_ 52 - EMAK, AKU SAKIT -

122 20 4
                                    

Kepala masih berdenyut ketika mata yang dibuka sepet dirasakan berpinar. Berkerut wajah Faris seraya lengannya naik menutup wajah.

"Ali! Cempaka! Ikram sudah sedarkan diri," jerit Daus lantang.

Bergegar rumah itu seketika tatkala dua insan berlari anak mendapatkan Faris di tengah ruang legar. Bunyi papan berkeriuk berdendang seakan turut menumpang kegembiraan mereka.

"Minumlah dahulu airnya, Faris."

Cempaka menolak segelas air kepada Ali dan mengisyaratkan lelaki itu untuk membantu Faris meneguk air.

"Kita kat mana?" Sepasang mata kuyu milik Faris tidak berganjak daripada memandang lurus ke arah Cempaka.

"Di rumah Tok Rantau," ujar Ali yang sudah membiarkan tubuh Faris menyandar ke dadanya. Sesekali bibir cawan disuakan kepada lelaki itu sehinggalah dihabiskan sehingga ke titisan terakhir.

Faris kemudiannya melarik senyum nipis. "Aku terbang ke, Cempaka?"

"Ayah yang membawakan Faris pulang ke rumah kami pada hari kejadian itu. Kemudiannya, ayah menggesa kita untuk tidak berlamaan khuatir jikalau ketahuan dek sultan dan orang bawahannya," jelas Cempaka seraya gelas Faris yang kosong diisi semula airnya. "Jadi hamba meminta Ali dan Daus membawa Faris ke sini."

"Berapa lama aku tidur?"

"Telah empat hari berlalu tidurnya kau lena," jawab Daus.

Membuntang mata Faris mendengar. Terus sahaja duduknya lurus. "Serius?"

Ali dan Daus yang berpandangan kurang mengerti semakin mengerutkan wajah apabila mendengar Cempaka yang membalas tenang.

"Serius, Faris."

Faris terus sahaja meraup wajahnya kasar sebelum rengusan dilepaskannya kasar.

"Mengapa, Faris? Ada apa yang mengganggu fikiranmu?"

"Aku sudah berjanji dengan sultan. Pada keesokan hari perjumpaan kami, aku janji nak ke istana bagi menghadapnya."

"Apa perjanjian kau berikan padanya? Suatu yang pentingkah?"

Ali beralih untuk duduk berhadapan dengan Faris. Gusar hatinya mengetahui akan hal itu. Perihal sultan pastinya tiada siapa yang berani buat acuh tidak acuh sahaja.

"Aku janji yang aku akan bawa anak buah si Bedul untuk berjumpa dengan sultan. Dengan kata lain, aku nak yakinkan sultan yang aku seorang yang dia boleh percayai." Faris menggaru kepalanya yang tidak gatal.

"Kau telahpun mungkir janji, Faris. Aku merasakan bahawa mungkin sahaja kau kini menjadi sasaran untuk dibunuh oleh sultan. Kau juga boleh digelar pengkianat jikalau begini jadinya." Daus mula membuat andaian.

"Takkan sampai macam itu sekali?" Kali ini mencanak naik suara Faris. "Tapi aku kena pergi jumpa sultan juga."

Tiga insan di hadapannya langsung memandang dia dengan kerutan di dahi masing-masing.

Faris menghela nafas panjang seraya menyambung, "Cempaka dah selamat. Maksud aku, sekurangnya dia lebih selamat berbanding berada dalam lingkungan orang istana. Misi aku, selesai. Tapi kenapa masih ada di sini? Di zaman kau orang? Aku nak balik. Aku ada mak bapa yang tunggu aku balik."

Faris menggeleng perlahan. Kepalanya yang sedari tadi berdenyut diurut perlahan. Wajah masih beriak kosong meskipun dada mula merasa sebak.

"Aku tak faham. Aku tak faham apa keperluan aku kat sini."

Bahu Faris ditepuk Ali perlahan. "Kemudian, katakan kepada kami, Ikram. Apa yang harus kami lakukan untuk menghantar kau pulang. Apalagi ikhtiar kau kali ini?"

Bicara SemalamWhere stories live. Discover now