"ASSALAMUALAIKUM."Ali menapak masuk ke dalam rumah. Pintu dibuka lalu ditahan sambil dia memandang Aira yang sedang memanjat anak tangga kayu.
"Nanti terus mandi, solat dan tidur. Jangan berjaga sampai lewat malam. Tak elok untuk orang yang baru habis pantang."
Aira kerutkan kening sedikit. Sungguh ironi kata-kata tersebut bila keluar dari mulut Ali sedangkan dialah penyebab orang tengah penat sekarang. Malas nak bercakap, dia pun bukan ada tenaga sangat sekarang ini. Kaki mengorak langkah pantas menuju ke arah bilik Mak Limah.
Dia nak cepat-cepat mandi dan bersiap untuk solat. Badan pun dah terasa sungguh melekit. Bukan main penat dia berperang dengan semak samun dalam gelap tadi. Semua itu gara-gara Si Ali, selamatlah habuannya berbaloi. Kalau tak, memang itu kali terakhir dia akan keluar mengikut ajakan Ali.
"Aira seronok?" tanya Mak Limah sebaik sahaja Aira melangkah masuk ke dalam biliknya. Aira terdiam sekejap. Memikirkan apa yang hendak dia jawab.
Nak cakap seronok sangat, bolehlah juga. Tapi tak adalah dia suka sangat sampai melompat-lompat. Yalah, keluar pun dengan Ali, satu-satunya lelaki paling beku dalam rumah itu.
"Bolehlah mak. Ali bawak tengok sunset," jawab Aira jujur.
Dia berjalan perlahan ke arah almari milik Mak Limah. Sebulan lebih sudah dia berada di rumah ini, dia sudah terbiasa sedikit sebanyak dengan Mak Limah. Mak Limah pun dah lama memberi Aira kebenaran untuk buat rumahnya itu seumpama rumah Aira juga. Mereka berdua juga turut berkongsi baju memandangkan Aira ditemui dulu sehelai sepinggang.
"Aira mandi dulu ye, mak..."
Mak Limah hanya mengganguk. Tanpa berlengah, tuala kecil ditarik untuk menutup kepala. Dia bergerak pantas untuk keluar dari bilik mereka. Baru saja pintu bilik ditutup, bahunya dilanggar seseorang sehingga baju yang dipeluk dengan tangan kanannya terjatuh.
Keluhan kecil terlepas dari bibir Aira. Belum sempat dia hendak turun mengambil pakaiannya itu, lelaki di sebelahnya lebih tangkas menunduk dan mengutip baju yang terjatuh tadi. Sengaja dia ambil kesemua pakaian yang jatuh itu dengan menggumpalkan jadi timbunan yang tak bersusun. Takutlah nanti terkeluar 'baju-baju kecil' yang boleh buat mereka malu.
"Awak ni kalau jalan, tengoklah depan. Selalu terlanggar orang sebab mata tu ralit tengok handphone."
Ali pandang Aira sekejap sebelum matanya tertancap semula ke arah skrin telefon bimbit. Aira menggeleng kepala sebelum dia mula melangkah ke ruang dapur untuk menuju ke tandas. Selangkah dia bergerak, hujung baju pada bahagian sikunya ditarik oleh Ali.
"Aku minta maaf sebab terlanggar kau tadi. Ada panggilan yang masuk, tapi aku tak sempat nak angkat. Tengah check tu aku tak perasan terlanggar kau," terang Ali lembut.
Aneh. Itu yang Aira rasa. Ali ni kena sampuk jembalang mana pula ni? Tiba-tiba jadi baik semacam lepas dari balik sungai petang tadi. Aira pandang sekejap muka Ali. Mukanya tak bereaksi. Dia hanya menunduk sedikit sebelum hujung baju Aira dilepaskan.
"Tak apa. Macamlah tak biasa. Selalu pun awak memang jalan tak pandang depan," bidas Aira dengan senyum yang tertahan. Dia jarang sebenarnya bidas Si Ali ni. Tapi, sekali sekala apa salahnya? Dah alang-alang pak belang di depannya ni tak masuk karakter garang harimau dia lagi. Perli sambil bergurau sikit, tak salah kut.
Bibir Ali tersungging senyuman kecil. Dia angkat bahu sedikit sambil menghantar isyarat untuk Aira berlalu ke dapur dengan tangan kanannya, manakala tangan kiri pula naik menyepit hidung. Aira kerutkan kening.
Acah betul Ali ni rupa-rupanya. Bukannya dia busuk sangat sampai nak kena tutup hidung!
Boleh tahan kurang ajaran juga budak ni ye, getus hati Aira.

YOU ARE READING
Sweet Choco
Romance"Sayang, semua kawan abang dah ambil dadah. Tinggal abang sorang je tak ambil lagi." "Dah tu, kau nak aku sumbat dadah ke dalam mulut kau?" "Tak payah tunggu sayang suap dadah pun, sebab sayang tu dah cukup mengkhayalkan abang." Mulut manis? Hah! Y...