BAB 43

57 10 0
                                    


WAKTU cuti yang sepatutnya diisi dengan momen-momen indah bersama isterinya di Negeri Jelapang Padi, kian berterbangan. Tapi mahu bagaimana lagi? Tiada siapa pun yang inginkan hal ini terjadi. Mungkin rezeki mereka di kemudian hari. Siapa tahu, kan?

Setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya.

"Air, abang." Edrea terbalikkan cawan sebelum menuangkan air teh panas. Kemudian, dihulur pada suaminya. Punggung turut dilabuhkan ke atas kerusi bertentangan dengan Cal.

"Abang...." Cal angkat sebelah kening. Kalau dah panggil begitu, pasti ada sesuatu yang diinginkan.

"Esokkan kita dah nak balik... Kalau Rea nak bawak Rin sekali boleh tak? Kesian dia, abang... Tak ada siapa yang jaga dia dekat sini. Sekurang-kurangnya kalau dia ikut kita, Rea boleh tengok-tengokkan dia. Boleh tak, abang?" Pintanya.

Keadaan Arin masih sama seperti empat hari yang lalu. Sepatah ditanya, sepatah dijawab. Makan pun sikit saja. Dan selebihnya, Arin banyak mengelamun dan menangis. Jadi bagaimana Edrea mahu meninggalkan Arin seorang diri di sini?

Abang Naz pula sudah pulang ke KL. Ada urusan penting katanya.

"Okey, abang tak kesah. Mana yang L rasa kita patut buat, abang ikut je." Secangkir teh dicicip perlahan. Panas.

"Tapi kan... Tok Daddy tak marah ke?" Boleh pula Edrea terlupa yang mereka tinggal di kediaman Tok Daddy.

"Tok Daddy okey. Lagi dia suka rumah tu makin bertambah orang. Cuma satu ajelah yang dia tak ada..." Senyuman nakal, bertakhta di wajah Cal.

"Hmm? Apa dia?" Polos, Edrea bertanya.

"Cicit-cicit Tok Daddy." Habis mengatakan baris ayat itu, pipi Edrea berubah warna.

"Tok Daddy kata, kalau boleh dia nak sepuluh orang cicit. Separuh-separuh. Lima lelaki, lima perempuan. Lagi cun bila kembar. Sepasang kembar setahun, darab lima. Cukup dah sepuluh tu." Seloroh, Cal mengira dihadapan isterinya.

Mata Edrea terbuntang. "Banyak handsome muka abang! Ingat Rea ni kilang ke apa? Suka-suka hati aje main order. Kalau nak anak ramai-ramai, abang beranaklah sendiri."

"Jika ditakdirkan lelaki yang melahirkan anak, dah berduyun-duyun anak kita. Silap hari bulan sampai dua puluh." Mengekek-ngekek Cal ketawa. Suka betul dia mengusik isterinya.

"Abang!"



*******



PINTU bilik Arin diketuk beberapa kali. Tidak menanti Arin menyahut, Edrea melangkah masuk. Figura Arin elok saja sedang duduk di atas lantai di tepi tingkap kayu.

"Arin..." Bahu Arin disentuh. Edrea turut melabuhkan duduk di tepi Arin. Mata gadis itu tidak bergerak. Malah menurunkan mutiara jernih yang tidak pernah berhenti mengalir keluar.

"Kau ikut aku balik KL, ek? Nanti senang aku nak jaga kau."

Seminit, mereka berdua sepi. "Tak nak..." Barulah suara Arin keluar.

"Kalau kau duduk sini, siapa nak jaga kau? Makan, minum, pakai kau? Kan aku dah cakap yang aku akan sentiasa ada dengan kau. Aku akan jaga kau. Please, Arin... Ikut aku." Rambut Arin yang menutupi sebahagian wajahnya, Edrea seka ke belakang telinga.

"Aku boleh jaga diri sendiri. Kau tak perlu risau." Arin merapatkan lagi lututnya ke dada. Kepala setia bersandar pada dinding kayu. Mata pula langsung tidak terkalih dari melemparkan pandangan ke luar tingkap.

"Macam mana aku tak risau dengan keadaan kau sekarang ni? Tak tenang hidup aku kalau aku tinggalkan kau sorang-sorang dalam rumah ni, Arin.... Mak Lang pun tengah tak sihat. Dia tak boleh tengok-tengokkan kau." Terus-terusan Edrea memujuk.

"Rea...kau boleh tolong aku?" Pinta Arin tiba-tiba.

"Apa dia?"

"Tolong jangan baik sangat dengan aku. Waktu kau kena halau dulu pun, aku tak buat apa-apa. Aku tak pujuk mama elok-elok. Aku tak cuba untuk tolong kau. Cari kau. Jadi sekarang ni, biarlah aku tanggung rasa bersalah aku pada kau."

Kolam mata Edrea terus pecah. "Kau tak pernah buat salah dengan aku, Rin... Untuk apa kau tanggung rasa bersalah tu? Aku tak mintak kau tanggung. Aku cuma nak kau ikut aku balik. Aku nak jaga kau." Edrea memangut pipi Arin agar memandangnya.

"Kalau suatu hari nanti aku sakit, kau akan jaga aku tak?" Soal Edrea.

Arin jatuhkan kepala.

"Sama jugak macam aku. Aku akan jaga kau bila kau sakit. Ikut aku, ek?"

Sekali lagi, Arin mengangguk. Seraya itu juga, air matanya tumpah semula.

"Aku sayang kau, Rin... Sangat. Sangat. Kau seorang je kawan yang aku ada." Edrea langsung memeluk tubuh Arin.

Gadis ini sahabatnya.

Gadis ini sepupunya.








BAYANG RAHSIA Where stories live. Discover now