_ 6 - CEMPAKA DAN AZALEA -

363 40 11
                                    

"Si-siapa tu? Hantu juga ke?" Tanya Faris mula menggelabah. Fikirnya ada makhluk lain yang ingin menyerangnya. Sudahlah masalah dengan dua perempuan di depannya masih belum selesai.

Mereka berdua masih diam tak berganjak. Kelihatan risau dan keliru dengan apa yang mahu dilakukan seterusnya.

"Puteri Azalea! Tuan Puteri di mana? Tuan Puteri!" Suara itu asyik melaungkan Puteri Azalea. Dan diselangi pula dengan suara yang menjeritkan nama Cempaka.

"Cempaka! Cempaka!"

Jeritan itu kedengaran sayup pada mulanya. Namun semakin lama semakin kuat. Lantas otak Faris yang sedikit cekap pada waktu kemuncak itu mula terfikirkan sesuatu.

"Diorang dah makin dekat! Pergilah dengan diorang. Tak nak balik ke? A-aku... a-aku...," tergagap Faris nak bersuara tetapi ditebalkan juga mukanya lapan inci dan berkata, "aku nak tumpang sekaki."

Kedua-dua gadis itu mengerutkan dahi. Mungkin kurang mengerti bait bicara Faris.

"Tuan Puteri. Apakah Tuan Puteri mahu berangkat pulang ke istana?" Kata-kata Faris tidak diendahkan. Dalam membuat keputusan, Cempaka terlebih dahulu bertanyakan persetujuan Puteri Azalea. Setiap keputusan ada di tangan gadis muda itu.

Puteri Azalea menggeleng perlahan. Faris yang memerhati mengeluh hampa. Jawapan yang dinanti tidak kunjung tiba. Hati kecilnya memberontak. Kurang berpuas hati dengan keputusan si gadis yang memperakui dirinya Tuan Puteri itu.

'Ceh, istana konon.' Faris mencebik bibir.

"Tetapi jikalau Tuan Puteri tidak pulang, Sultan Alauddin bakal murka hebat terhadap Tuan Puteri," ujar Cempaka berbaur khuatir. Tangan Tuan Puteri digenggam erat. Disogok saja dengan kemurkaan sultan, dia sendiri akan kecut perut. Sudah diagak hukumannya nanti. Cempaka tidak mahu hal itu terjadi. Tuan Puteri di bawah jagaannya.

Puteri Azalea mengetap bibirnya. Ya. Keputusan. Apa yang dia mahu pilih sebenarnya? Melarikan diri atau kembali ke istana? Dan dikahwini dengan Tuan Jamil yang kejam dan tidam berhati perut? Tidak! Matanya terpejam rapat. Dia mahu menyambung saraf dalam otaknya supaya ada percambahan idea.

"Maaflah aku nak mencelah sikit. Makhluk yang mencari korang tadi dah makin dekat tau. Jangan nak buat drama kat tengah hutan ni. Kalau nak lari, meh ikut aku." Faris menggeleng menyampah. Perempuan! Drama je lebih. Kemeja putihnya diikat di pinggang. Dia sangat sayangkan kemeja berjenama lagi mahal itu.

Faris dengan pantas merampas kayu obor di tangan Puteri Azalea. Gadis itu kelihatan kaget dan Cempaka pula menayangkan wajah bengis.

"Apa pandang-pandang? Cepatlah!" Faris mengerah. Dia melangkah mengikuti arus sungai iaitu menuju ke hilir. Ilmu geografinya mengatakan bahawa air sungai mengalir daripada hulu iaitu puncak bukit ke hilir iaitu ke kawasan muara dan ke pantai. Nasib baiklah dia konsisten dapat C+ dalam subjek Geografi dulu. Dapatlah dia guna pakai secebis ilmunya. Berfaedah juga.

Cempaka memandang Puteri Azalea meminta kepastian. Dilihatnya Faris sudah tiga hingga lima langkah ke hadapan. Cahaya obor juga semakin menjauh. Kawasan mereka berdiri bergelapan.

"Tuan Puteri! Cempaka!" Suara garau seorang lelaki kedengaran lebih jelas daripada sebelum. Sah! Mereka sudah berada berhampiran.

Merasa panik, Puteri Azalea pantas menggenggam tangan Cempaka. Dia segera berlari mengikut jejak Faris jauh ke depan. Cempaka ditarik untuk berlari sama.

