_ 43 - IKRAM, KAU ...? -

143 20 1
                                    

Pantulan bulan pada air yang berkocak tenang memaku pandangan dua pasang mata. Batu kecil di sisi dikutip lalu dibaling tepat pada pantulan itu. Dan menghilanglah si bulan di sebalik gelombang bulatan air sebelum kembali dipantul pada titik yang sama.

"Bagaimana tuan hamba mengenali keberaadaan tasik ini?"

Faris mengerling ke kanan di mana ada Cempaka yang duduk sambil melunjurkan kakinya. Gadis itu meluruskan pandangan ke hadapan. Cahaya bulan yang terang malam itu cukup menerangi kawasan sekitar.

"Dia orang," jawab Faris ringkas sambil memuncungkan mulut ke satu arah yang tidak jauh daripada mereka.

Mata Cempaka menyoroti arah yang sama buat beberapa saat sebelum berpaling kepada Faris semula.

"Dia orang yang suruh aku bawa awak ke sini untuk berbincang dan dapatkan persetujuan kau dengan rancangan kami."

"Maksud tuan hamba?"

"Aku nak bawa kau jauh dari sini. Jauh dari penjara beku istana. Jauh daripada mereka yang nak seksa kau."

Lama Cempaka membisu. Lidahnya kelu.

Tika itu akalnya bersungguh memujuk hati agar tidak mudah jatuh ke dalam dakapan peluang keemasan itu.

"Tiada perlu untuk tuan hamba mengkhuatiri perihal itu. Hamba baik-baik sahaja di sana," tutur Cempaka mendatar. Sejauh mungkin dia cuba mengusir pandangan simpati Faris.

"Tempat itu bahaya, Cempaka. Kau tak selamat kat sana. Dan ... masih nak hadap ke kawan yang dah khianati kau, Cempaka?"

Cempaka hanya mengerling sekilas. Tanpa sedar dia mengepal tangan kemas. Benar kurang gemar mendengar kritikan Faris terhadap insan kesayangan seluruh rakyat jelata Indera Kara termasuklah dirinya sendiri.

"Apakah tuan hamba tahu? Diri hamba pernah berputus asa. Untuk mata ini celik juga jikalau bisa hamba tidak mahu. Segala keperitan bernanah di sini. Bersendiri tanpa bertemu mata sama keluarga sendiri benar perit buat hamba," ujar Cempaka sambil menumbuk dadanya.

Pandangan ditala jauh merentasi tasik menembus kegelapan hutan di seberang sana.

"Hamba juga mempersoalkan. Mengapa kesetiaan hamba diperkotak-katikkan sebegini oleh sultan? Walhal hamba sangat kasih akan puterinya. Tiada mungkin hamba melakukan perihal yang memudaratkan permaisuri. Namun, keadaan tegang tika itu sepertinya memacakkan segala salah di atas bahu ini."

Memori Faris turut menggamit hari terakhir mereka bertiga bersama. Dia juga panik benar hari itu. Dan bayangan dua lelaki yang pernah menyerang hendap dirinya terlayar di minda. Kejadian itu mengingatkan dia akan sebuah perjanjian lisan yang dimeterai sebagai balas budi nyawanya tidak direnggut mereka.

"Dan keperitan itu mula sembuh tatkala berhubung sama semaian harapan yang hamba tanamkan di dalam jiwa ini."

"Harapan apa, Cempaka?"

"Harapan bahawa tuan hamba kelaknya kembali."

Pandangan mereka bersabung lama. Faris menjongketkan kening dek sukar mengerti apa yang diujar Cempaka.

"Aku?"

Melihat anggukan Cempaka, Faris menggigit bibirnya menahan rasa bahagia. Mengetahui hakikat bahawa Cempaka juga sedang ternantikan detik bertemunya cukup menjentik rasa suka dalam diri.

"Hamba yakin tuan hamba bakal kembali. Buktinya? Tuan ada di sini. Di sisi hamba. Tuan tentunya kembali dengan ratusan tujuan yang ingin dilaksanakan. Buktinya? Sebentar tadi tuan hamba menawarkan hamba peluang untuk melarikan diri." Bait bicara Cempaka tenang.

Bibir yang mahu meleretkan senyuman diketap. Tidak mahu dia terlihat begitu teruja dengan sangkaan Cempaka yang tepat belaka.

"Harapan tercapai, kan? Aku dah datang. Jadi, kau nak ikut aku?"

Bicara SemalamWhere stories live. Discover now