_ 25 - B E R K E N A L A N _

177 33 8
                                    

Menyeringai Faris apabila luka pada bahagian lengannya dibasuh dan kemudiannya disapu minyak gamat. Dia sendiri kurang pasti betapa ganasnya dia menenyeh batuan kecil di jalan tadi pada lengan.

"Apakah hajat kau ke sekitar kampung ini, anak muda? Kau nampaknya bukanlah berasal dari sini."

Lelaki tua itu menutup mangkuk kecil minyak gamatnya dengan penutup yang diperbuat daripada tanah liat. Kemudian ia ditolak ke mulut rak kayu yang terletak di penjuru rumah.

"Saya nak cari rumah Pak Cik Dolah Jambu ... eh, Jambul. Atau orang kampung panggil Tok Rantau," ujar Faris sambil mengintai luka di lengannya. Masih terasa pedih.

"Kemudian mengapa kau mahu bertemunya?"

"Kawan saya minta saya hantarkan kotak kayu ini kepada kenalannya di Kepulauan Melaka. Dan Tok Rantau boleh bawa saya ke sana." Faris menuding jari ke arah kotak tersebut.

Lelaki tua itu mengangguk. Janggut ke paras dada diusap perlahan.

"Aku mampu sahaja membawa kau ke sana, anak muda. Tetapi, kau perlu mematuhi peraturan yang bakal aku berikan kepadamu."

Berkedut seribu dahi Faris. Ada hal yang dia tidak mengerti.

"Kau telah bertemu orang yang dicari. Akulah yang dinamakan Dolah Jambul dan digelar Tok Rantau oleh orang kampung."

Kali ini mulut Faris ternganga besar sebelum tercalit senyuman pada bibirnya. Lantas Tok Rantau dipeluknya erat. Ada perasaan bercampur-baur dalam diri Faris.

Betul ke aku akan pergi ke Kepulauan Melaka? Tempat itu wujud rupanya. Tanah yang dipijak oleh nenek moyang aku yang terdahulu. Kalau begitu, adakah saat aku sesat dalam hutan aku telah ... merentasi masa?

* * *

Beralaskan tikar mengkuang, Faris berbaring menghadap atap zink yang sudah berlubang. Dia bersedia untuk tidur. Tok Rantau di sebelah sudah nyenyak tidur. Lelaki itu lena di atas alas tidur berkain tebal lagi selesa yang dihadiahkan kepadanya oleh pedagang dari China. Dan begitulah yang dikhabarkan oleh Tok Rantau kepada Faris.

Dia teringat kembali akan perbualannya bersama lelaki tua itu tadi.

"Kau ambil sajalah alas itu. Biarkan aku tidur di atas tikar mengkuang ini. Aku hendaklah memuliakan kau sebagai tetamu." Tok Rantau perlahan-lahan merebahkan tubuhnya di atas tikar.

"Tak boleh macam itu. Tok sudah tua tinggal kerangka. Nanti sakit tulang belakang siapa  susah? Saya juga," omel Faris sambil mengangkat tubuh Tok Rantau lalu diletakkan atas alas yang lebih selesa.

Mujurlah tubuh Tok Rantau kecil dan ringan sahaja. Tetapi apa yang Faris pasti, secara dalamannya Tok Rantau mempunyai ilmu yang penuh di dada terutama ilmu perantauan. Dia mahu memuliakan lelaki yang bakal menjadi gurunya itu.

"Semoga Allah memberkatimu, Faris," ucap Tok Rantau sebelum menyambung tidurnya.

Faris segera mengaminkan doa itu. "Semoga diperkenankan oleh-NYA."

Seketika kemudian, mata Faris mula menjadi kuyu dan akhirnya terkatup rapat. Faris mula hanyut di alam mimpi.

Bunyi bingit yang menerjah masuk telinga kanan dan kirinya memaksa Faris membuka mata. Silau dengan sinaran mentari, mata disepetkan. Sakit kepala Faris dibuatnya.

Dia cuba bangkit tetapi tubuhnya menggeletar lemah. Dia sudah tidak berdaya.

"Faris? Kau dah sedar? Faris, kau nampak aku?"

Bahu Faris digoncang lembut.

"Af ... Raf ... Rafeez?"

"Allahu. Alhamdulillah, Ya Allah." Rafeez meraip mukanya kasar. Risau separuh matinya beransur hilang. "Faris dah sedar! Dia cam aku wei!"

Bicara SemalamWhere stories live. Discover now