_ 33 - TUNGGU AKU -

160 24 0
                                    

Dua purnama yang menjejak garis sebuah hakikat masa terasa begitu pantas berlalu bagi seorang Faris Ikram. Selama itu tiada pulangnya ke Kampung Jangok bertemu insan yang pernah dikenalinya di sana.

Air yang mengalir deras terus mengucup betisnya yang direndam ke dalam anak sungai. Duduknya selesa di atas batuan besar di situ. Nafas panjang ditarik dalam.

"Ikram, ke marilah kau ke sini. Ali menemukan ayam hutan sebentar tadi. Kau lekaslah kepada Ali dan sembelihnya."

Faris lantas berpaling ke belakang. Pak Kenit yang sedang menyalakan unggun api dipandangnya dengan kerutan di dahi.

"Nak sembelih? Sembelih ayam ke Ali?" Faris tenang menayangkan wajahnya yang seakan suci daripada noda itu.

"Aku fikir kau sudah lurus pemikirannya tetapi tidak pula aku sangka masih kau suka berseloroh, ya!"

Batuan kecil yang melata di atas tanag dikutip Pak Kenit sebelum dilemparkan kepada Faris.

Hanya sengihan kerang busuk yang dipamerkan oleh pemuda itu.

Ali yang kelihatan sedang menghampiri mereka dengan seekor ayam dalam pelukannya menarik perhatian Faris daripada terus merenung ke dasar anak sungai.

"Kau pegang kepalanya, Ikram. Aku cengkam kakinya di sini. Nah, pisau."

Faris lantas menutup mata ayam yang melilau itu sebelum sebilah pisau yang dihulurkan oleh Ali kepadanya dipandang sepi. Faris menggeleng perlahan.

"Kau belajar sahajalah Ikram dengan si Ali itu. Kalau ayam hutan pun kau tidak reti sembelihnya, bagaimana kau mahu menyembelih tengkuk musuh kau nanti?"

Meremang bulu roma Faris mendengarkan kata-kata Pak Kenit. Wajah Ali yang turut kaget dipandangnya dengan janggal sebelum dia mencapai pisau daripada Ali tanpa sedar.

"Ajar aku, Ali."

Pak Kenit menggarit senyuman tipis.

"Kau dongakkan dahulu kepalanya. Bilah pisau kau rapatkanlah sedikit condong ke telinganya," jeda Ali saat memerhatikan Faris yang menuruti arahannya.

"Setelah itu, kau sembelihnya pada dua urat. Satu, di urat halkum iaitu tempat ia bernafas. Kemudian di urat merih iaitu tempat ia makan." Jari Ali bergerak menunjukkan letaknya dua urat itu.

"Hadap kiblat, Ikram. Niatnya sembelih kerana Allah. Baca basmallah juga berselawatlah kepada junjungan mulia Nabi Muhammad SAW," tegur Pak Kenit saat melihat Faris yang gugup.

Setiap titipan nasihat Pak Kenit dan Ali digunakan oleh Faris sebaik-baiknya. Usai menyembelih, ayam itu dilepaskan menggelupur ke atas tanah.

Pisau di tangan Faris bawa ke gigi anak sungai dan dibersihkan darah yang berlumuran pada bilahnya. Usai saja membersih pisau, ia diletakkan ke sisinya. Kali ini digosok pula tangannya yang terpercik darah ayam hutan. Disental-sentalnya sehingga ke pangkal siku.

Setelah berpuas hati, Faris mencapai pisau tadi untuk kembali ke tempat rehat mereka yang tidak jauh dari situ. Dan tidak semena-mena jemarinya menembusi jasad pisau tersebut.

Jantung Faris lantas berhenti berdetak. Bibir bawahnya dikertap kuat. Sebelah lagi tangannya naik meraih jemari tadi yang sudah menggeletar hebat sebelum diramas sepenuh hati. Tubuhnya mula menggigil.

Bicara SemalamWhere stories live. Discover now