_ 45 - M E M O R I -

167 25 0
                                    

Usai Subuh, anjung kediaman Tok Rantau menjadi tempat rehat dua pemuda yang tidak lekang dengan wajah gusar. Sesekali mereka saling berpandangan sebelum melepaskan keluhan panjang.

"Ada apa sahaja yang terjadi sehingga kau berdua bermuram durja di pagi hari?" Suara garau Tok Rantau yang menegur membuatkan dua lelaki tadi berpaling ke belakang.

Lelaki tua itu mengambil tempat di tengah antara mereka yang sedang duduk di tangga. Tok Rantau mengangkat kening sambil menoleh ke arah dua pemuda itu.

"Apakah si Faris yang dinantikan oleh kalian?"

"Faris?" Ali dan Daus menyoal serentak bersama seribu kerutan di dahi.

"Iyalah, Faris. Mengapa kalian pula yang memandang aku aneh sebegini. Namanya Faris Ikram. Kalian memanggil cucuku itu Ikram, bukan?"

Mereka berdua mengangguk laju.

"Tampaknya penantian kalian berakhir sebelum matahari menjengah bumi Indera Kara. Lihat di sana. Cucuku sudah pulang."

Pandangan Ali dan Daus laju ditala lurus ke hujung lorong di sebelah kanan mereka.

Dari kejauhan, mereka menyoroti sepasang kaki ayam yang melangkah longlai ke halaman rumah. Seluar yang dikenakan bersaiz agak besar dan berwarna putih bercorakkan bunga kecil hijau. Tubuh itu menyarungkan baju yang lebar pada bahu dan lengannya begitu labuh hingga tidak menampakkan tangan si pemakai. Baju yang berbutang itu turut mempunyai corak yang sama.

Semakin lelaki itu mendekat, semakin jelas wajahnya yang pucat.

"Ikram?" Ali lekas menuruni anak tangga.

"Air ... air ...." Mulut Faris terkumat-kamit meminta. Pandangannya berbalam. Susuk tubuh seseorang yang meluru ke arahnya dipandang kabur. Langkahnya yang longlai lantas terhenti.

Mata terkatup rapat sebelum tubuhnya dirasakan tumbang dek kaki yang tidak lagi mampu menampung jisim badan.

"Ikram!"

Suara Ali menjadi bunyi terakhir yang bergema dalam fikiran sebelum dunianya terus gelap dan sunyi.

Terasa sesak di dada, telapak tangan naik menekan dada dengan kuat. Kemudian, dia cuba batuk. Batuk yang sengaja diadakan agar rasa sesak itu keluar melapangkan dadanya kembali. Namun apabila tidak berkesan, dia mengerang keras.

Matanya cuba dibuka sepet menghalau kegelapan. Rasa pegal seluruh tubuh membuatkan dirinya merasa lemah.

"Bangkit, Faris. Minumlah air ini," ujar Tok Rantau sambil menghulurkan segelas air.

Ali sudah bersedia menahan Faris dari belakang. Dibiarkannya tubuh itu bersandar melepaskan lelah pada bidangnya. Gelas di tangan Tok Rantau dia sambut buat Faris sebelum disuakan ke bibir Faris.

Dua teguk minum, sesak di dada menyerang semula. Air yang belum sempat masuk jauh ke dalam kerongkong terus tersembur keluar. Hidung Faris terasa perit. Dia terbatuk sehingga membuatkan kepalanya terasa sakit.

"Ke mana kau semalaman menghilang, Ikram? Kembali pula seakan tenat sudah. Buat kami khuatir benar," sempat Ali meleteri temannya sambil sebelah tangan menggosok perlahan belakang tubuh lelaki itu.

Nafas yang tertahan dihela dengan batuk lagi dan lagi.

"Daus mana?" soal Faris apabila tiada melihat kelibat lelaki itu yang selalunya seperti belangkas dengan dia dan Ali.

"Ke rumah inap anak silat yang lain. Aku menggesanya agar menyampai kabar bahawa kau tidak sihat pagi ini."

Faris mengangguk kecil. Gelas di tangan diletakkan atas lantai seraya ditolak menjauh. Dada yang dirasakan sedikit lapang menyenangkan dirinya untuk bernafas.

Bicara SemalamWhere stories live. Discover now