_ 7 - M A S I H K E L I R U -

321 39 11
                                    

Jauh juga mereka masuk ke dalam hutan. Diasak dengan perasaan ingin tahu, Faris mula buka mulut setelah lama berdiam diri.

"Kau tahu ke jalan yang kau ambil ni menuju ke mana?"

"Ya,"jawab Cempaka ringkas. Dia memapah Puteri Azalea dengan penuh hati-hati. Jika dia seorang lelaki, sudah pasti dia akan mencempung tubuh Tuan Puteri. Tidaklah gadis itu terpaksa menggagahkan diri yang sudah lemah longlai. Nak diharapkan pemuda aneh di belakang, dia meluat. Lagipun, maruah Tuan Puteri perlu dijaga. Tak boleh disentuh walaupun seinci.

"Cempaka, beta rasa... beta... hendak...," bisik Puteri Azalea lemah. Dengan tidak semena, gelodak di dalam perut tersembur keluar dengan banyak. Diurut dadanya berkali-kali. Rasa loya menjadi-jadi. Lututnya yang sudah lembik sepertu jeli membuatkan dia rebah ke tanah. Pautan pada bahu Cempaka terlepas.

"Tuan Puteri!" Jerit Cempaka kaget. Dia ingin membantu Puteri Azalea berdiri namun ditegah empunya diri.

Faris dibelakang menggosok tengkuknya. Entah kenapa dia pun gedik rasa mual hendak muntah. Wajahnya berkerut. Oleh itu, dia menjarakkan sedikit dirinya.

Isi perutnya masih galak memuntahkan cecair warna hijau pekat dari dalam perut naik ke salur pemakanan dan dimuntahkan. Ada lopak air di birai matanya. Dan tidak menunggu lama, air matanya jatuh membasahi pipi dengan laju. Teresak-esak dia menangis. Menambahkan keloyaan di tekak. Dan muntah lagi.

Dengan tubuh yang sudah tidak bermaya, dia merangkak ke pokok berdekatan. Sudah tidak dihiraukan tangan dan bajunya yang dikotori tanah. Puteri Azalea bersandar penat pada batang pokok sebesar dua pemeluk itu. Kepalanya berdenyut lagi seperti dicucuk jarum. Urat kepala dirasakan berpintal-pintal.

Sungguh dia sudah tidak mampu menanggung beban ini lagi! Tidak sanggup!

Cempaka hanya tercegat berdiri memerhati. Wajahnya serius memandang Tuan Puteri yang sedang bertarung dengan rasa sakit. Mutiara jernih turut jatuh dari hujung matanya. Kesakitan Puteri Azalea juga menjadi kesakitan bagi dirinya kerana cubit paha kanan, paha kiri terasa juga.

Faris pula masih mendiamkan diri. Lidahnya kelu untuk menuturkan kata. Berputik juga rasa simpati terhadap Puteri Azalea. Apabila mahu bertanya kepada Cempaka, gadis itu juga dilihat menitiskan air mata. Tidak tega untuk dia mencelah.

'Isk... argh! Takkanlah aku pun nak menangis juga?'

Faris tidak mahu mengaku bahawa hati lelakinya turut tersentuh dengan adegan ini. Namun, dibelenggu kerisauan dikejar oleh kumpulan lelaki tadi, Faris mengumpul kekuatan untuk berbicara.

"Kita masih tak nak gerak ke?"

Cempaka menjeling. Rahang diketap. Sakit hatinya.

"Sekiranya tuan hamba hendak beredar, silakan pergi daripada tempat ini. Tidak pula kami memaksa. Hamba juga sudah muak dengan fiil tuan hamba. Menyusahkan!" Luah Cempaka apa yang terbuku di hati.

"Haih... aku dah agak mulut minah ni. Tajam menusuk kalbu. Auch!" Faris memegang dadanya menahan sakit. Cedera jiwa dan raganya dipanah oleh kata-kata Cempaka.

Cempaka mula mendekati Puteri Azalea di saat gadia itu mula stabil. Dalam kesamaran malam yang bercahayakan obor dan bulan purnama, jelas terlihat wajah Tuan Puteri yang sangat cekung. Lain benar wajahnya. Di bawah kedua-dua matanya ada lingkaran hitam dan sedikit sembab. Hujung rekahan bibir timbul garisan halus seperti kedutan.

