Semenjak abang Ayden keluar daripada hospital , dia sudah menjalani rawatan fisioterapi seperti yang disarankan oleh doktor.
Hari ini sudah genap dua bulan abang Ayden menjalani rawatan fisioterapi.
Sepanjang dua bulan ini abang Ayden tidak banyak bercakap. Abang Ayden menjadi seorang yang sangat pendiam. Jarang bercakap. Bukan seperti abang Ayden yang dulu. Suka bersendirian.
Aku masih ingat seminggu selepas dia keluar dari hospital. Dia meraung dan menangis seperti orang hilang arah apabila mengetahui kakinya tidak dapat berjalan seperti biasa. Setiap hari mengulangi perkara yang sama. Malah, dia juga memberontak. Tidak mahu orang sekelilingnya meraih simpati kerana keadaan dia seperti ini.
Dan akhirnya, Evren yang memujuk dia supaya meneruskan rawatan fisioterapi ini. Aku tidak tahu apa yang telah suami aku dan abang Ayden bicarakan namun aku tetap bersyukur abang Ayden mahu mendengar kata untuk melakukan rawatan fisioterapi ini.
Hari ini merupakan hari terakhir abang Ayden melakukan rawatan fisioterapi kerana dua minggu yang lepas abang sudah memakai tongkat untuk berjalan. Tiada lagi kerusi roda. Tiada lagi tongkat. Semua hasil usaha abang Ayden sendiri dan berkat kesabaran abang Ayden juga. Kami hanya sebagai pendorong dia untuk terus tidak putus asa.
Aku dan suami aku selalu ulang alik dari rumah kami, kadangkala kami tidur di villa papa. Abang Ayden perlukan sokongan moral daripada ahli keluarga jadi kami tidak mahu abang Ayden rasa terpinggir kerana keadaan dia seperti itu.
Walaupun dia masih mendiamkan diri seperti dulu namun dia masih mahu mendengar kata. Tidak seperti dulu yang suka memberontak. Kami bergilir-gilir menjaga abang Ayden kerana mama mahu kami semua dekat dan sentiasa melakukan interaksi dengan abang Ayden. Kadang-kadang kami membawa abang Ayden keluar dari rumah untuk menghirup udara segar di luar supaya abang Ayden tidak terus terperap di dalam bilik.
Kami juga tidak pernah menyoal tentang kejadian malam tersebut kerana kami mahu abang Ayden fokus membaik pulih dahulu kakinya yang sakit. Lagipun kecederaan di wajahnya juga sudah sembuh sepenuhnya. Wajahnya kembali seperti biasa. Aku selalu menawarkan padanya untuk mencukur bulu-bulu halus yang meliar di mukanya. Abang Ayden juga tidak banyak karenah hanya menurut saja.
Aku mengemas sedikit bilik abang Ayden yang agak berselerak. Dia yang duduk di atas sofa itu hanya memandang ke arahku. Aku menyudahkan kerjaku. Punggung dilabuhkan di sebelahnya.
"How's your feeling today? Feeling better?"
Diam.
Tangan kanan dia aku raih. Mata memandang wajahnya. Beku. Tiada sebarang kata-kata yang dia berikan.
"Abang, adik nak tanya sesuatu boleh?"
Masih diam.
Aku sudah buntu mahu menyoal abang Ayden namun ada hal yang mengganggu fikiranku. Daripada hal ini terus membelenggu fikiran aku jadi aku memutuskan untuk bertanya.
"Abang masih ingat kejadian malam itu?" Wajahnya berubah.
Dia memandang tepat ke dalam anak mataku. Tangannya sudah mahu menampar aku manakala aku sudah menutup kedua-dua mataku. Reda jika abang Ayden mahu menampar aku.
Namun, tiada. Keluhan berat dia lepaskan.
"Aku bosan hidup macam ini. Aku tak tahu. Kau takkan faham apa yang aku rasa." Luah abang Ayden dengan lemah.
Pertama kali dia mahu berbicara dengan aku. Abang Ayden meluahkan rasa yang terbuku di dalam hatinya padaku? Walaupun kata ganti nama diri sudah bertukar. Rasa sedih menjengah hati. Abang Ayden dah tak sayang adik ke?

YOU ARE READING
EVE [COMPLETE]
Mistero / Thriller1. EVE Arsya Althea Binti Arman Akhtar anak kacukan Indo-Malay. Siapa tidak kenal sikap kasar dan dinginnya seperti ratu ais. Arsya merupakan adik kepada seorang geng motor di Indonesia. Kepulangannya ke Indonesia adalah untuk mencari siapa dalang d...