dania menunduk untuk melihat arah yang ditunjukkan Mia. Membuntang luas matanya melihat seluarnya yang sudah bertukar warna merah. Tubuhnya terasa menggigil. Sepantas kilat rasa sakit tadi kian mencengkam. Mia langsung panik melihatnya lantas menarik beg tangan Dania lalu tangannya menggagau ke dalam mencari telefon pintar rakannya itu. Sebelah tangannya cuba menenangkan Dania yang semakin mengerang sakit. Tanpa membuang masa, dia terus mendail nombor kecemasan.

*****

MIA bermundar-mandir di luar bilik rawatan kecemasan yang menempatkan Dania. Sebaik ambulans tiba tadi, Dania sudah tidak sedarkan diri di pangkuannya. Rasa risau dan sebak datang silih berganti. Belum pernah dia melihat sahabatnya itu kesakitan begini. Hairan, takkanlah kesan gastrik boleh sampai jadi macam ni? Dia pun tak tahu sangatlah effect penyakit gastrik kepada seseorang tetapi... takkan sampai ada darah?

Dari jauh, dia dapat melihat gerangan Danial dan Amar yang berlari mendekatinya. Setelah Dania dibawa masuk ke dalam ambulans, dia terus mendail nombor kedua-dua lelaki itu. Danial sememangnya wajib untuk diberitahu mengenai Dania kerana lelaki itu merupakan abang angkat kepada Dania, fikirnya.

"Mia, Dania macam mana?" Amar terlebih dahulu bertanya. Mia menggeleng.

"Tak tahu, doktor still dekat dalam."

"Macam mana boleh jadi macam ni?"

"Tadi kitorang keluar lunch, masa nak lintas jalan tu tiba-tiba ada satu kereta ni datang laju sangat ke arah Dania. Saya pun jeritlah panggil dia lepas tu saya tolak dia ke tepi. Sepatutnya tak jadi apa-apa la tapi tak tahu kenapa tiba-tiba dia menjerit sakit sampai habis seluar dia kena darah."

"Darah?" Jelas kerutan di dahi Danial mendengarnya. Teruk sangat ke? Kata tak kena langgar?

Mia mengangguk. "Tapi satu benda yang saya pelik, kereta tu langsung tak berhenti. Makin laju dia pergi tinggalkan kitorang adalah. Nampak sangat yang dia memang rancang nak langgar Dania."

"Tapi siapa yang jahat sangat nak buat macam tu? Kenapa Dania?"

Mia mengangkat bahu. Pertanyaan Amar lebih kurang sama dengan apa yang bermain di fikirannya. Puas sudah dia memikirkan kalau-kalau Dania ada musuh atau tidak. Tetapi Dania tidak pernah pula menceritakan yang dia ada tak puas hati dengan sesiapa atau sesiapa tak puas hati dengan dia. Setakat ni dia memang baik dengan semua orang, baik di sekolah, kolej mahupun pejabat.

Dua minit kemudian, doktor yang bertugas keluar dari bilik rawatan. Mereka bertiga meluru ke arah doktor tersebut bagi bertanyakan keadaan Dania.

"Doktor, macam mana dengan kawan saya?"

"Maaf, siapa ahli keluarga Puan Dania?" Doktor yang memakai tag nama Alyssa itu bertanya. Danial tampil ke depan.

"Saya, doktor."

"Encik ni suami Puan Dania ke? Sebab kalau boleh, saya nak bercakap dengan suaminya."

Mia dan Amar masing-masing mengerut dahi. "Suami?"

Danial memejam mata sesaat, mahu atau tidak dia harus mengaku juga. Kerana memang itu hakikatnya dan dia tidak mahu terjadi apa-apa kepada Dania.

"Ya, saya suami dia. Kenapa dengan isteri saya, doktor?"

Mendengar pengakuan Danial itu, Mia dan Amar memandang sesama sendiri. Terkejut namun keadaan Dania kini lebih utama daripada persoalan itu. Daripada gaya doktor ini berkata, keadaannya mungkin agak serius.

"Puan Dania selamat, alhamdulillah. Keadaannya stabil. Tetapi kesan hentakan yang agak kuat menyebabkan kandungannya yang berusia 4 minggu tidak dapat bertahan. Saya minta maaf, Puan Dania mengalami keguguran."

Danial memandang tidak percaya. Kandungan? Gugur? Dania mengandung? Kenapa aku tak tahu?

Fikirannya terus dipenuhi dengan memori-memori sebelum kejadian ini berlaku. Dania mengidam nak makan macam-macam, tak suka bau perfume dia... Kerana inilah? Dia mengandung? Isteri aku...

"Ya Allah Dania..." Kakinya menjadi lembik tiba-tiba menyebabkan Danial terjelepuk di situ juga. Dadanya sesak dipenuhi rasa sebak yang mencengkam. Amar turut melutut di sebelahnya sambil menepuk-nepuk bahu Danial, memintanya bersabar. Kolam matanya terus pecah dan Danial akhirnya teresak di situ.


******

Dan akhirnya, rahsia yang disimpan selama ini terbongkar... Tapi siapa pulak yang nak langgar Dania ni? Kenapa tiba-tiba? Kebetulan atau memang disengajakan? Hmmm....

Sayang Separuh NyawaWhere stories live. Discover now