TAK sempat mahu menjejakkan kaki ke dalam rumah setelah sampai, Irvanz melencong ke taman dimana dari jauh dia sudah nampak figura adiknya yang sedang termenung di situ.
"Termenung jauh, nampak? Dah rindu suami?" Sapa Irvanz berbaur gurauan. Dilabuhkan punggungnya ke atas kerusi batu di sisi kerusi roda adiknya.
"Heh, tak ada maknanya nak rindu-rindu. Abang dari mana ni?"
"Keluar dengan Xian." Ya, Irvanzlah mangsa menjadi driver lelaki cina itu.
"Ouh," Kak Yam ada memberitahunya akan hal itu. Tapi tidak tahu pula Irvanz ikut sama.
"Abang ada benda nak tanya Rea sebenarnya ni." Irvanz mengajukan tujuan utama dia menghampiri. Perkara yang Cal menyuruhnya bertanya pada Edrea. Kata Cal, dia takut jika Edrea segan hendak bercerita padanya. Maklumlah, kahwin tiba-tiba. Tak pernah kenal hati budi masing-masing pun.
"Tanya apa?"
"Tentang hari Rea diculik tu. Ada yang Rea nak ceritakan pada abang?" Langsung tidak menunjukkan reaksi terkejut, Edrea malah tersenyum yang sengaja dibuat-buat bagi menutup keresahan yang tiba-tiba menerjahnya.
"Apa yang abang nak tahu?"
"Everything,"
"Rea cuma ingat nama perempuan yang pukul Rea sampai tak sedarkan diri aje. Kejadian sebelum tu pun macam ingat-ingat lupa." Bukan lupa sebenarnya. Tapi lebih kepada merahsiakan kerana dia kenal siapa yang menekup mulutnya ketika di hadapan supermarket pada hari kejadian. Walaupun dia dalam keadaan separuh sedar, dia sempat mendengar bisikan lelaki itu. Suara yang pernah didengari. Familiar.
Edrea menggengam kedua belah tangan yang muka menggeletar di atas peha sendiri.
"Nama?"
"Kalau tak silap, Erine rasanya. Tapi tak nampak muka dia." Nada Edrea mula berubah kendur. Debaran di dada, usah dikata setelah menuturkan sebaris nama itu. Segera Edrea berpaling ke arah kolam di tengah-tengah taman. Cuba menenangkan diri. Istighfar turut dibaca.
Erine... Hanya ada satu wajah yang muncul di kotak fikiran Irvanz. Erine Natasya.
Nafas perlahan, Edrea hembuskan apabila dia sudah kembali tenang. Bibir melakarkan senyuman. Wajah abangnya dipandang. "Kak Yam kata dia suruh Xian beli pokok bunga. Mana bunga tu? Rea nak tengok."
"Tu," Bibir dimuncungkan ke satu arah. Tepat pada salah satu gazebo di taman yang tidak jauh dari mereka. Dan situ, ada Xian yang sedang tersengih seorang diri memandang pokok-pokok kaktus.
"Kaktus?" Aik? Rasanya Kak Yam suruh beli pokok bunga orkid, bukan kaktus.
"Dia kata tersilap sebut. Nak cakap orkid, tapi terkeluar kaktus. Sampai sepuluh pula tu." Mata mereka berdua sama-sama tertumpu pada Luqman dan Raykarl yang menghampiri ke arah Xian.
"Mula di hari itu." Xian mula bernyanyi kecil sambil menatap satu pokok kaktus berukuran kecil di telapak tangannya.
"Bila aku bertemu. Gadis, sesungguhnya ayu... Mata aku terpaku." Wajah ayu si Bunga, terbias di minda.
"Hati mula bertanya... Adakah dah berpunya? Lantas sekelip mata... Orang bersamanya, rupanya dia..." Suara lunak Bunga memanggil lelaki itu dengan gelaran 'abang', berulang tayang. Muka lelaki yang berjubah hitam itu juga sama. Muncul tiba-tiba.
Tak sanggup ingin menyambung nyanyiannya lagi, Xian jeda. Namun, manusia lain pula yang menyampuk "Dia milik orang..." Suara sumbang Luq menyapa.
"Dia milik orang..." Nyanyi Karl pula. Manakala muka Xian sudah pun masam mencuka. Tak puas hati.
"Ish, bisinglah!" Bertambah berang apabila mereka berdua semakin galak mengenakannya.
"Chill, bro. Kita orang tolong sambung aje, yang nak marah-marah ni apasal? Kau baru lepas putus cinta, ek?" Sela Luqman. Mereka berdua turut duduk bersila di atas gazebo itu.
"Hah? Kau dah mula bercinta, Xian? Dengan siapa?" Lantas Karl bertanya. Berita mengejut apakah ini? Manusia berbangsa cina ini tidak pernah bercinta sepanjang hidupnya. Jauh sekali hendak bercouple.
"Mana adalah. Nyanyi saja-saja. Bukannya ada maksud apa-apapun." Pasu kecil itu, diletakkan.
Luqman dan Raykarl saling berpandangan. Agak tidak yakin dengan jawapan sebentar tadi.
"Amoi mana tolak kau ni?" Soal Karl.
"Bukan cina."
"Tamil?" Aju Luq.
"Gila!"
"Dah tu?" Serentak. Cina, bukan. Tamil, bukan. Dah tu? Orang Jepun ke?
"Bunga nama dia." Jujur Xian. Memang tiada perkara yang dia boleh sorok dari pengetahuan Luqman dan Raykarl. Sejak dari dulu.
"Melayu rupanya. Cantik sangat ke dia?" Soal Luq ingin tahu.
"Sangat. Macam bidadari." Xian tersenyum sendiri.
"Ada ke bidadari tak cukup kain?" Bisik Karl pada Luq.
"Celah mana tak cukup kainnya? Elok saja bertutup. Sejuk mata aku memandang. Tudung pun labuh." Laju, dua pasang mata itu kembali melekap pada muka selamba Xian.
"Bongok betul kau ni. Sah-sah lah dia tolak. Dia, halal. Kau tu haram!"
"Apa kau cakap?!" Mendengarkan omongan Karl tadi, segera Xian menghalakan pokok kaktus yang berjarum itu ke lengan Karl. Geram! Orang nak luah, dia serkap jarang pula!
"Aduh! Sakitlah, gila!"
"Sakit lagi hempedu aku ni!" Pantas Karl membuka seribu langkah apabila Xian menghalakan tumbuhan berduri itu lagi. Dibiarkan saja seliparnya ditinggalkan. Selamat diri lagi penting!
"Mari sini kau!" Mulalah aksi kejar-mengejar di taman. Sudahlah keduanya berkaki ayam. Manakala Luq terbaring tenang di atas gazebo. Dia tak masuk campur.
"Luq! Tolong aku!"
"Dah kenapa pula dia orang tu?" Soal Edrea pada abangnya. Tadi sunyi sepi, sekarang dah macam ayam bertelur. Riuh satu kawasan rumah. Mujur saja rumah sebelah tidak berpenghuni.
"Drama setiap hari." Santai. Seperti sudah terbiasa dengan semua ini.
YOU ARE READING
BAYANG RAHSIA
Mystery / Thriller" Memaafkan memang mudah. Tapi untuk melupakannya tersangatlah payah." Girzelle Edrea, namanya tidak seunik alur cerita yang telah Ditulis. Gadis polos itu bagaikan burung yang dikurung di dalam sangkar. Tambahan pula setelah peristiwa 2 tahun lepas...