_ 36 - SAMPAI MATI -

142 24 0
                                    

Senyuman ditarik lebar dan dia pantas berpaling ke belakang saat bunyi keriuhan semakin jelas kedengaran.

Seorang lelaki yang turut memandangnya teruja lekas mempercepatkan langkah seiring dengan kelajuannya.

"Dah nak sampai!" jerit Faris sambil menunjuk ke satu arah iaitu pada jam satu daripada titik di mana dia memasakkan kaki ke tanah buat satu saat sebelum melangkah kembali.

Ali yang berada di belakang mula memanjangkan leher cuba meninjau keramaian di sebuah pasar yang sedang didekati oleh mereka.

"Hendak berhentikah, Ikram?"

Faris menggawangkan tangannya ke udara sedang mata tetap lurus memandang ke depan. "Tak payahlah. Binatang ini nanti nak lalu celah mana? Dengan kayu panjang lagi."

Keluhan kecil dilepaskan oleh Ali. Perut yang sedia berkeroncong sepertinya harus dia buat tidak peduli sahaja.

Anak mata terus menyoroti kayu panjang di hadapannya. Hujung kayu itu diletakkan ke atas bahu kanannya. Dan hujung satu lagi berada di atas bahu Faris. Telah digantung kaki seekor kijang pada kayu itu dengan keadaan badannya jatuh ke bawah.

Hasil pemburuan mereka berdua lewat petang semalam itu benar-benar memuaskan hati. Kijang yang agak berisi itu menambah keterujaan mereka untuk berkongsi rezeki bersama budak-budak silat yang lain.

"Mengapa kau menghalang jalanku? Sudahlah seperti kura-kura sahaja kau buat kerja. Lambat! Dasar lembab!"

Tengkingan yang mencanak naik dalam kebingitan orang ramai di sebuah pasar menarik perhatian Ali dan Faris. Derap semakin perlahan saat mereka bertukar kerlingan sesama sendiri buat seketika.

Susuk tubuh yang agak kurus seorang lelaki mencuri perhatian dua pemburu itu tadi. Di atas bangku yang sedang dia melabuhkan duduk, dia mula tunduk memeluk kepala lutut. Pisau pemotong daging yang berada kemas dalam genggamannya turut menerima getaran yang sama daripada tubuhnya yang menggeletar hebat.

Seorang lagi lelaki bertubuh tegap dan sedikit berusia terus memaki hamun gerangan lelaki tadi. Seakan tiada cukup menghamburkan kata-kata kesat, tangan dan kakinya naik mencium tubuh lelaki tadi.

Kejadian itu mula menarik puluhan mata penonton. Mereka dikelilingi orang ramai namun tiada siapa yang masuk campur malah sekadar berpeluk tubuh menikmati apa yang berlaku dihadapan mereka.

"Ikram!" Ali di belakang sudah mendesah. Kakinya terasa begitu ringan untuk bergerak ke gerai tersebut.

"Jangan," laju Faris menghalang.

"Tetapi ...."

Faris sekadar menujah dagu ke arah adegan tersebut berlaku. Mata yang terpaku pada Faris tadi terus bergerak pada tempat yang sama.

Beberapa lelaki yang menyarungkan pakaian yang agak segak dan tampak mewah menghampiri dua lelaki tadi. Salah seorang daripada mereka terus mendakap lelaki tua tadi daripada belakang menghalangnya untuk menendang atau menyepak tanpa belas lelaki kurus tadi.

"Kau pulanglah terlebih dahulu. Ayah kau biarlah kami mengurusnya di sini."

"Ayah seperti apalah lelaki itu. Menghina juga memukul si anak di khalayak ramai."

Faris sekadar menadah telinga untuk berbakul-bakul bebelan Ali sebelum dia mengisyaratkan lelaki itu supaya meneruskan perjalanan.

* * *

Bicara SemalamWhere stories live. Discover now