CAHAYA dari bangunan mulai bertukar malap. Angin malam turut menampar lapisan epidermisnya pada bahagian muka dan telapak tangan. Beg tangan miliknya dipeluk sekuat mungkin bagi menghilangkan debaran yang kian bermaharajalela di dada.
Gegendang telinga pantas menghasilkan impuls saraf ke otak. Setiap kali Girzelle Edrea mara setapak ke hadapan, satu lagi langkah kedengaran mengikutinya dari belakang. Sehabis mungkin dia cuba berfikiran positif. Namun, bagaimana dia mahu berfikiran sebegitu jika berada di dalam situasi begini?
Malam. Seorang diri. Derapan kaki seseorang dari belakang.
Perasaan menyesal menyerbu ke benak fikirannya. Alangkah baiknya jika dia menuruti saja kata ibu, pasti dia tidak akan mengalami situasi sebegini.
" Ibu rasa macam tak sedap hatilah, Rea." Ujar Puan Zulaiha keresahan setelah mendengarkan permohonan anak perempuannya itu. Bukannya dia tidak mempercayainya, malah terlebih percaya. Cuma... Tidak tahu kenapa hatinya berasa tidak enak. Bagaikan ada sesuatu yang buruk bakal menimpa Edrea.
" Bolehlah ibu... Rin pun ada sekali. Rea janji, settle saja assignment kami, Rea terus balik. Tak melencong ke mana-mana dah." Edrea masih meminta keizinan.
Dia sudah berjanji untuk turut sama mengikuti kerja kelompok selepas Asar nanti bersama rakan-rakannya yang lain. Arin yang merupakan sepupunya juga ikut serta.
" Janji? Balik awal?" Tersimpan ragu-ragu pada omongan Puan Zulaiha.
" Janji!" Sahut Edrea pantas.
Perjanjiannya bersama ibu sudahpun Edrea mungkiri dengan sebab yang bukan dari kemahuan diri sendiri. Semuanya berlaku secara drastik.
Tiba-tiba saja Arin mendapat panggilan daripada Puan Aliyah, iaitu ibu saudaranya untuk pulang dengan segera. Katanya kerana urusan keluarga. Kemudian Arin menyuruh Edrea menumpang rakan-rakan mereka yang lain untuk pulang ke rumah memandangkan Edrea kemari bersamanya.
Dan disaat Edrea ingin menyatakan hal itu, kesemua rakan-rakannya yang seramai 3 orang itu turut mengalami urusan mendadak. Jadi mahu tak mahu, Edrea terpaksa pulang sendiri.
Semakin lama, Edrea melajukan langkahnya. Dia sudah tidak betah di sini. Pelbagai fikiran negatif memburu masuk ke mindanya.
Gengaman tangan diperketatkan. Tidak tunggu lama, dia terus lari sekuat mungkin. Dalam masa yang sama, dia turut mendengarkan derapan kaki dari belakang yang seolah-olah sedang mengejarnya.
"Tolong!" Tempiknya kuat walhal sangat mustahil bakalan ada manusia yang lalu-lalang di kawasan ini.
Saat mata melihat kawasan jalan raya di hadapan sana, semakin laju Edrea pecut. Sekurang-kurangnya ramai manusia yang berada di sana.
Baru setapak Edrea keluar dari lorong tadi, entah bagaimana silapnya, dia dikejutkan dengan cahaya putih yang laju meluru ke arahnya.
BUKK!!
Edrea terkulai di atas jalan tar. Selendang ungu cerahnya kian bertukar merah. Cecair merah mengalir laju ke pipinya. Dengan mata yang kian memberat, sempat Edrea melirik pada pacuan empat roda yang melanggarnya tadi, bergerak laju membelah jalan.
" T...tolong...." Katanya dengan perlahan. Apabila merasakan sesuatu yang berada di kerongkong, Edrea terus memuntahkannya. Semerta-merta blouse putih yang tersarung di tubuhnya turut bertukar kemerahan. Darah!
" Ada accident! Call ambulans cepat!" Jerit seorang wanita yang berada disitu. Langsung, orang-orang awam mengerumuni Edrea yang semakin lemah.
Sedaya-upaya dia cuba untuk menahan mata sendiri daripada terkatup. Tolonglah aku, Ya Allah...
" Cik, jangan tutup mata." Ujar seorang lelaki lingkungan 30an.
Tiba-tiba bunyi deringan telefon kedengaran dari beg tangan Edrea yang tercampak tidak jauh darinya. Salah seorang wanita muda di situ terus menyeluk beg tangan itu lalu mencari-cari alat elektronik disebalik barang-barang yang lain. Saat objek yang dicari telah dijumpai, nama si pemanggil yang tertera 'Ibu🤍' dilihat sebelum terus talian disambungkan.