"Mari, Cempaka. Beta tak mahu dikahwini Tuan Jamil! Ayuh, cepat!" Tegas Puteri Azalea. Tangan yang satu lagi digunakan untuk mengangkat sedikit kain sarung yang dipakai.

Hendak keluar daripada istana memang agak susah. Hal ini kerana kawalan di istana yang sangat ketat belakangan ini. Jadi, dia terpaksa menyamar menjadi dayang dan menyusup keluar secara sembunyi. Mengapa hidupnya perlu dikongkong sebegitu rupa? Tiada kebebasan langsung!

Ketika langkah mereka menghampiri Faris, Cempaka bersuara.

"Tuan hamba! Berhenti!" Kemengahan dia dibuatnya. Kaki galah Faris langsung tidak dapat disaingi oleh kakinya yang pendek. Dan dua kali lima saja dengan Puteri Azalea yang turut kelelahan sambil mengurut dada.

"Apa hal? Kenapa? Nanti diorang kejar kita lagi. Korang kata nak larikan diri. Nanti dengan aku sekali kena tangkap! Err... maksud aku, kita." Faris mengangkat keningnya tinggi dan memaksa bibirnya mengukir senyum. Ayatnya dah berterabur entah ke mana.

Walaupun ayatnya kedengaran seperti dia sedang mementingkan diri sendiri, dia tidak kisah. Kerana memang itu yang dirasakannya sekarang. Dia kan perlu survive bak kata Rafeez.

Menyebut nama itu, bayangan Rafeez terlintas di fikiran. Bagaimana nasib sahabatnya itu? Hidup lagikah dia? Atau sudah...

'Ah, Faris! Apa yang kau melalut ni? Astaghfirullahaladzhim....'

Faris meraup wajahnya kesal. Tak sepatutnya dia berfikiran seperti itu. Seharusnya dia mendoakan keselamatan Rafeez. Bukannya membayangkan perkara yang negatif.

Seorang Faris perlu positif!

"Ke mana santunnya bahasa tuan hamba? Jangan bertingkah kurang ajar di hadapan Tuan Puteri!"

Ledakan suara Cempaka mematikan lamunan Faris. Cuak juga dia mendengarkannya.

"Aku cuma bagitau pendapat aku yang dianggap betul. Ada masalah ke dengan kau?" Faris membela diri. Rambutnya dikusutkan. Dia mungkin kelihatan serabai namun masih terselit ketampanannya di situ.

"Jikalau mahu melarikan diri, ke mana sahaja tuan hamba mampu memimpin perjalanan ini? Apakah tuan hamba tahu...." Belum sempat dia menghabiskan ayat, Puteri Azalea sudah memotong bicaranya.

"Cukup! Beta tak mahu dengar lagi! Tak usah kamu berdua bersengketa. Naik pusing kepala beta melayannya." Puteri Azalea mengeluh berat. Jemarinya naik memicit dahi. Kepalanya pening. Mata juga mula berpinar. Tekak dirasakannya loya. Dia hendak muntah!

"Tuan Puteri?" Tegur Cempaka kerisauan. Kelihatan bibir Puteri Azalea mula pucat dan merekah. Dirinya dihambat kerisauan. Cempaka bertindak memapah Puteri Azalea sebelum gadis itu rebah menyambah bumi.

"Eh? Kenapa dengan minah ini?" Tanya Faris ingin tahu.

Cempaka mendengus geram. Sudah lama menahan sabar mendengar pencemaran bahasa oleh Faris. Biadap!

"Baik! Aku tutup mulut. Takkan bunyi punya mulut aku ini. Tapi bagitahu sajalah apa yang tak kena dengan... uhuk... puteri kesayangan kau ini."

Memahami makna di sebalik dengusan Cempaka, Faris beralah. Berat pula mulutnya hendak menuturkan panggilan Tuan Puteri.

"Tiada keperluan tuan hamba mencari tahu. Sudah! Hulurkan obor itu kepada hamba."

Tanpa menunggu huluran Faris, Cempaka terlebih dahulu mengambil obor itu. Langkah diatur memasuki kawasan hutan iaitu menjauh daripada anak sungai.

Faris bingung. Tapi apakan dayanya? Dia tidak punya sesiapa kecuali dua makhluk berupa gadis itu. Ke mana saja mereka pergi, dia terpaksa mengekori daripada belakang.


Bicara SemalamWhere stories live. Discover now