Dengan penuh berhati-hati, Cempaka melentokkan kepala Puteri Azalea di atas bahunya. Dia menyanggul rambut gadis itu terlebih dahulu. Kerana juntaian rambut yang melekat pada pipi akibat peluh pasti merimaskan. Bahu Puteri Azalea ditepuk lembut mahu menyalurkan kekuatan.

"Cem... paka," panggil Tuan Puteri lemah.

"Ya. Patik ada di sisi, Tuan Puteri."

"Beta... se... juk."

Cempaka lantas menggenggam tangan Puteri Azalea. Ya. Sejuk!

"Tuan hamba!" Panggil Cempaka.

Faris pelik dirinya apabila dipanggil oleh Cempaka.

"Siapa? Aku?" Telunjuknya dihala tepat ke muka sendiri hendak meminta kepastian.

"Ya! Hamba mahu membawa Tuan Puteri di belakang badan hamba bagi perjalanan selanjutnya. Demikian, tuan hamba sajalah yang mengetuai jalan. Hamba akan menunjukkan jalan yang mana perlu diambil. Lekas!"

Mata Faria terbeliak. Gagah sangatkah gadis bernama Cempaka ini sehingga hendak menggendong Puteri Azalea di belakangnya? Sudahlah tubuh masing-masing kurus kering seperti tidak cukup nutrien.

"Okey." Faris bersetuju. Dia mahu bantu apa yang patut. Nanti tidaklah dia dianggap menyusahkan seperti yang diperkatakan oleh Cempaka tadi.

"Naiklah Tuan Puteri ke atas belakang patik. Izinkan patik membawa Tuan Puteri ke tempat yang lebih hangat. Ayuh." Cempaka bersuara lembut. Lain benar turur bicaranya apabila berbahas dengan Faris.

Puteri Azalea menggagahkan diri untuk mengangkat anggota badannya sebelum naik ke atas belakang Cempaka yang duduk melutut membelakanginya. Dia kemudiannya memaut leher Cempaka. Kemas. Tetapi tidaklah sehingga mencekik gadis itu.

"Bersedia, Tuan Puteri?" Soal Cempaka dengan serius.

"Ya,"bisik Puteri Azalea perlahan.

Cempaka turut bersedia untuk berdiri. Agak sukar sebenarnya untuk dia menampung berat Tuan Puteri memandangkan dia pun bukanlah wanita perkasa.

"Hiyargh!"

Cubaan pertamanya, gagal.

Dicubanya sekali lagi.

"Hiyark!"

Gagal.

"Umph!"

Akhirnya, percubaan ketiga diakhiri apabila mereka berdua tumbang ke kiri dek tidak seimbang. Nasib baik Cempaka pantas bertindak. Dapatlah dia menahan kepala Puteri Azalea daripada menghentak tanah berbantalkan lengannya.

Tapi sayangnya, kepala sendiri tidak terjaga. Sakit rasanya apabila kepalanya terhantuk ke akar pokok kayu yang besar. Ah! Asalkan Tuan Puteri selamat, dia sudah bersyukur. Dirinya bukan berkepentingan sangat. Tiada nilai di mata sesiapa pun.

Faris yang memerhati hanya ketawa mengekek. Sudah dia agak situasi ini bakal terjadi. Buat lelah Cempaka saja.

Puteri Azalea bangun setelah mengaduh sakit apabila bahunya menghentak akar kayu.

Cempaka turut bangun. Kepalanya digosok perlahan. Perhatian lebih tertumpu kepada mangsa kecuaiannya tadi. Dihurung oleh perasaan bersalah yang teramat, dia dengan segera sujud di hadapan Puteri Azalea.

"Ampun, Tuan Puteri. Patik... patik tidak sengaja. Ampunkan patik," rayu Cempaka bersungguh-sungguh.

Perlakuan Cempaka menyebabkan Faris berhenti ketawa serta-merta. Keningnya bertaut. Sampai tahap itukah kesetiaan Cempaka? Sekali lagi, identiti dua gadis ini dicurigai Faris.

'Siapa mereka yang sebenarnya?'

Bicara SemalamWhere stories live. Discover now