Keesokan harinya, Eryna melangkah ke sekolah dengan perasaan yang bercampur baur, masih memikirkan tentang apa yang terjadi semalam. Namun, sesuatu yang lebih aneh menarik perhatiannya ketika dia melihat kelibat Asyariq dari jauh. Asyariq yang biasanya ceria dan tidak pernah melepaskan peluang untuk menyapanya atau memberi senyuman manis, kelihatan berbeza hari ini. Wajahnya suram, dan seakan-akan tiada sedikit pun senyuman terukir di bibirnya. Setiap kali mereka berselisih di lorong atau kelas, Asyariq hanya berlalu tanpa memandangnya, malah sengaja mengelak daripada bertembung dengannya.
Eryna merasa janggal dan sedikit terganggu dengan perubahan sikap Asyariq itu. Di kantin, Asyariq yang biasanya akan duduk berdekatan dengannya, atau sekurang-kurangnya menyapa, hari ini lebih memilih untuk duduk bersama kawan-kawan yang lain, tanpa sedikit pun melihat ke arah Eryna. Di padang dan perpustakaan juga begitu; tiada lagi usikan dan tegur sapa mesra yang biasa mereka kongsi.
Perasaan bersalah mula menguasai Eryna. Dia sedar bahawa sikap dingin Asyariq adalah hasil daripada permintaannya untuk diberi masa berfikir. Walaupun Eryna hanya ingin memastikan keputusannya tepat, dia tidak menyangka bahawa kata-katanya begitu menyakiti hati Asyariq hingga lelaki itu berubah sebegitu rupa.
Eryna teringat saat-saat mereka berbual dengan mesra, saat-saat di mana Asyariq sentiasa ada untuk mengembalikan senyuman di wajahnya ketika dia sedang susah hati. Kini, Eryna merasakan kekosongan yang tidak dijangka. Dia tahu bahawa hubungan mereka yang mesra selama ini terjejas, dan dia bimbang jika keadaan ini akan berterusan.
Dalam hati, Eryna bertekad untuk memperbaiki keadaan. Mungkin sudah tiba masanya untuk berterus terang dan jujur dengan perasaannya sendiri, sebelum Asyariq benar-benar menjauh.
Petang itu, Eryna duduk di bangku tepi padang, memerhatikan perlawanan bola sepak yang berlangsung dengan hati yang tidak tenteram. Biasanya, Asyariq akan memberitahunya lebih awal tentang perlawanan seperti ini. Malah, Asyariq selalunya akan menjemputnya untuk memberi sokongan, dan mereka akan berbual mengenai strategi dan pasukan masing-masing. Namun, sejak kejadian semalam, telefon Eryna sunyi tanpa sebarang mesej daripada Asyariq. Setiap kali dia melihat skrin telefonnya, hanya mesej daripada Izzah, Emelia, dan kumpulan kelas yang muncul, namun tiada satu pun mesej daripada Asyariq.
Malam tadi, tidurnya tidak lena. Berkali-kali dia cuba memejamkan mata, tetapi bayangan wajah Asyariq yang muram asyik muncul dalam fikirannya. Rasa bersalah mengisi hatinya; dia tertanya-tanya sama ada dia telah membuat keputusan yang salah dengan meminta masa untuk berfikir. Dalam hatinya, Eryna tahu dia menyukai Asyariq, tetapi kerana takut melukai perasaan sendiri, dia memilih untuk memberi jarak—dan kini jarak itulah yang menyakitkan perasaannya sendiri.
Sambil duduk di bangku, Eryna melihat Asyariq beraksi di padang. Dia bermain dengan penuh semangat, namun Eryna dapat melihat perbezaan dalam sikapnya. Wajahnya yang selalu ceria kini tampak lebih serius, dan senyuman yang biasa terlihat hilang dari wajahnya. Setiap kali Asyariq menendang bola atau berlari, Eryna merasakan dadanya berdebar dan rasa bersalah semakin menebal.
Eryna mengambil nafas dalam-dalam, cuba mencari kekuatan dalam dirinya. Dia menyedari bahawa dia tidak boleh terus berdiam diri. Jika perasaannya benar, mungkin sudah tiba masanya untuk dia menyatakan apa yang sebenar dalam hatinya, sebelum semuanya terlambat.
Saat Eryna duduk melepak sendirian di kerusi antara kelas dan kantin, fikirannya masih melayang kepada Asyariq. Namun, lamunannya terhenti seketika apabila Emelia dan Izzah menghampirinya, mengejutkannya dari dunia khayal.
"Woi Eryna... Kau buat apa seorang-seorang kat sini?" soal Emelia, mengangkat kening sambil merenung wajah Eryna.
"Hah, kau buat apa kat sini? Sampai aku dengan Emelia datang dari belakang pun kau tak sedar," sambung Izzah, mencuit bahu Eryna dengan riang.
YOU ARE READING
Kau Sempurnakan Cintaku ( C )
RomanceTengku Asyariq Xavier dan Nur Eryna Adrea bercinta selama 7 tahun kerana Yasmin menunjukkan dia lagi cantik dari Eryna. Asyariq lebih memilih Yasmin dengan memutuskan hubung bersama Eryna. 4 Tahun Eryna membawa diri ke itali. Kini, Dia kembali ke Ma...