_ 1 - H I L A N G ? -

1.3K 60 34
                                    

Bunyi jam loceng yang terletak di atas meja kecil sebelah katil dicapai rakus. Dia sedikit pun tidak mengerling ke arah jarum pada jam analog itu. Malah tangannya laju membaling jam ke dinding bilik.


Prang!

Berkecai jam yang diperbuat daripada kaca itu. Sudah lima kali jam locengnya meretak dan pecah. Rosak saja, dia beli yang baharu. Tiga hari lepas, dia sengaja membeli jam berkaca supaya merasa sayang untuk membaling jam lagi. Tapi perancangannya tetap gagal.

Wajah disembam kembali ke atas bantal. Rasa kantuk bersisa. Syaitan masih bergayut di kelopak mata memujuknya untuk menyambung tidur.


Nungamado iksukhaetdeon gil
Ijen nuneul tteodo huimihan i gireun
Bol su eomneun miroe gachin geot gataseo


Lagu Maze oleh Kim Na Young yang menjadi deringan telefon menandakan ada panggilan masuk. Faris menggaru pipinya yang tidak gatal. Tangan meraba ke bawah bantal bagi mengambil telefon. Sebuah Iphone 6 ditarik keluar.

Rafeez.

Nama itu tertera elok pada skrin. Dengan mata yang terpisat, jari telunjuk menekan butang hijau. Dia menerima panggilan sebelum telefon dilekapkan ke telinga.

"Hmm... kenapa, Raf?" tanya Faris sebelum menguap besar.

"Kau tengah buat apa sekarang?" tegas Rafeez bertanya kembali. Kedengaran dia mendengus kasar di corong telefon.

"Tidur. Aku mengantuklah. Hergh." Faris menggeliat kecil.

"Kau tahu tak dah pukul berapa sekarang?" Suara Rafeez sudah naik seoktaf.

"Err... tujuh setengah pagi?" Faris mengagak sambil mata terpejam rapat. Dia menyeringai sendiri.

"Aku dah agak engkau ni! 7:30 pagi kepala otak kau! Sudah pukul 10.00 pagi. Matahari dah naik tinggi. Pokok dah mulakan proses fotosintesis. Burung bertebaran mencari rezeki. Dan kau pula masih menelentang atas katil macam kerang busuk! Bangunlah, Faris!" Rafeez membebel panjang. Dia buka saja mulut, pasti berjela hujahnya.

"Hah? Se-sepuluh?" Faris bingkas bangkit dari pembaringan. Dada berombak kencang. Telapak tangan naik menepuk dahi menzahirkan kekesalan.

"Haah. Dah. Kau jangan buang masa. Pergi mandi cepat dan datang ke sini sekarang. Sekarang!" Jerkah Rafeez dengan amarah yang meluap.

Faris menggosok telinganya yang berdesing. Penangan suara Rafeez memang tiada siapa boleh lawan.

"Ya. Kejap. Suruh diorang tunggu."

Faris menamatkan panggilan. Telefon disambungkan kepada wayar untuk dicaskan dengan power bank. Bateri sudah tinggal nyawa-nyawa ikan. Jikalau ia kong, tidak dapatlah dia hendak berswafoto pada pagi itu. Walhal jutaan peminat di luar sana menantikan dia memuat naik gambar ketampanannya di laman sosialnya iaitu Instagram dan Facebook.

Tuala merah yang disangkut pada ampaian khas dicapai dan disangkut ke bahu. Dia mahu mandi supaya tubuhnya lebih segar. Mengambil masa selama 20 minit, akhirnya Faris menapak keluar daripada bilik air. Tuala tadi dililit pada pinggang. Sehelai tuala putih digunakan untuk mengelap rambutnya yang basah. Dia berdiri tegap menghadap cermin.

Wajah kacaknya dibelek lama. Dia mengulum senyuman manis. Hujung bibir kanan terjungkit ke kanan menampakkan lesung pipit di situ.

Menyedari bahawa dia sudah terlewat, Faris bergegas ke almari dan memilih pakaian yang sesuai. Sehelai kemeja putih diambil. Kemudian, sehelai kot hitam yang akan dipadankan dengan seluar slack hitam. Tali leher merah berjalur hitam dipilih untuk disesuaikan dengan pakaiannya.

Sebaik sahaja dia selesai, Faris kembali menghadap cermin. Rambutnya disikat rapi. Gaya yang selalu menutup dahi ala artis Korea diubah. Menggunakan gel yang paling dipercayai, dia menyelak rambut depan ke atas. Kelihatan mencacak naik dan berkilat saja rambutnya itu.

Berpuas hati dengan keterampilan, Faris mengambil semua barangan penting dan dimasukkan ke dalam beg tangan. Kunci kereta digenggam. Kini, dia sudah bersedia untuk keluar bekerja.

Dia mahu hari ini lebih baik daripada hari semalam!

* * *

"Kau, lambat!"

Nada suara Pengarah Khairi meninggi. Hampir semua pekerja di situ tergamam mendengarkannya. Apatah lagi seorang Faris Ikram yang hanya tahu untuk berlagak dengan kelebihan rupa parasnya itu.

"Err... kami betul-betul minta maaf. Kami janji kami tak akan buat lagi. Saya akan pastikan Faris datang tepat pada masanya. Cakap je penggambaran pukul berapa pasti dia akan datang 30 minit lebih awal." Rafeez menanam tebu di hujung bibir. Hati pengarah perlu dibeli agar tiada siapa yang rugi kelak.

Faris menjegilkan matanya mendengar janji palsu Rafeez. Keluhan berat dilepaskan. Hendak membantah tidak boleh. Rafeez sudah memberi amaran awal kepadanya agar tak bersuara.

"Huh! Alasan sama. Dah cukup bagus tahu tak aku bagi watak ni. Kalau tidak, pelakon jagaan kau tu akan jadi penganggur tegar. Tak ada siapa nak ambil dia berlakon!" Skrip yang tebal dihentakkan ke atas meja. Nak runtuh meja lipat itu dibuatnya.

"Ba-baik. K-kami faham," Rafeez bersuara dengan gementar.

"Heh, Faris. Kau dapat watak sebagai penculik bersiri jer tau. Yang kau nak pakai kot macam ada majlis keramaian dalam hutan ni dah kenapa?" perli Pengarah Khairi dengan suara yang tinggi.

Faris melilau ke sekeliling. Kawasan hutan tropika itu dipandang sayu. Faris malu sendiri.

'Ya. Memang tak sesuai,' Faris mendesis dengan penuh penyesalan.

Dia mempersalahkan Rafeez kerana tidak memberitahunya tentang hal ini. Sesungguhnya dimensi persepsi Faris terlalu sempit ketika dia hanya memandang kesalahan Rafeez.

"Dah berbuih selautan mulut aku ni bagitahu kau. Sikit pun kau tak ambil peduli. Tengok sekarang apa dah jadi. Kau juga yang dapat malu," Rafeez berbisik perlahan di telinga Faris. Giginya dikacip geram.

"Maaflah. Aku lupa." Faris menyengih. Belakang tengkuknya digosok perlahan. Bibir bawah digigit sambil sekali-sekala mengerling ke arah Rafeez. Lelaki itu menayangkan muka bengis.

"Sudah. Cepat bersiap. Penggambaran dah nak mula," arah Pengarah Khairi tegas.

Bagai disetkan dengan penggera, dengan automatik Rafeez menolak bahu Faris supaya segera bersiap. Amarahnya meluap melihat Faris yang langsung tidak bermaya selepas digertak Pengarah Khairi.

'Jangan lemah sangat, boleh tak? Kerja ini punca rezeki kau! Semangatlah sikit!' bentak Rafeez di dalam hati. Jikalau disuarakan, nanti mengaibkan sahabatnya itu pula. Lagipun, garangnya bertempat untuk kebaikan Faris sendiri.

Dengan langkah yang tak bermaya, Faris menuju ke bahagian pakaian. Namun sebelum bersalin baju, telefon yang sudah dicas dikeluarkan. Kamera dibuka.

Klik! Klik!

Beberapa keping gambar wajahnya yang berlagak sedih dan murung diambil. Sekejap dengan gaya anak kecil yang comel. Sekejap dia menjuih bibirnya seolah-olah berduka. Setelah berpuas hati, telefon disimpan. Apabila keluar daripada hutan nanti, dia akan muat naik gambarnya. Hal ini kerana di dalam hutan rangkaian internet tidak ada.

* * *

"Eh, sekejap. Mana budak perempuan yang berlakon jadi mangsa culik tu?" Soal Pengarah Khairi tiba-tiba.

Semua kru penggambaran mula panik.

"Hoi! Tadi dia ada dengan kau. Masa mekap tadi. Kau tak perasan dia ke mana?" tanya salah seorang daripada mereka.

"Tak. Aku sibuk cari bekas mekap dalam van tadi. Tup tup... dia hilang." Seorang gadis atau lebih selesa dipanggil Hoi lantas menggeleng dan bahunya diangkat. Dia diulit rasa bersalah.

Mendengarkan ayat itu, semua orang menjadi tak keruan.

"Kita berpecah. Cari budak itu sampai dapat!" Jerit Pengarah Khairi sambil mundar-mandir. Fikirannya serabut.

'Apahal pula kecoh semacam ni,' bisik Faris ralit membelek gambarnya dalam galeri telefon.

''Alhamdulillah. Hensem juga aku ni.'"

Bicara SemalamWhere stories live. Discover now