_ 34 - BICARA SEMALAM -

153 23 2
                                    

Selendang putih dikemaskan atas kepala dan hujungnya digunakan buat menutup separuh wajahnya. Daun pintu kamae peraduan dibuka perlahan-lahan.

Pandangan tajam dua pengawal kamarnya dibalas dengan cerlungan tajam Azalea. Jari telunjuk merapat ke bibir yang bersembunyi di sebalik selendang.

"Sultan menitahkan agar permaisuri tiada dibenarkan keluar daripada Teratak Mahligai pada malam hari tanpa izin kurnia baginda sultan," bisik salah seorang daripada mereka. Begitu perlahan suaranya dek khuatir bakal membuatkan sultan terjaga daripada lenanya.

"Persetankan sahajalah titah baginda," selar Azalea geram. "Beta mahu keluar menjenguk Cempaka. Kau berdua usah riuh menyampaikan ketiadaan beta kepada baginda. Mengertikah kalian?"

Dalam tidak mahu, mereka berpandangan sesama sendiri sebelum mengangguk menurut perintah.

"Patik menjunjung titah, tuanku. Namun, apakah tuanku bakal baik-baik sahaja? Bagaimana jika kejadian tempoh hari berulang lagi? Kami tidak mahu diusir daripada istana oleh sultan seperti kebanyakan pembesar, tuanku," pengawal tadi mengutarakan keresahan yang bertandang di hati.

"Usahlah khuatir. Aku baik-baik sahaja."

"Tetapi, tuanku ... bukankah selalunya ...," jeda pengawal yang sama sedikit teragak-agak menyambung ayatnya.

Dia menjeling rakannya di sebelah. Berwajah kejung dan lurus menala pandangan ke hadapan. Sepertinya lelaki itu tiada berminat mahu mencelah dalam perbualan mereka.

Azalea menjatuhkan selendang yang menutupi separuh wajah. Bibirnya yang merah bak delima tanpa calitan pemerah bibir itu merekah membentuk senyuman. Keningnya dijongket tinggi melihat akan reaksi pengawal itu.

"Bagaimana mungkin, tuanku?"

"Simpan sahaja rahsia ini di antara kita bertiga. Tiada yang sumbing bibirnya melepas kata. Jikalau ada yang membuka rahsia, kalian beta penggal sahaja kepala."

Pengawal itu tadi terus menekur lantai diam tidak berkutik. Rakannya pula hanya mampu meneguk liur kesat mendengarkan bicara raja permaisuri mereka.

Selendang kembali naik melindungi wajah. Azalea mengatur langkah laju meninggalkan Teratak Mahligai. Dengan berhati-hati dia menjejak haluan ke bahagian penjara istana.

Dalam sekejap cuma, sudah jelas terlihat obor yang tergantung tinggi pada dinding penjara itu. Apinya yang meliuk ditiup bayu malam tiada terpadam dan setia membekalkan cahaya memudahkan Azalea menjejak laluan yang sedia ada menuju ke pintu utama yang dikawal dua pengawal.

Jemu dilontar pandangan aneh kepadanya, selendang di atas kepala Azalea biarkan sahaja melurut jatuh melingkari lehernya.

"Apakah tuanku permaisuri mencemar duli ke penjara semata bertemu Cempaka lagi?"

Azalea sekadar mengangguk.

"Kemudian, tiada daya kami selain menegah tuanku berbuat sedemikian. Sultan bertitah agar ....,"

"Muak sudah beta mendengarnya." Hujung selendang yang terbang menyentuh wajah ditarik lalu direnyuk dalam genggaman. "Benarkan sahajalah beta ke dalam, pengawal. Tiada kalian tahu akan rindu yang menggunung di dalam diri ini. Tiada kalian tahu betapa beta berkehendak bertemu separuh jiwa beta yang dipasung seksa di dalam sana."

"Baginda sultan murka seandainya mengetahui akan pertemuan permaisuri dan si pendurhaka itu."

Bergegar benak Azalea saat gelaran pendurhaka menyapa gegendang telinganya. Kala itu, ringan saja telapak tangan Azalea melayang ke pipi pengawal itu mendaratkan satu tamparan hebat.

Bicara SemalamWhere stories live. Discover now