_ 27 _ H A R A P A N _

179 30 7
                                    

Tangan direhatkan ke belakang badan lalu jemarinya bertaut kemas. Dadanya tegap menghadap langit. Udara tanah airnya itu dihirup tenang. Molekul-molekul rindu seolah-olah menari dalam jiwanya.

Sesekali dia menjeling Tok Rantau yang sedang rancak berbual dengan seorang lelaki tua yang dikenali sebagai Pak Kenit iaitu ketua Kampung Jangok. Kadang-kadang terhambur ketawa mereka ralit tanpa ambil kisah akan Faris yang sudah lama terpacak di bawah matahari. Sedangkan mereka berdua duduk bergoyang kaki di atas pangkin di bawah sebuah bangsal.

Halaman rumah Pak Kenit luas dan bersih. Tanahnya lapang hingga bahagian di sebelah kanan telah dibuka gelanggang di mana dipagari oleh pacakan obor dan daun pokok kelapa. Memandangkan rumahnya berhampiran pesisiran pantai, banyak pokok kelapa yang tumbuh disekeliling rumah.

"Faris, ke marilah kau," panggil Tok Rantau.

"Ada apa, tok?" Berlari anak Faris mendapatkan lelaki itu.

"Kenit, inilah cucu yang aku ceritakan kepada kau tadi. Faris Ikram namanya."

Faris tersengih lebar mendengar getaran pada huruf r dalam pertuturan Tok Rantau. Lantas Faris menghulurkan tangan bagi berjabat tangan dengan Pak Kenit sebagai salam perkenalan. Masing-masing terangguk senyum.

"Kau berapa lama lagi di sini?" Pak Kenit memandang Tok Rantau sekilas.

"Lusa aku sudah mahu bertolak ke Pulau Sena. Lagi seminggu aku kembali ke sini. Oleh kerana itulah cucuku ini aku mahu titipkan kepada kau. Kerah saja tenaga mudanya buat bantu kau di laut dan kerja-kerja kau bertukang. Serba boleh budaknya," petah sekali Tok Rantau berkata-kata.

Faris yang mendengar hanya mampu tersenyum senget. Terfikir pula dia adakah Tok Rantau menjadi kabel untuk dia diterima bekerja oleh Pak Kenit.

"Apakah kau bermampuan melakukan kerja-kerja itu, wahai pemuda?"

Liur kegugupan ditelan Faris yang dirasakan begitu pahit. Dan kali ini mungkin sudah beralih ke tahap kedua iaitu sesi temu duga.

"Ya. Saya yakin saya mampu. Pak Kenit jangan risau."

Waktu untuk kau promosikan diri sendiri, Faris!

"Apa saja kerja yang Pak Kenit berikan, dengan izin Allah saya akan lakukan sebaik mungkin. Di zaman kegemilangan saya, semua kerja saya pernah cuba. Jadi doktor, cikgu, anak orang kaya yang ada syarikat besar, arkitek dan jadi nelayan pun pernah," ujar Faris dipuncak kebanggaan.

Di hadapan kamera, semua pekerjaan telahpun dia sapu. Dengan yakin Faris mendabik dada tatkala terkenangkan anugerah Pelakon Terbaik yang pernah dirangkulnya pada tahun lalu.

Pak Kenit mengangguk berpuas hati mendengarkan bicara Faris.

"Apakah kau reti bersilat, anak muda?" tanya Pak Kenit tiba-tiba.

"Sil ... sil apa?"

* * *

"Nanti saja adinda meminumnya. Kanda tidurlah terlebih dahulu."

"Pastikan kau minumnya sampai habis. Sudah berkali aku katakan ia minuman herba untuk menyembuhkan kau," ucap Jamil tegas sambil memejamkan matanya menunggu masa untuk lelap dihanyutkan oleh mimpi.

"Baiklah. Tiada khuatirlah kakanda."

Seperti biasa, sehelai kain batik dihamparkan sejauh yang mungkin dari katil tempat Jamil beradu. Bantal kecil yang diberikan kepadanya atas belas ihsan Jamil diletakkan sebagai pengalas kepala. Selendang putih lagi nipis miliknya pula digunakan untuk menyelimuti tubuh yang saban malam kedinginan.

Bicara SemalamWhere stories live. Discover now