_ 20 - K E P U T U S A N -

212 32 42
                                    

Bosan duduk bersila, Faris mencangkung. Lenguh bercangkung, dia berdiri. Senaman ringan dilakukan bagi meregangkan otot badan. Hampir dua jam menunggu, batang hidung Cempaka pun dia tidak nampak.

Faris dirundung kegelisahan. Dia cuak apabila terfikir jika Cempaka memungkiri janji yang dimeterai pagi tadi. Matahari yang kini di sebelah barat mengalu-alukan kedatangan waktu senja.

"Tunggu Cempaka, balik ke pondok tadi. Tunggu Cempaka, balik ke pondok tadi. Tunggu Cempaka? Ah, tidak! Aku keliru."

Faris mundar-mandir membentuk bulatan. Kepala yang berdenyut dipicit perlahan. Lebih daripada 24 jam tidak mandi membuatkan kepalanya sakit. Memakai baju yang sama sejak semalam mendatangkan bau yang tidak menyenangkan.

Jari dipetik. Matanya bersinar. Dia sudah membuat pilihan.

Lorong kecil yang dilaluinya tadi dijejaki kembali. Destinasi yang ingin dituju sudah disetkan dalam kepala. Sungai.

Faris berjalan melepasi beberapa buah rumah. Kelihatan kebanyakan penduduk setempat sedang bersantai di anjung rumah. Kerlingan tajam dilemparkan ke arah Faris menghadirkan rasa kurang senang lelaki itu.

"Ibu! Siapakah orang itu?" soal seorang budak perempuan kepada ibunya yang duduk setangga dibawahnya.

Antah beras yang dikumpul atas badang diambil satu. Kemudian di letakkan pada pangkal rambut ibunya yang sudah beruban. Dengan pantas dan lincah dia mampu mencabut beberapa helai uban dalam satu masa.

"Orang gila barangkali. Kau jangan dekatinya, Lipis. Bahaya. Lihat saja pakaiannya yang buruk itu," si ibu memberi amaran. Kuku yang panjang digigit. Sudah menjadi kebiasaan berkelakuan sebegitu.

Faris yang mendengar mencebik bibir. Terkumat-kamit mulutnya membela diri sendiri. Sungguh dia tidak berpuas hati dengan kutukan dua beranak itu. Panas telinga dibuatnya.

"Masakan orang gila setampan itu? Dadanya bidang, kakinya galah, wajahnya pula bersih," budak perempuan itu memuji.

Langkah yang selaju kereta lumba diperlahankan serta-merta seperti basikal tua. Hidungnya kembang kempis beriak bangga. Faris lantas memalingkan muka ke arah budak perempuan tadi. Dia melambai tangan sambil menyengih lebar.

"Wah, kat sini pun aku ada peminat."

Faris melonjak keriangan apabila anak kecil itu membalas lambaiannya mesra. Dengan teruja, Faris meneruskan perjalanannya. Kali ini lebih bersemangat.

Jauh di hadapan, seorang pemuda sedang berlari ke arahnya. Mungkin disebabkan lorong yang agak sempit, pemuda itu merempuh bahu Faris dalam keadaan tergesa-gesa.

"Maaf. Maafkan hamba. Hamba tidak sengaja," ujar pemuda itu kepanikan.

"Tunggu. Kenapa kau kalut sangat ini? Ada apa?" Faris menyambar lengan pemuda itu tangkas.

Melihat si pemuda yang keluar dari halaman pondok usang milik Pak Andak tadi menjentik rasa curiga dalam diri.

"Di pondok sana ada kebakaran! Apinya sudah menjulang tinggi. Habis semua ranap dijilat api. Hamba perlu memanggil orang kampung segera," kalut lelaki itu menerangkan. Dahinya berpeluh-peluh.

Faris tergamam. Dia segera mengangkat kaki meninggalkan pemuda tadi yang sudah beredar ke arah bertentangan.

"Eton ke sini mahu memberitahukan sesuatu. Orang-orang Tuan Jamil bakal datang ke sini menjelang senja nanti. Mereka mahu membakar pondok ini."

Kata-kata Eton terngiang-ngiang dalam benaknya. Tak mungkin!

Sedang dia menidakkan andaian negatif dalam fikiran, matanya sama sekali tidak berbohong dengan kejadian tragis di depan mata. Faris terduduk atas tanah. Jantungnya berdegup kencang. Otaknya dengan perlahan menghadam apa yang berlaku.

Bahang api marak terasa pada tubuhnya yang berjarak 40 meter. Api membaham rakus setiap sisi pondok yang kini hanya tinggal tiang seri yang menunggu masa untuk tumbang. Dinding kayu berubah menjadi warna hitam dan menipis.

