_ 55 - DIA YANG SETIA -

119 22 10
                                    

"Mengapa begitu banyak bekal makanan yang dibawa? Tiada habis dimakan oleh hamba seorang," ujar Cempaka tatkala menyambut bungkusan yang agak besar daripada Faris di anjung kediaman Tok Rantau.

"Selepas ini kami akan terus ke istana," jawab Faris kepada persoalan yang tidak pula bersangkut-paut dengan pertanyaan Cempaka.

Gerak-geri Cempaka serta-merta terhenti seakan mimpi ngeri bertandang mengusik akal tonggak kewarasannya.

Hatinya meronta mahu menjerit kepada lelaki yang menghuni setiap hela nafasnya itu agar tidak menjejak lembah si durjana. Namun apakan daya seorang Cempaka, bibir hanya mampu mengucapkan sepatah kata.

"Hati-hati." Jantungnya berdetak perih.

"Kami tidak akan selalu bertandang, Cempaka. Kerana khuatir jikalau ada yang menjadi mata dan telinga sultan di sini," terang Ali tenang waima terbit rasa bersalah dalam dirinya.

"Hamba mengerti."

Cempaka tidak lepas melirik le arah Faris yang sudah melemparkan pandangannya jauh ke kaki langit. Dilihatnya Faris yang seakan hanyut benar dalam lamunan. Cempaka mengulum bibir seraya memujuk hati agar tidak mendesak diri berkata hal yang bukan-bukan.

Melihat kedua-dua temannya itu sedang meladeni gelojak rasa, Ali berkata lagi. "Kami sudah menitipkan pesan kepada Bulan agar dibawakan bekal kepada Cempaka setiap hari."

"Maafkan hamba kerana menjadi beban di bahu tuan berdua."

"Tiada susah di pihak kami, Cempaka. Oh, iya. Usah kerapkali keluar juga, ya. Ambil langkah berwaspada," tambah Ali lagi.

Dan buat seketika, hening meniti suasana disusuli desiran dedaunan yang diterbangkan angin . Terik mentari perlahan-lahan dihadang gumpalan awan menjemput mendung. Semendung hati Cempaka kini.

"Cempaka," panggil Faris setelah sekian lama membisu. Dia menoleh ke arah gadis itu yang duduk bersimpuh di muka pintu.

"Syed Abu Bakar tinggal kat mana?"

"Berdekatan sama rumah Pak Andak. Mengapakah bertanya?"

"Aku nak dapatkan kepercayaan sultan. Abang ipar kau dah lama berkhidmat pada sultan, kan? Dah lama berurusan dengan penghuni di dalam dan luar istana. Kan?"

"Benar. Sejak usia mudanya."

Faris bangkit lalu menyarungkan seliparnya. "Okey, maklum. Terima kasih, Cempaka. Jom kita gerak, Ali."

Bahu Ali ditepuk mesra saat kaki sudah melebarkan langkah.

Ali menggaru kepalanya yang tidak gatal. Sebelum mengekori Faris, dia menjeling Cempaka yang tidak berganjak. Gadis itu membalas dengan pandangan yang kosong.

"Kami terlebih dahulu meminta diri, Cempaka. Jangan lupa makan dan jaga diri, ya. Perihal Ikram usah diambil hati. Mungkin fikirannya lagi sarat memikirkan banyak hal. Kepalanya selalu bingit dengan hal yang aneh-aneh."

Ali melemparkan sengihan seperti kerang busuk.

Cempaka pula sekadar mengangguk kecil.

* * *

Tangan menggenggam hulu keris yang disisipkan di pinggang. Dadanya yang bidang tegapkan tubuh. Dia menarik nafas dalam sebelum menghembusnya kasar. Wajah seorang lelaki di hadapannya direnung lama. Jemari lantas naik memagut dagu lelaki itu memaksa si dia mendongak menentang panahan tajam matanya.

"Apa benar kau yang bernama Halifah?" Jamil menyoal dengan nada mendatar.

Halkum lelaki itu bergerak ke bawah menelan pepasiran di kerongkong. "Benar, tuanku."

Bicara SemalamWhere stories live. Discover now