_ 15 - TAK FAHAM ¿ -

223 33 26
                                    

Syed Abu Bakar mengepalai perjalanan mereka. Seperti pembaris, mereka berjalan kerana Puteri Azalea diminta berada di belakang Syed Abu Bakar kerana kepentingan statusnya. Dia diekori pula oleh Cempaka yang bertanggungjawab menjalankan tugas sebagai penjaga Tuan Puteri.

Manakala insan yang berada paling belakang sudah tentu si Faris yang sedari tadi tidak berhenti menguap.

"Allahuakbar." Mulut Faris ternganga luas ketika dia menguap buat ke-12 kali. Belakang tapak tangan naik menekup mulut tatkala dia bertakbir perlahan. Tubuh yang kepenatan diregangkan sambil menggeliat kecil.

Bagi Faris, hutan dan nyamuk berpisah tiada. Memandangkan dia terlalu gigih berjuang menentang tentera nyamuk, seringkali mereka yang lain meninggalkannya jauh ke belakang. Menganggap tindakan itu satu penganiayaan bagi dirinya, Faris mula mencuit bahu Cempaka yang berada di depan.

"Ada apakah keperluan tuan hamba?" Cempaka menjegil Faris.

"Bagilah aku duk depan. Obor ada pada Tuan Syed. Kalau terang pun, kawasan kau orang je. Aku pula bergelap-gelita kat belakang ni," adu Faris dengan suara sengaja dikuatkan.

"Tidakkah tuan hamba boleh bersabar? Perjalanan kita juga sudah hampir tiba di tempat yang ingin dituju," balas Cempaka dari balik bahunya.

"Tetap tak adil. Diskriminasi. Konspirasi. Provokasi. Halusinasi. Ah! Bosan aku dengar ayat kau yang dah basi."

Faris mencebik bibir seraya menampar seekor nyamuk besar yang hinggap di belakang tangannya. Hanya dengan sekali serangan, ia mati di tangan Faris. Mungkin kerana sudah kekenyangan menghisap darah, nyamuk itu menjadi kurang cergas dan tidak melarikan diri.

Dia pun menyeluk poket. Sehelai tisu yang entah bila dia masukkan ke situ ditarik keluar. Tisu itu digunakan untuk mengelap lelehan darah nyamuk tadi. Selesai menyapu bersih, tisu dilipat kecil dan dimasukkan ke dalam poket semula. Dia tidak mahu mencemari hutan dengan barangan miliknya, sekecil manapun ia.

Mata Faris ayik menekur lantai hutan dalam perjalanan yang masih berbaki. Rentak kakinya dipadankan dengan langkah Cempaka. Ala-ala cerita P. Ramlee, Pendekar Bujang Lapok. Dalam masa yang sama, dia mahu mengelak daripada pokok renek berduri dan akar pokok besar yang berselirat. Tidaklah dia tersadung nanti.

"Tuan Syed, bukankah kita sepatutnya mengambil denai yang berada di sebelah kanan? Beta yakin bahawa Beta mendengar akan bunyian air sungai mengalir deras dari sebelah sana," kata Puteri Azalea serentak memberhentikan langkah.

Faris lantas mendongak ke hadapan. Kelihatan Syed Abu Bakar mengangkat tinggi obornya. Mungkin mahu mengingati haluan yang betul.

Dengan pandangan yang agak terhad, Faris dapat melihat dua laluan gelap. Jikalau diikutkan hati, kedua-duanya dia tidak mahu lalui kerana kegelapan terlalu menakutkan. Disebabkan alasan itulah, dia tidak berani menoleh ke belakang. Risau jika bertemu rakan-rakan baharu.

"Ampunkan patik, Tuan Puteri. Seingat patik, denai di sebelah kiri adalah yang benar. Bagaimanakah pendapat Cempaka? Masihkah Cempaka ingat?"

Syed Abu Bakar berpaling ke belakang. Sememangnya pondok lama Pak Andak berdekatan sebuah anak sungai. Tetapi dia tidak pula mendengar apa-apa bunyi selain nyanyian sekumpulan cengkerik.

"Cempaka bersetuju sama Tuan Syed. Mungkin juga Tuan Puteri telah tersilap mendengarnya."

Faris menjuling ke atas. Perselisihan pendapat pasti akan melambatkan perjalanan mereka. Lantas dia menutup mata kejap. Mahu mengesahkan adakah benar ada bunyi sungai yang mengalir sepertimana Puteri Azalea katakan.

Lima saat berlalu dan Faris kembali membuka mata. Dia mengulum senyuman berpuas hati.

"Aku setuju dengan Lea. Kita kena ikut jalan sebelah kanan," Faris menyampuk dalam ketegangan perbincangan.

Syed Abu Bakar dan Cempaka dengan laju menoleh kepadanya.

"Sudah berpuluhan kali hamba katakan kepada tuan hamba supaya menjaga tutur kata!" Cempaka menengking.

Faris mengangkat keningnya tinggi. Mulut terkumat-kamit menyebut, 'Apa?'.

"Biarkan sahajalah Faris, Cempaka. Tidaklah Beta menentangnya selain daripada turut merasa selesa." Puteri Azalea mencapai jemari Cempaka dan meramasnya lembut.

"Tetapi dia sudah bertingkah biadap dengan Tuan Puteri. Bahasanya terlalu kasar sehingga mencabuli gelaran Tuan Puteri. Dan hamba sama sekali tidak membenarkannya."

Cempaka merengus kasar. Sedangkan dia yang menjadi teman sepermainan Puteri Azalea sejak kecil perlu memanggil dengan gelaran hormat, inikan pula lelaki yang baru sahaja mereka kenali. Sedikit sebanyak terbit rasa cemburu jauh di sudut hatinya.

Faris menggigit bibirnya kerisauan. Sesekali dia mengerling Puteri Azalea. Mengharapkan sokongan gadis itu sebagaimana perjanjian mereka. Faris menghela nafas lega melihat anggukan kecil Puteri Azalea. Setidaknya dia bakalan selamat daripada ribut taufan kemarahan Cempaka.

"Iyakan sahajalah, Cempaka. Tuan Puteri juga menerima baik panggilan itu. Tak usahlah kita perbesarkan masalah ini. Tidak begitu, Tuan Faris?" Syed Abu Bakar dengan tenangnya menyebelahi Faris.

Ibu jari kanan diangkat tinggi bersama sengihan yang melebar. Faris benar-benar berpuas hati apabila seorang lagi insan menyokongnya.

"Jadi, boleh kita berhenti gaduh? Kata nak cepat. Jomlah!" Faris menepuk tangannya beberapa kali. Dia dengan berlagak mengisyaratkan Syed Abu Bakar untuk meneruskan perjalanan.

"Sudahlah, Cempaka. Marilah kita bergerak sebelum matahari mengintai malu di bentangan langit luas," ujar Puteri Azalea sedikit berkias. Lemah lembut sahaja suaranya. Lengan Cempaka dipaut kemas lalu ditarik untuk mengekori Syed Abu Bakar yang akhirnya memilih untuk menggunakan denai sebelah kanan.

Tepat sekali pernyataan Puteri Azalea apabila setelah hampir lima minit berjalan, mereka berjaya menjejakkan kaki di kawasan tanah sedikit berlumpur berdekatan sebuah anak sungai.

Dihidangkan satu pemandangan yang cantik, Faris terpaku. Pancaran cahaya bulan terpantul pada permukaan air yang jernih. Jika ditenung lebih lama, pasti dapat melihat ke dasar sungai. Bunyi air deras yang menghentam batu besar mendominasi kesunyian mereka berempat.

Faris maju melangkah lalu duduk bertinggung di gigi air. Tangan dilalukan pada aliran air sungai. Sejuk. Dia menggigil sambil tersenyum.

"Boleh tunggu sekejap? Aku nak ambil air wudhu'. Dah masuk Subuh, kan?" Soalan Faris mengundang kerutan tiga insan yang lain.

Namun, antara mereka bertiga, Syed Abu Bakar terlebih dahulu melakar senyuman. Dia menggeleng perlahan.

"Pondok Pak Ajis bakalan membunyikan beduk sebaik sahaja masuknya Subuh," jelas Syed Abu Bakar.

Faris mengangguk. Dia kembali menghadap air dan mula mengambil wudhu'. Jantungnya berdetak tenang ketika merasakan air yang mengalir pada permukaan kulit dan melalui celahan bulu romanya. Nyaman. Usai meratakan air pada kedua belah kaki, dia memercikkannya dengan sengaja ke muka.

"Jikalau engkau suka, kita boleh kembali ke sini sebaik sahaja matahari terbit. Cahayanya bisa menghangatkan kesejukan. Akan kau mengerti nanti." Puteri Azalea tergelak kecil melihat Faris yang sedikit bingung. Mudahnya dia lupa bahawa terlalu berkias dengan Faris tidak mampu menjolok kefahaman lelaki itu.

Lantas Faris bangkit berdiri sebelum mengambil posisi di sebelah Syed Abu Bakar. Kini, dia berada di hadapan turut mengepalai perjalanan. Dengan itu, dia sudah berpuas hati. Walaupun dikhabarkan bahawa hanya perlu berjalan kaki lebih kurang beberapa langkah saja lagi.

Bicara SemalamWhere stories live. Discover now