_ 50 - P E N G H U J U N G N Y A -

102 19 2
                                    

"Jangan, Cempaka. Semakin marah ayah kau nanti."

Mak Odah sedari tadi memeluk Cempaka. Juraian air matanya jatuh ke pipi tatkala anak gadisnya itu meronta cuba meloloskan diri. Anak perempuannya yang paling lasak suatu ketika dahulu kini sudah tidak bermaya. Tenaganya juga tidak mampu melawan dia yang sudah tua.

"Biarkan Cempaka, emak. Bagaimana jika dipukulnya Faris sehingga ...," jeda Cempaka tidak sanggup menyambung kata. "Tidak mahu ayahnya Cempaka menjadi seorang pembunuh. Anaknya sudah menjadi pendurhaka dan sekarang pula semakin huru-hara keluarga kita."

Mak Odah menyeka air matanya sebelum melonggarkan dakapan.

"Usah kau tambah minyak ke api yang marak, nak." Belakang tubuh Cempaka ditepuknya perlahan. "Sekeras apa pun seorang lelaki tua yang kau lihat itu, masih wujud kasih dan sayangnya seorang ayah kepada si anak. Bicara kau biar sampai lembut hatinya."

Nafas Cempaka tertahan. Tangan Mak Odah dicium olehnya. Tubuh yang menggeletar digagahkan jua. Kaki diseret perlahan merapati Pak Andak.

Penampar pijar Pak Andak ringan melayang ke pipi Faris.  Terjelopok dia ke sisi. Dalam kekaburan pandangannya, samar-samar Faris melihat batang tubuh Cempaka yang kurus kering mendekati mereka.

"Jang ... jangan dekat." Kali ini segalanya mulai kelam tatkala bibir berkata, "sakit."

Pekikan Cempaka kemudiannya sayup kedengaran sebelum tenggelam dalam dunianya yang gelap gelita.

Perutnya masih terasa senak saat dia membuka mata kembali. Faris menggawangkan tangannya ke udara. Dia kemudiannya meraba lantai dingin berharap dapat mencapai apa-apa objek namun sekelilingnya seperti kosong tiada apa. Cuba dia menopang siku untuk bangun namun dek tubuh yang masih lemah, dia kembali rebah.

"Ada air? Aku dahaga." Faris berbaring lagi. Tekaknya benar-benar kehausan. "Umi, bukakan lampu. Kenapa gelap sangat ini?"

Tiada sahutan.

"Ali, nyalakan lampu minyak tanah. Bawakan aku air. Haus."

Masih sunyi sekitarnya. Mata dikejipkan beberapa kali. Kepala menoleh ke kanan dan kiri. Tidak berpuas hati, digenyeh mata sendiri. Masih sama.

Gelap tanpa cahaya yang mula didambakan olehnya. Dada Faris mula sesak. Hakikat yang perit itu sukar sekali untuk dia hadamkan. Wajah terasa berbahang. Tubir mata mula berair.

"Kasihan, anak umi. Kenapa Faris menangis ini? Mimpi ngeri, ya? Mimpi kena kejar dengan anjing Uncle Wen An lagi ke?"

Gelak tawa kecil umi singgah di cuping telinganya. Bibir wanita itu hangat mengucup kelopak matanya.

"Faris jangan takut. Umi ada. Umi akan selalu ada dengan Faris."

Umi, Faris rindu.

Kali ini dia merasakan jemarinya digenggam umi. Digosok penuh kasih belakang tangannya.

Tubuh yang kaku menambah perit di hati Faris. Ingin saja dia bangkit dan memeluk umi namun segalanya terbatas. Dimana mungkin saja terbatas dengan dua zaman yang berbeza.

Faris memaksa ototnya untuk bekerja lebih keras.

'Kau boleh, Faris. Kalau bukan sekarang, bila lagi? Andai ini kali terakhir kau bersama umi, kali ini saja peluangnya.'

Sengal setiap inci tubuhnya tatkala itu. Kepala berdenyut hebat. Mampu menggerakkan hujung jari sekalipun sudah dia bersyukur.

'Kalau kau mati di dunia sana, aku janji kau takkan menyesal, Faris.'

"Allahuakbar. Abang! Abang, anak kita dah sedar!" Berteriak umi seraya menggenggam tangan anak lelakinya bagai tidak mahu dilepaskan.

"Macam mana awak tahu? Tak terbuka pun matanya. Awak rehatlah dulu. Penat sangat kot sampai fikir anak kita dah sedar."

Bicara SemalamWhere stories live. Discover now