_ 35 - KHABAR BUAT CEMPAKA -

151 22 0
                                    

Awan yang mula menghamburkan gerimis tangis menggesa langkah Azalea kembali ke istana.

Hari rupanya sudah menginjak pagi yang masih buta membuai lena saat dia melangkah keluar daripada kawasan penjara. Terlalu banyak perihal yang diutarakan sehingga menghangatkan lagi perbincangannya bersama Cempaka dan Restu tadi. Terlalu ralit di dalam sana, tidak dia sedar akan bulan yang sudah dilindungi awan hitam di langit kelam.

Langkah Azalea semakin laju. Tiada dia gusar saat kaki memijak lopak air yang disebabkan oleh tangisan sang awan yang semakin lebat membasahi bumi Herwin itu. Air yang terpercik ke betis kerana persalinannya yang meleret sudah diangkat tinggi hingga ke lutut dibiarkan sahaja.

Kala dia semakin menghampiri Teratak Mahligai, jantung Azalea mula berdegup dengan irama yang aneh. Debaran yang tidak menentu hinggap di sanubarinya.

Namun, kaki digagahkan jua menentang prasangka buruk yang bermain di benak. Nafas lega dihela Azalea saat kaki menjejak anjung Teratak Mahligai. Langkah mula diatur tenang kerana dia masih kemengahan setelah berlari pantas meredah hujan.

Dan sebaik sahaja dia tiba di hadapan kamar peraduannya, dua lelaki yang ditugaskan berkawal di situ sudah tiada. Dahi Azalea berkerut seribu.

Dengan teragak-agak, dia maju setapak dan tangan sudah bersedia untuk menolak daun pintu.

Namun, saat selendang putih yang memberat di atas kepala dek dibasahi hujan ditarik daripada belakang, tingkah Azalea langsung terhenti. Hujung matanya melirik ke sisi dan dengan perlahan dia menoleh.

Sepasang mata yang mencerlung tajam ke arahnya di sebalik bahunya membuatkan seluruh tubuh Azalea kaku.

Bahunya dicengkam dan tubuh serta-merta dipaksa berpaling ke belakang menghadap satu susuk tubuh tegap seorang lelaki. Parut yang membelah kening kanan lelaki itu terus menjongket tinggi. Riaknya sinis disulami kebengisan yang dizahirkan pada seraut wajah itu.

Lelaki itu pantas menolak daun pintu di belakang Azalea lalu menolak wanita itu ke dalam kamar peraduan mereka. Dia menyusul sebelum menutup pintu dengan kasar.

Tanpa sebarang kata, dia mara ke arah Azalea yang masih pegun. Dan dengan laju telapak tangan milik lelaki itu naik menghadiahkan tamparan hebat buat isterinya.

Belum sempat kepala Azalea terteleng ke kanan dek dilempang sedemikian rupa, melayang pula tamparan kedua di pipi kirinya. Bergegar kepala Azalea buat seketika. Mata kemudiannya terus dikunci ke lantai saat diri cuba menelan kepahitan liur di kerongkong. Nafas ditarik sedalam yang mungkin.

Mengingatkan hakikat bahawa itu bukan kali pertama dia dikasari sebegitu, hati Azalea menggelupur keperitan. Dia mendongak perlahan dengan satu tekad di dalam diri.

Hujan yang semakin lebat menaburi bumi dengan titisan jernihnya semakin asyik menyaksikan ketegangan yang mengikat pertembungan pandangan tajam dua insan itu.

Semakin berombak kencang dada Azalea saat merasakan ada cecair likat di hujung bibirnya. Ibu jari lantas naik menyeka ia. Warna merah yang tercalit pada ibu jari itu dikerling Azalea sekilas. Dia lantas menggaritkan senyuman sinis.

"Perihal apakah yang mengganggu tuanku untuk adinda dikasari sebegini rupa?"

Suara yang mahu bersuara lantang itu dihambur dengan teratur.

"Kau ingkar, tuanku permaisuri. Ingkar akan titah beta agar jangan sekali tuanku menjejakkan kaki ke penjara itu lagi!"

Dahi Azalea ditunjal berkali-kali oleh lelaki yang bergelar sebagai suaminya itu. Langkah Azalea langsung mundur dan Jamil pula mengekori dengan menapak ke hadapan.

Bicara SemalamWhere stories live. Discover now