⚜️ BAB 53

34 2 3
                                    




Setelah seminggu Suria tidak datang ke rumah Mak Limah, Aira rasa dia dapat berehat dengan tenang sekali. Dah tak ada suara bingit perempuan yang suka mengomel dan bercakap tanpa henti. Ali pun sama, ikut rasa tenang. Dah penat dia fikir macam mana nak diamkan minah kepoh kampung ini. Memang dari dalam perut lagi kut selalu dengar murai bercicip, sebab tulah mulut tak tahu diam.

"Makan banyak sikit. Kau nak guna banyak tenaga hari ini."

Tangan yang berisi nasi disua ke mulut. Ali hanya berlagak biasa sahaja. Menutur bicara tanpa memandang wajah Aira, itulah caranya bercakap dengan wanita itu sepanjang keberadaannya di rumah Ali.

"Kenapa? Hari ini nak buat apa sampai guna tenaga?" soal Aira. Perasaan ingin tahu lebih menguasai diri.

Biasanya dia tak kuasa nak menjawab atau bertanya balik kalau arahan keluar dari mulut lelaki itu. Bukan apa, kalau tanya pun memang Ali tak akan jawab. Buat membazir air liur saja.

Tapi kali ini dia sendiri tertanya-tanya. Lelaki itu nak dia buat apa pula sampai kena makan nasi banyak? Tak akanlah nak ajak dia pergi menggaul simen dekat dapur rumah Pak Abu. Maklumlah, job baru masuk!

Sekarang ni Ali sedang bekerja di rumah Pak Abu. Lebih tepatnya tengah mengambil upah untuk menyambung dapur rumah Pak Abu, ketua kampung mereka. Boleh tahan lumayan juga gaji yang ditawarkan kepada Ali, memandangkan Pak Abu hanya percayakan Ali seorang saja kalau bab-bab kerja pembinaan ni.

Tapi bukanlah bermaksud Ali bekerja seorang diri. Masih ada rakan-rakan sekerjanya. Tak akanlah nak bina dapur rumah tu sorang-sorang dengan tulang empat keratnya. Naya pak karim!

"Dalam pukul lima nanti, aku nak bawak kau pergi sungai. Itupun kalau tak panas sangatlah."

"Eh, nak buat apa?"

Tangan Ali yang sedang menggaul nasi terhenti. Pandanganya menghala ke arah Aira. Anak mata bundar Aira ditenung untuk beberapa saat sebelum dia menurunkan kepalanya semula memandang pinggan nasi.

"Saja."

"Saja?"

Satu keluhan panjang dilepaskan sebelum mata tajam Ali kembali merenung wajah Aira yang terpinga-pinga.

"Kenapa banyak tanya pulak kau hari ini?"

Aira telan liur seteguk. Seram pula bila Ali dah mula keluarkan soalan macam tu. Ali pun satu, nak bawak dia keluar tiba-tiba. Tak pernah-pernah lelaki tu ajak dia keluar. Tambah pula, dia ajak ke sungai. Kali terakhir dia ke sungai pun semasa Suria ajak hari itu.

Keadaan kembali sunyi. Mak Limah pun tak banyak bercakap. Hanya menjadi pendengar sedari tadi. Aira memang tak menjawab dahlah. Sekali pekena soalan maut pakej dengan renungan tajam Ali tadi, terus bisu seribu kata dibuatnya.

***

Tali yang menyambung pada perahu kayu cuba dileraikan oleh Ali. Mata Aira terkelip-kelip memandang Ali. Dari tadi lagi dia tanya nak bawa dia ke mana, Ali masih berdiam. Punyalah jauh mereka berjalan nak sampai ke sungai ini sekarang.

Ya, laluan yang berbeza dengan tempat yang Suria bawa dia haritu. Kali ini lebih jauh dan meredah segala semak samun. Sebenarnya dia pun tak tahu, jalannya memang jauh atau sebenarnya meredah semak samun tinggi tadi yang menyebabkan dia rasa perjalanan mereka agak panjang untuk tiba ke tebing sungai ini.

"Mari kita naik."

Kening Aira berkerut. Rasa tak yakin pula dia nak naik perahu. Dia sudahlah tak suka naik apa-apa bentuk kenderaan yang melibatkan kawasan perairan ni. Lemah betul. Buatnya dia jatuh nanti, dengan berenangnya tak pandai. Pendek kata, mengucap jelah jalan akhir.

Sweet ChocoWhere stories live. Discover now