" Assalamualaikum, puan..." Setelah itu, Edrea tidak mampu mendengar apa-apa lagi. Sempat bunyi siren ambulans menjengah ke pendengarannya. Lampu merah yang menyala juga tidak mampu membuatkannya mencelikkan mata.
Kau jagalah ibu untuk aku...
PUAN Zulaiha kekal disisi satu-satunya anak gadis yang dia punya. Telapak tangan Edrea yang tidak menunjukkan sebarang pergerakan itu diusap-usap perlahan.
Sejurus itu juga, cecair jernih menuruni ke pipi. Berat hatinya melihatkan keadaan Edrea sebegini. Satu-satunya anak yang dia jaga dengan didikannya, kini terbaring lemah di atas katil hospital.
Tuhan saja tahu bagaimana luruh hatinya saat suara wanita asing yang menjawab panggilannya dan mengatakan keadaan Edrea. Langsung, dia menuju ke hospital dengan meminta bantuan Puan Hazira, adik bongsunya.
" Anak ibu...." Tudung yang menutup kepala anaknya itu diusap. Turun ke dahi Edrea yang ditampal kain kapas lalu ke kesan calar di pipi.
Ya Allah... apakah dugaan ini?
Pintu bilik wad yang menempatkan Edrea dikuak dari luar. Laju saja Arin menerpa masuk ke dalam. Tangan dihulurkan pada ibu saudaranya.
Kemudian, dia menatap sayu wajah sepupunya.Baru beberapa jam yang lalu mereka bertemu, keadaan Edrea juga masih baik-baik saja. Tidak disangka kini Edrea sedang terbaring lemah.
" Alah, ingatkan teruk sangat. Hidup saja ni, tak mati pun." Cantas Puan Aliyah. Tubuh sendiri dipeluk. Meluat dengan adegan drama yang sedang berlangsung dihadapan mata. Macamlah teruk sangat keadaannya seperti sedang nazak.
" Tak baiklah, ma... Orang sakit kita simpati, bukannya kata yang bukan-bukan. Doa sajalah baik-baik." Arin menasihati mamanya. Perangai dari dulu tidak pernah berubah. Dia pun tidak tahu mengapa mama sangat bencikan Edrea.
Puan Zulaiha sekadar menekur pandangannya pada gengaman tangan Edrea. Sedaya-upaya dia menahan amarah yang sedang menggelegak di dalam jiwa saat mendengarkan mulut lancang kakaknya itu. Kalau tidak diingat bahawa mereka adik-beradik, sudah lama dia amuk puas-puas.
" Apa yang ma cakap bukan-bukan? Betullah, kan? Tak mati pun, kan? Hidup saja lagi, kan?" Sengaja Puan Aliyah menoleh pada adiknya saat mengatakan ayat terakhir itu. Hendak melebih-lebih dah kenapa? Bukannya anak tu masuk dalam lubang kubur pun.
" Kau dah kenapa ni, kak? Kalau ya kau tak suka Rea sekalipun, perlu ke cakap macam tu, hah?" Masuk saja ke bilik wad ini, Puan Hazira terus memuntahkan kata. Geram sekali dengan sikap kakak sulung mereka itu. Langsung tiada simpati pada nasib anak saudara mereka.
" Agaknya satu family kita ni dah kena guna-guna dengan budak ni. Semua orang nak sokong dia. Menyampah aku."
" Jomlah kita balik, ma. Daripada ma cakap benda yang mengarut-ngarut, ada baiknya kita balik saja. Rin minta maaf Mak Ngah. Esok Rin datang lagi dengan Mak Lang." Setelah berpamitan, Arin terus menarik lengan Puan Aliyah dan bergerak keluar meninggalkan kawasan bilik wad ini.
" Kak Ngah okey tak ni? Janganlah ambil hati dengan Long tu. Bukannya Kak Ngah tak kenal perangai dia tu macam mana." Bahu kakaknya itu dielus.
" Kak Ngah okey. Biasalah, Long kan dah masuk 50an. Nak menopaus, kut." Balas Puan Zulaiha berbaur jenaka.
" Tak baiklah!" Tawa halus terbit dari ulas bibir mereka. Namun, tawa Puan Zulaiha terhenti saat terasa pergerakan pada gengaman tangannya yang bersatu dengan Edrea. Puan Hazira turut melakukan hal yang sama.
Mereka saling berpandangan sebelum Puan Hazira segera mendapatkan doktor, "Doktor!"
YOU ARE READING
BAYANG RAHSIA
Mystery / Thriller" Memaafkan memang mudah. Tapi untuk melupakannya tersangatlah payah." Girzelle Edrea, namanya tidak seunik alur cerita yang telah Ditulis. Gadis polos itu bagaikan burung yang dikurung di dalam sangkar. Tambahan pula setelah peristiwa 2 tahun lepas...