GAJET elektronik dijatuhkan ke bawah. Terangkat sebelah keningnya saat memandang tubuh kaku gadis berhadapannya yang sedari tadi menyepi sahaja. Makanan yang Cal pesan untuknya pun tidak dijamah mahupun diusik.
"Kenapa tak makan?" Pertanyaan Cal mematikan kesunyian di antara mereka.
Lambat-lambat, Edrea angkat kepala dari merenung makanan di depan mata. Wajah jejaka itu dipandang. Dari tadi dia hanya diam tidak bersuara kerana dia segan dengan Cal. Walaupun ini bukanlah kali pertama mereka bertemu.
Tetapi... entahlah! Mungkin situasi telah berbeza sekarang.
" Saya tak ada duit nak bayar." Jawapan polos Edrea membuatkan Cal hampir menampar dahi sendiri. Apa punya soalan yang ditanya ini?
" Aku yang order, maksudnya akulah yang bayar. Jadi, makan. Nanti aku hantar kau balik rumah." Usul Cal.
Edrea kaku. Balik rumah? Dua patah perkataan itu diibaratkan sudah tidak wujud dalam dirinya.
" Kenapa?"
" Err.. saya tak ada tempat tinggal." Jujurnya. Kepala ditundukkan ke bawah menahan rasa malu. Bukan niatnya hendak meminta simpati. Dia cuma berkata benar.
" Maksud kau? Petang semalam elok saja aku jumpa kau dengan budak kecil comel tu." Soal Cal tidak jelas dengan hal yang dikatakan. Apa maksud gadis itu dengan mengatakan dia tiada tempat tinggal?
Edrea memintal-mintal hujung t-shirt biru gelap yang tersarung di tubuhnya. Soalan cepumas itu dibiarkan tanpa jawapan. Dia tidak mahu membuka aib keluarganya.
Melihat reaksi yang ditunjukkan, Cal mengerti gadis itu tidak akan membalas. Tak mengapalah... Mungkin terlalu privasi untuk diceritakan padanya.
" Jadi apa kau buat dekat lorong tadi?" Cal mengajukan soalan lain bagi menutup rasa canggung yang jelas terpeta di raut wajah Edrea. Pelik juga kenapa gadis itu berada di lorong sunyi di waktu-waktu begini.
" Cari kotak." Balas Edrea mudah. Ringkas.
" Untuk?" Cal mahukan jawapan lanjut. Kenapalah gadis ini suka sangat cakap separuh-separuh? Ada emaskah dalam mulutnya itu sampaikan berat sangat hendak memanjangkan ayat?
" Buat alas tidur." Disitu Cal mula mengerti. Tak lain tak bukan, ini mesti disebabkan lari rumah atau dihalau keluar.
Persoalannya... pilihan jawapan yang mana satukah benar?
" Nama kau apa?"
" Edrea. Girzelle Edrea." Nama yang sangat unik dan jarang dijumpai. Itu yang Cal dapat simpulkan. Girzelle Edrea....
" Okey. Makan cepat. Aku bawa kau ke rumah aku dulu. Bahaya kalau kau tinggal di kaki lima." Putus Cal tegas. Manakala Edrea terpana. Ke rumah jejaka ini? Berdua-duaan? Apakah jejaka ini ada niat lain terhadapnya?
" Jangan risau. Ada ramai dekat situ. Bukan kita berdua saja." Akhirnya, Edrea menarik nafas lega. Terus terbang fikiran buruk tentang jejaka ini.
" Terima kasih, encik." Setelah difikirkan, ada baiknya juga jika dia mengikuti jejaka ini. Sekurang-kurangnya dia tidak akan diganggu oleh samseng jalanan seperti tadi.
Harap-harap, kepercayaan yang dia berikan tidak dihancurkan.
" Jangan panggil aku, encik. Panggil saja Cal." Edrea mengangguk bersetuju saja. Lalu, makanan yang terhidang di hadapan mata dijamahnya. Sejujurnya dia memang sangat lapar. Dari semalam dia tidak menjamah sebutir nasi.
Sesaat, senyuman terpamer di ulas bibir Cal sebelum dia pandang gajet elektroniknya kembali.
SELESAI saja Edrea menghabiskan makanannya, Cal langsung mengajaknya beredar. Katanya ada hal lain pula yang harus dia lakukan dirumah. Jadi mahu tak mahu, Edrea akur saja.
YOU ARE READING
BAYANG RAHSIA
Mystery / Thriller" Memaafkan memang mudah. Tapi untuk melupakannya tersangatlah payah." Girzelle Edrea, namanya tidak seunik alur cerita yang telah Ditulis. Gadis polos itu bagaikan burung yang dikurung di dalam sangkar. Tambahan pula setelah peristiwa 2 tahun lepas...