Bab 25

243 13 0
                                    

Tepat jam 9:00 pagi. Maeza, Rareesa dan Eshal mengajakku untuk pergi ke Waterbom Bali. Eshal adalah manusia yang paling teruja untuk menghabiskan masa di situ kerana Eshal suka bermain dengan air.

Selesai menukar pakaian untuk bermain dengan air selepas ini. Kami terus menuju ke arah gelongsor Climax. Macam nak gugur jantung aku apabila melihat gelongsor Climax itu. Hal ini kerana gelongsor Climax merupakan gelongsor air tercuram di Asia. Seriau rasanya apabila melihat gelongsor yang panjangnya lebih kurang 250 meter itu.

Maeza orang pertama di antara kami yang berani untuk mencuba gelongsor gergasi ini. Diikuti oleh Rareesa, Eshal dan aku. Suara mereka bertiga menjerit membuat pekerja lelaki di situ tersenyum. Aku mula gugup kerana giliranku selepas ini. Kaki melangkah masuk ke dalam tempat lut sinar itu. Lelaki tadi memberi arahan sebelum aku masuk ke dalam. Pintu lut sinar itu ditutup. Kaki disilangkan dan tangan memeluk tubuh sebelum lelaki di luar itu menekan butang dan badanku terus meluncur ke bawah. Aku menjerit sekuat hati melepaskan segala masalah yang bersarang di dalam fikiranku. Dan badanku terus masuk ke dalam air.

Dush! Air menyimbah muka. Tangan meraup wajah yang terkena air tadi.

"Best kan?" soal Maeza yang tidak jauh dari aku menyelam tadi.

Aku angguk.

"Lepas ni kita try yang super bowl pula. Lepas tu, kita cuba yang pipeline." Maeza terus mengangguk mendengar ajakan Eshal.

Eshal agak lasak antara kami tapi dia juga yang paling kuat menjerit. Lihat saja tadi, dia menjerit seperti dapat emas selori. Aku hanya menggeleng kepala apabila mengenangkan sikap sepupu aku yang satu ini.

"Ya, ya. Semua jenis gelongsor kau cuba nanti. Daripada berendam lama-lama dekat bawah ini lebih baik kita sambung semula meluncur dekat gelongsor atas itu," ajak Rareesa pula.

Kami berempat terus naik semula untuk mencuba gelongsor gergasi yang ada di situ.

Hampir empat jam kami menghabiskan masa di situ. Kami memutuskan untuk berjalan-jalan di Pasar Seni Ubud.

Pasar raya ini terletak di istana Puri Saten Ubud. Bermacam-macam hasil kraf tangan yang terdapat di Pasar Seni Ubud ini seperti sulaman beg, bakul, topi, layang-layang dan banyak lagi. Tidak lupa juga untuk mengambil gambar sebagai kenangan nanti. Bermacam gaya kami gayakan semasa mengambil gambar. Ada yang memuji kami berempat seperti kembar kerana kami seperti adik beradik. Bukan! Kanak-kanak ribena mungkin lebih sesuai. Bahagia dengan dunia sendiri. Hahaha.

Aku membeli beberapa cenderamata untuk dibawa pulang sebagai kenang-kenangan nanti. Bali memang cukup indah dengan keindahan alam, tradisi dan banyak lagi lah. Memang patut Bali dapat menarik pelancong untuk bercuti di sini kerana ia mempunyai tarikan yang tersendiri.

Setelah penat menghabiskan masa di Waterbom Bali dan Pasar Seni Ubud. Kami berempat pulang semula ke hotel. Perut sudah berkeroncong minta diisi. Jadi, kami memilih untuk makan di restoran sahaja memandangkan masing-masing sudah malas dan penat untuk berhenti di mana-mana stesen lagi.

Petang itu kami memesan banyak makanan. Kami memesan ayam betutu, ayam bumbu bali, sate kerang, sambal embe, dan kerupuk. Menu utama untuk petang ini semestinya kerupuk kerana masyarakat Indonesia memang wajib ada kerupuk apabila makan nasi. Aku pun semenjak tinggal di sini sudah terbiasa dengan tradisi mereka. Makanan di restoran ini merupakan antara makanan yang sedap pernah aku rasa sepanjang aku berada di Indonesia. Lagi pula, restoran ini berada di dalam hotel kami menginap. Kalau lapar boleh turun saja atau room service.

Selesai sahaja makan, Maeza menyandarkan badannya di kerusi. Tak senonoh betullah dia ini. Rareesa dan Eshal pula seperti ular sawa. Kenyang sangatlah tu.

EVE [COMPLETE]Tempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang