_ 29 - R A H S I A -

180 27 0
                                    

Dia menyandarkan tubuh ke dinding di anjung rumah. Angin malam yang menerpa dingin kini tidak lagi mengganggu dirinya. Malah dia semakin selesa dipeluk bayu malam. Faris menatap lama bentangan langit. Lantas dihitung bintang yang bertaburan tanpa lelah. Dua bintang yang paling bersinar mengundang senyuman tipisnya.

"Bintang itu milik umi, yang satu lagi abah. Cantik," puji Faris sambil telunjuk menghala ke langit dan bergerak ke kanan dan kiri.

Sektika kemudian, perhatiannya berkalih kepada kotak kayu amanah dari Azalea yang berada di atas riba. Faris lantas memeluknya erat. Dia tidak pernah membuka kotak itu sejak penemuan aneh di atas kapal tempoh hari. Lukisan wajahnya pada papan kayu.

"Apa yang sedang engkau lamunkan, Faris? Mengapa tidak kau ke gelanggang silat Pak Kenit? Mereka pasti sudah menunggu kau di sana."

Satu teguran dari belakang menyentakkan Faris. Sebaik saja berpaling, wajah seorang wanita awal 40-an menghiasi pandangan.

"Tak ada apa, ibu Fatimah. Saya dah maklumkan kepada Pak Kenit waktu solat maghrib tadi tak dapat turut serta dia orang. Kaki saya tak sembuh dengan elok lagi," jelas Faris.

"Selalu saja yang tidak ada apa itu menggambarkan ada suatu hal yang aneh disebaliknya. Apakah kau tidak mahu berkongsi sama ibu Fatimah?" soal wanita itu seraya duduk bersimpuh di muka pintu rumah.

"Hal kecil je." Ibu jari Faris mengusap perlahan kain yang masih membalut kemas kotak kayu itu.

"Perihal sekecil apa yang menjentik kegusaran kau nak Faris?"

Fatimah kemudiannya mencapai botol minyak gamat yang berada berhampiran.

"Mana kaki kau yang sakit itu? Mari sini ibu Fatimah urutkan. Mengapa dari kelmarin tidak diberitahu sama ibu Fatimah? Kelak semakin teruk bengkaknya," bebel Fatimah tatkala kaki sebelah kanan Faris disapu minyak gamat.

"Terima kasih, ibu Fatimah."

"Tidak usah kau berdalih. Ceritakanlah sama ibu Fatimah apa yang mengganggu fikiran Faris."

Masih berpusing pada topik yang sama, Faris mencebik bibir. Dia enggan membuka mulut. Akhirnya, pilihan untuk berdiam diri adalah yang terbaik. Dia berlagak seperti ada harta karun dalam mulut yang tidak mahu dia kongsikan dengan sesiapa.

"Aduh, ibu Fatimah! Perlahan sikit. Sakitnya. Boleh patah riuk tulang kaki saya kalau urut ganas macam ni!"

Fatimah tergelak kecil.

"Itulah. Disuruh bercerita kau tidak mahu. Manalah kau tahu mungkin ibu Fatimah boleh leraikan ikatan yang tersimpul mati di dalam benakmu itu," pujuk Fatimah lagi.

Bagaimana hatinya boleh senang jikalau hampir saban hari hanya menatap wajah sugul Faris yang asyik termenung. Apabila Pak Kenit yang cuba soal selidik sendiri pun dia sentiasa hendak mengelak saja.

Anak muda itu sungguh menimbulkan tanda tanya dalam diri Fatimah. Kini dia sendiri mahu merungkai rahsia yang terlipat kemas dalam genggaman lelaki itu.

"Dari mana saya nak mula, ya?" Faris membuka mulut. Bersedia hendak memuntahkan emas di kerongkongnya.

"Mulakan saja dengan Bismillahirrahmanirrahim, Faris. Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang," ujar ibu Fatimah sambil mengulum senyum.

Faris mengangguk bersetuju sebelum sengihannya melebar.

Fikirannya melayang memutarkan kembali memori saat dia hilang arah di dalam hutan yang tidak dia kenal namanya. Hanya kepada Allah dia bergantung harap.

Pada malam itu jualah dia bertemu dua gadis yang berperilaku aneh. Salah seorang daripada mereka sebengis singa dan seorang lagi bak gadis melayu terakhir santunnya.

Bicara SemalamWhere stories live. Discover now