Sejauh mana pun Dian mahu melarikan diri daripada melihat Aidil sekarang, tetapi dia terlupa bahawa tempat duduk di dalam dewan hotel ini sudah disusun mengikut nama dan keutamaan. Sudah tentu dia terpaksa duduk semeja dengan Aidil di meja yang bertanda VVIP ini.
Dian mengeluh lemah. Sejak tadi kelibat Aidil masih belum kelihatan. Tadi sempat juga Dian tenampak Aidil di luar dewan sedang bersembang dengan beberapa orang lelaki yang mungkin sudah separuh abad. Hal kerja lagilah tu...
Dian terasa kekok berada di meja itu tanpa ditemani sesiapa. Ada juga dua orang wanita yang duduk di meja yang sama tetapi Dian tidak mengenali wanita-wanita itu. Lagipun mereka terlampau menumpukan perhatian terhadap telefon bimbit mereka tanpa menghiraukan orang sekeliling.
Baru sahaja Dian berura-ura mahu melihat telefon bimbitnya pula, tiba-tiba ada yang memegang bahunya dari belakang dan membuatkan Dian serta-merta berpaling.
"Awak Raisya kan? Dian Raisya?" Seorang lelaki tiba-tiba bertanya.
Dahi Dian sedikit berkerut apabila ditanya lelaki itu. Wajah lelaki itu seperti pernah dilihat tetapi dia lupa di mana.
"Ya, saya Dian Raisya... Encik ni siapa?"
Lelaki tinggi lampai yang kemas berpakaian sut berwarna kelabu gelap itu tersenyum lebar mendengar jawapan dan pertanyaan Dian.
"Raisya! Ini saya, Firdaus! Ingat tak? Rumah Sinaran?" Bercahaya mata lelaki itu memandang Dian.
Rumah Sinaran? Firdaus...? Mata Dian terus membulat dan dia menekup mulutnya seperti tidak percaya. Dia bangun dari tempat duduknya dan berdiri menghadap Firdaus.
"Fir!!!" Dian cuba mengawal suaranya supaya tidak kedengaran terlalu kuat. "Lama kita lost contact, dah dekat 10 tahun!" Suara Dian kedengaran sangat ceria. "You look so different now!"
Dian masih ingat lagi Firdaus, satu-satunya penghuni Rumah Sinaran yang sebaya dengannya dan juga merupakan kawan baiknya. Dia sudah mengenali Firdaus sejak hari pertama dia berada di Rumah Sinaran lagi.
Dulu-dulu Firdaus berbadan gempal. Masa di sekolah menengah badannya semakin susut tetapi tidaklah seperti sekarang ini. Dian kerap mengusik Firdaus ketika di sekolah menengah kerana dia menganggap Firdaus sudah mempunyai teman wanita, sebab itu lelaki itu sudah pandai menjaga berat badannya sendiri.
Mereka berdua terputus hubungan selepas tamat sekolah menengah apabila Firdaus mendapat tawaran untuk ke Ireland menyambung pengajian dalam bidang perubatan. Kini, Firdaus sudah semakin handsome, smart dan bergaya. Mesti dah jadi doktor yang berjaya ni!
"Lama tak jumpa Raisya jugak! How are you doing? Sihat?"
"Alhamdulillah sihat... Fir macam mana? Sihat?"
"Sihat wal-afiat, alhamdulillah. Awak datang sorang je ke? Tak ada partner?"
"Ada..." jawab Dian perlahan. "Tapi dia keluar kejap."
"Special someone?" Firdaus bertanya dengan senyuman yang tidak lekang dari bibirnya.
Serentak itu Dian ternampak kelibat Aidil yang sudah melangkah masuk ke dalam dewan. Kebetulan apabila Aidil masuk sahaja ke dalam dewan, dia terus memandang ke arah Dian yang juga sedang memandang ke arahnya.
"Yeah... tunang." Dian sempat mengerling ke arah Aidil yang sudah menghampiri mereka.
Sebaik sahaja Aidil sudah berdiri di sebelahnya dengan riak yang tidak boleh dibaca, nak tak nak Dian terpaksa mengenalkan kedua-dua orang lelaki itu.
"Fir, kenalkan ini tunang Raisya, Aidil. Abang, ini Firdaus, kawan Dian masa dekat Rumah Sinaran dulu," ujar Dian sedikit gementar. Dia tidak tahu kenapa dia perlu rasa gementar begini.
YOU ARE READING
Bekas Kekasih Dia! ☑
RomanceGenap 6 tahun hubungan cinta antara Dian Raisya dan Aidil Zulkarnain, akhirnya hubungan mereka terputus juga. Dian merupakan seorang gadis yang ceria dan setia tetapi hubungan mereka terputus semuanya angkara Aidil yang mahu hubungan cinta mereka di...