SEPERTI yang telah dia katakan pada Luq dan Karl minggu lepas, tibalah Xian di kediaman Tuan Qaid senja ini. Dia bercadang untuk pulang di waktu pagi sebenarnya, tetapi dia mempunyai urusan dengan Ustaz Mukhtar.
Jadi mahu tak mahu, terpaksalah dia tunda ke petang. Ini pun dah dikira terlewat kerana hari sudah senja.
Mata Xian mengamati seluruh kawasan. Tidak banyak yang berubah dari sebelum dia keluar tempoh hari. Sedikit perbezaan hanya pada taman yang kelihatan lebih banyak dengan pokok-pokok bunga. Sudah tentu tumbuhan-tumbuhan itu adalah kirimannya selama 3 bulan.
Faktor utama Xian berbuat sedemikian kerana dia tahu Kak Yam dan Edrea suka menanam bunga. Faktor kedua, dia nak mencantikkan taman. Dan faktor ketiga, dia nak bantu kembangkan lagi bisnes Bunga. Walaupun perniagaan gadis itu sudah mencanak naik, dia tetap nak tolong.
Entahlah...
Teringatkan Bunga, wanita pertama yang berjaya mencuri hatinya suatu ketika dahulu, Xian beristighfar beberapa kali. Dada sendiri diusap.
Dia harus melupakan Bunga. Wanita itu sudah menjadi hak milik orang lain. Tunangan orang.
Namun persoalannya.... mampukah dia?
Nafas ditarik dalam-dalam lalu dihembus keluar ke atmosfera. Lupakan Bunga. Dia perlu teruskan hidup seperti sedia kala. Lagipula dia tak akan berjumpa dengan Bunga dah.
Kalau bertentangan mata pun mungkin di madrasah saja memandangkan Ustaz Mukhtar ada berpesan padanya supaya sentiasa menjenguk mereka di sana.
Tak mungkinlah dia bakal melupakan mereka disana yang sudah banyak membantunya hanya kerana ingin mengelak dari bertembung dengan Bunga.
Itu namanya tak kenang budi.
Puas menjenguk ke sekeliling halaman rumah, Xian terus melangkah masuk ke dalam dengan membawa beg pakaian di tangan. Hari ini Xian mengenakan jubah berwarna hijau sedikit gelap. Sejujurnya, hadiah daripada Bunga sebelum gadis itu bergelar tunangan orang.
Membazir jika dibuang, baik dia pakai saja. Sebagai tanda mereka pernah bertemu.
Setelah salam diberi, lantas Xian menuju ke ruang tamu. Ke arah salamnya bersambut. Wajah pertama yang menyapa kornea mata Xian sudah semestinya Tuan Qaid.
"Xian..." Tuan Qaid berdiri dari duduknya. Perlahan-lahan, mendekati sekujur tubuh Xian. Atas bawah mata tua itu merenung pakaian Xian yang berada dihadapannya. Dia bagaikan tidak percaya dengan apa yang tengah disajikan padanya.
"Tok Daddy sihat?" Xian bertanya seusai dia menyalami tangan Tuan Qaid. Senyuman tak lekang di bibir.
"Sihat alhamdulillah... Tak sangka cucu Tok Daddy berubah sampai ke tahap ni. Syukur sangat.." Ucap Tuan Qaid. Berbeza sungguh Xian yang sebelumnya. Raut wajah Xian yang putih bersih, memancarkan ketenangan.
"Alhamdulillah..." Xian juga bersyukur di atas usahanya selama ini. Tapi itulah... keluarga kandungnya masih belum tahu akan hal ini. Bukan dia ingin sorokkan dari pengetahuan keluarganya, cuma Xian mahu mencari masa yang sesuai untuk berterus-terang. Walaupun dia sendiri tidak tahu bila waktu itu bakal tiba.
Xian alihkan pandangan pada Cal, Irvanz, Luq dan Karl yang turut berada di ruang ini.
Walau wajah kosong yang Cal lemparkan, tapi pada dalaman, kata syukur tak henti-henti dituturkan. Xian terlihat lebih matang dengan sepersalinan itu. Bagai dilahirkan semula.
Mata Edrea sekejap terpejam, sekejap terbuka. Diulangi beberapa kali. Betulkah apa yang sedang disaksikan oleh matanya ini? Dia silap orang atau itu memang orangnya?
"Xian?" Edrea angkat sebelah kening.
Xian berpaling pada punca suara. Kemudian, dia melebarkan lagi senyuman yang bertakhta di bibir. Memang dia sengaja minta orang yang berada di dalam rumah ini agar merahsiakan punca dia menghilang diri daripada Edrea. Nak buat kejutan kerana apa yang dikatakan oleh Edrea tempoh hari, turut memberi motivasi pada dirinya.
"Awak Xian?" Mulut Edrea terlopong. Dia seperti tak percaya. Inikah sebab Xian menghilang selama berbulan-bulan lamanya?
"Kenapa? Nampak macam hantu ke?" Tanya Xian, sempat berloyar buruk.
"Tutup mulut tu sayang. Masuk lalat karang." Tegur Cal. Nak terkejut pun agak-agaklah. Dia ada dekat sini. Masih bernyawa lagi.
Lekas Edrea menutup mulutnya yang sedikit terbuka tadi. "Kenapa abang tak bagitahu Rea?" Ajunya pada Cal. Sampai hati! Berkali-kali dah dia tanya pada Cal akan keberadaan Xian. Tapi Cal hanya balas yang Xian pergi mencari ketenangan.
"Saya yang suruh." Cantas Xian. Enggan membiarkan Edrea mempersalahkan Cal.
"Kenapa?"
"Saja nak surprise. Inikan yang awak beritahu saya hari tu. Tanya pada yang pakar." Jawab Xian.
Arin sekadar mengintai mereka yang berada di ruang tamu dari dapur. "Kak Yam... lelaki yang berjubah tu siapa?" Tanya Arin pada Kak Yam. Hampir seminggu dia menetap di sini, sedikit sebanyak dia sudah mampu membiasakan diri walaupun masih kekok. Paling tidak pun dia bercakap dengan Kak Yam.
"Itu Xian. Cucu angkat Tok Daddy. Dia baru balik dari madrasah." Kata Kak Yam. Sambil membasuh pinggan mangkuk di singki.
Arin mengangguk beberapa kali. Patutlah Tuan Qaid menyuruh Kak Yam untuk masak banyak malam ni.
YOU ARE READING
BAYANG RAHSIA
Mystery / Thriller" Memaafkan memang mudah. Tapi untuk melupakannya tersangatlah payah." Girzelle Edrea, namanya tidak seunik alur cerita yang telah Ditulis. Gadis polos itu bagaikan burung yang dikurung di dalam sangkar. Tambahan pula setelah peristiwa 2 tahun lepas...