Berkali-kali Zed menoleh ke belakang mahu melihat samada orang-orang Leo masih mengejarnya atau tidak. Semakin lencun peluh merenik membasahi seluruh tubuhnya bila dia masih lagi dikejar oleh orang-orang Leo. Sesekali kedengaran bunyi tembakan dilepaskan namun tersasar.
Zed berlari keluar ke jalan besar. Semakin terasa pincang larian nya akibat kelelahan yang melampau. Terasa oksigen dalam tubuhnya semakin berkurangan. Sudah 30 minit dia berlari tanpa henti. Dan airmatanya merembes keluar tidak mahu berhenti mengenangkan Haris dan Darlina yang mungkin saja sudah menjadi mangsa kekejaman Leo di mansion itu.
Zed jatuh tersungkur. Lututnya berdarah. Tapak tangannya turut luka bila bergesel dengan permukaan jalan. Suara orang-orang Leo sudah kedengaran semakin dekat. Zed semakin cemas dan panik. Sedaya upaya dia cuba angkat tubuh nya yang sedang tertiarap di atas permukaan jalan. Dia kena lari dan tidak boleh membiarkan dirinya kena tangkap. Kerana nanti dia akan kembali untuk menyelamatkan Haris dan Darlina.
Dia akan minta tolong dengan Master James walau apa pun caranya. Apa yang berlaku ke atas mereka, Master James harus bertanggungjawab.
"Itu dia!!" Pekikan suara orang-orang Leo semakin menerjah pendengaran.
Bingkas Zed angkat tubuh dan kembali menyambung lariannya. Larian nya semakin perlahan kerana dia benar-benar hilang tenaga. Dan disaat orang-orang Leo sudah hampir berjaya mahu menangkapnya, ada sebuah kereta tiba-tiba berhenti di situ dan seorang lelaki membuka pintu dan terus menarik Zed masuk ke dalam kereta.
Orang-orang Leo sudah menyumpah bila mereka gagal hendak menangkap Zed. Masing-masing melepaskan lelah sebelum berpatah balik ke mansion.
Zed pejamkan mata. Tercungap-cungap dia menarik nafas. Tapak tangan memegang dada yang terasa perit. Mulut hanya mampu ternganga bersama kelopak mata yang dipejam rapat. Cuba meredakan jantung yang laju mengepam darah. Seketika, Zed buka mata sebelum dia melihat Ricky yang duduk di sebelahnya. Zed tegakkan tubuh dan liur ditelan berkali-kali. Riak wajah Ricky tidak melambangkan sebarang kemesraan, sebaliknya riak tegang dan marah yang jelas terpamer.
"Gagal! Bullshit!" Keras suara Ricky kedengaran bersama wajah yang merah padam.
"M-maaf Rick... kami dah berjaya dapatkan peti tu tadi.. memang dah keluar dari kawasan mansion, tapi tak tahu macam mana orang-orang Leo boleh muncul dekat situ"
"Itu sebabnya aku kata kau bertiga ni pencuri tak ada guna! Bodoh! Bapak aku tu saja yang percaya sangat dengan kerja kau bertiga ni! Sekarang apa jadi? Kau ingat kita akan selamat ke kalau Leo dah desak Darlina dan Haris untuk buka mulut nanti?"
"Rick, tolong selamatkan Haris dan Darlina" Zed merayu. Dia benar-benar risaukan nasib Haris dan Darlina sekarang ini.
Ricky hanya tertawa sinis mendengar kata-kata Zed. Ada hati lagi nak mintak tolong dengan dia nak selamatkan pencuri tak berguna tu.
"Kau rasa nyawa mereka berdua tu akan bertahan lama ke? Kau tak kenal lagi agaknya siapa Leo tu"
"Rick, tolong Rick. Aku merayu sangat-sangat dengan kau Rick" Pinta Zed bersungguh-sungguh.
"Hal ni kena minta pendapat dari Master dulu. Aku tak nak memandai-mandai bertindak. Leo tu musuh ketat Master. Bukan senang nak merampas apa yang sudah berada dalam genggaman Leo. Haris mungkin saja akan dibunuh, cuma Darlina aku tak pasti. Leo tu boleh tahan juga kalau bab-bab 'makan' perempuan. Dia juara!" Ricky ketawa lagi.
Kalau nak dibandingkan dia dengan Leo, Leo memang lebih menjadi perhatian perempuan di luar sana. Sekali Leo petik jari, tak susah untuk seorang perempuan terus terkulai layu dalam pelukannya.

ANDA SEDANG MEMBACA
LEO'S POSSESSION | eBook
RomanceRAPHAEL LEO BIN RONNY ABDULLAH, seorang lelaki berdarah kacukan Melayu Vietnam. Pemilik mansion dan sebuah empayar perdagangan yang diberi nama EMPAYAR WHITE OWL. Dia lelaki yang punya segalanya, kecuali satu, iaitu didikan AGAMA DAN KASIH SAYANG. H...