Dalam sekelip mata, semuanya hilang dari pandangan. Sukar benar untuk dia percaya. Walhal baru sahaja tiga jam yang lalu dia berpamitan dengan Cempaka dan Puteri Azalea di sini. Masing-masing mahu menuju ke tempat yang berbeza.

Tidak lama kemudian, orang-orang kampung membanjiri kawasan itu. Faris sudah tenggelam dalam lautan keramaian. Dengan lemah tidak berdaya, dia bangkit. Nafas ditarik sedalam yang mungkin.

Susuk seorang wanita tua didekati Faris.

"Mak cik, jalan mana yang bawa saya menuju ke istana?"

* * *

"Ampunkanlah anakanda yang durhaka ini, ayahanda. Anakandalah yang bersalah. Usahlah dihukum Cempaka dan keluarganya. Hukumlah anakanda yang durhaka ini. Hukumlah!" rayu Puteri Azalea seraya melutut di kaki Sultan Aminuddin yang sedang bersemayam di singgahsananya.

"Janganlah dihinakan diri anakanda semata-mata untuk mereka! Ayahanda akan tetap menitahkan hukum pancung ke atas Cempaka!" Sultan Aminuddin bertegas.

"Anakanda yang mahu keluar daripada istana yang bak penjara ini. Anakanda jualah yang memujuk rayu Cempaka untuk keluar bersama. Jadi anakandalah yang selayaknya dihukum!"

Sultan Aminuddin mencerlung tajam Cempaka yang sudah berada dalam kawalan pengawalnya. Gadis itu hanya tunduk tak berkutik.

"Jikalau begitulah kehendak anakanda, ayahanda juga tiada ragu untuk menghukum kerana kesalahan yang diakui anakanda. Akan tetapi, si Cempaka tetap akan dihukum pancung! Pengawal! Hantarkan ...."

"Tidak!" jerit Puteri Azalea nyaring seraya memotong titah Sultan Aminuddin.

Seisi Balairong Istana kaget. Para pembesar di tapakan berbisik sesama sendiri. Mereka yang sedang membincangkan perihal pentadbiran digemparkan dengan kepulangan puteri kesayangan rakyat jelata. Dan kini secara tidak langsung dapat menyaksikan adegan air mata Tuan Puteri.

Di sebelah sultan, Permaisuri Marlia hanya berdiam diri. Wajah sedih yang ditayangkan menjadi topeng kepada senyuman sinisnya. Di dalam hati, sudah berdekah dia ketawa. Kalau boleh, mahu saja dia bergolek-golek sambil tertawakan nasib malang anak tirinya.

Tidak mempedulikan Puteri Azalea, sultan kembali bertitah. Urat di dahinya timbul. "Hantarkan segera Cempaka ...."

"Ja ... jangan! Anakanda berjanji akan mengahwini Tuan Jamil saat ini juga jikalau Cempaka ayahanda kurniakan ampun. Cempaka janganlah dihukum, ayahanda!" dengan lantang Puteri Azalea bersuara.

Bagai ternampak lubuk keemasan di depan mata, Permaisuri Marlia terkinja-kinja keriangan di dalam hati. Lengan Sultan Aminuddin dipaut lembut kemudian digosok penuh kasih sayang.

"Tidak usahlah kakanda murka akan puteri kita. Bukankah sudah molek Puteri Azalea kembali ke istana? Langsungkan sahajalah perkahwinannya sama Tuan Jamil," ujar Permaisuri Marlia lembut.

"Pengkhianat seperti Cempaka seharusnya dihukum." Sultan Aminuddin menghela nafas panjang.

"Biarpun begitu, tiada perlulah menitahkan pancung. Pada hemat adinda, dipasungkan sahaja Cempaka di penjara. Kelak keluarganya bisa menjenguknya di sana."

Permaisuri Marlia melemparkan senyuman tipis kepada Puteri Azalea. Pandangan sayu disajikan di depan mata semua orang.

Bergetar bibir Puteri Azalea membalas renungan ibu tirinya. Tetapi bukan itu perkara utama yang perlu diberi perhatian olehnya.

"Baiklah jikalau begitu. Beta perkenankan usul adinda. Bagaimana pandangan pembesar sekalian?"

Bunyi dengungan bicara setiap pembesar memenuhi ruang balai. Bendahara lantas mengangguk menyetujui. Melihat keputusan pembesar pangkat tinggi itu, yang lain menurut.

Puteri Azalea mengerling ke belakang. Air mata yang bercucuran diseka. Mata mereka bertembung seketika. Cempaka mengangguk perlahan tatkala dia dipaksa berdiri oleh pengawal. Pergerakannya terbatas dek tangan diikat kemas.

Sesak dada Puteri Azalea ketika hujung matanya mengiringi kelibat dua pengawal yang membawa keluar Cempaka.

Bicara SemalamWhere stories live. Discover now