_ 57 - MAHKOTA YANG TERLUKA -

159 19 4
                                    

Aku hikayat yang terleka.
     Di kala raksasa membuka mata,
          aku hanya sembunyi di sebalik bayangnya.
                Membiarkan hanya dia yang bertakhta,
                      bersama mahkota yang terluka.

***

Jari telunjuk mengetuk kertas itu sebelum bergerak mengikuti satu garisan daripada gambar gunung ke titik tengah yang dipangkah dengan warna merah.

"Tuan Syed, yang dipangkah merah ini apa?" Anak mata Faris naik mencari seraut wajah yang mempamer gusar itu.

Lelaki itu meneguk liurnya sebelum mendesis, "istana."

Masing-masing berpandangan sesama sendiri. Suasana hening membuai diam bicara.

"Di dalam buku-buku ini, ada tulisan yang tidak aku mengerti bagaimana mahu membacanya," ujar Ali seraya mengusir sepi.

"Tulisan apa?" soal Faris. Tangan dihulurkan kepada Ali sebelum buku diserahkan kepadanya.

Buku itu dibelek sekilas sebelum tingkahnya terhenti pada satu halaman. Mata terus terpaku pada muka surat berkenaan.

Nafas Faris terhenti.

"Ini adalah satu catatan,"

Buku itu diletakkan di atas peta Indera Kara tadi. Mata terus jatuh pada setiap patah perkataan yang ada lalu menjadi guruh dalam benaknya.

"Catatan perihal apa, Ikram?" tanya Syed Abu Bakar tika dia turut mengerling halaman sama yang dibuka oleh Faris. Langsung kata-kata Ali diperakuinya. Tulisan yang dicoretkan di atas helaian itu sama sekali tidak mampu dibacanya.

"Penyeludupan senjata api."

Dalam helaan nafas, tiga patah kata meniti di bibir Faris seraya paras mata naik menangkap bayangan resah yang menujah molekul udara.

* * *

"Kau jangan sekali mereka-rekakan cerita!"

Bergegar Balairong Istana dengan suara yang tanpa segan silu menerjah pendengaran seisinya.

"Benar, tuanku! Pemuda ini hanya melemparkan tuduhan melulu. Asalnya juga tidak siapa tahu."

Satu suara garau menyusul. Kakinya laju menuju ke arah lelaki yang tegak berdiri menghadap sultan di atas singgahsana tanpa hiraukan dia.

"Daripada mana asal kau? Siapa bapa kau? Mengapa kau menuduh kami sebegitu rupa?"

Baju di bahagian dada pemuda itu dicengkam lalu diangkat tinggi.

"Faris Ikram. Cukuplah nama hamba menjawab apa pun soalan Tuan Nasir."

Faris tidak langsung mengalihkan pandang daripada wajah beriak kosong sultan yang bersemayam di singgahsana. Genggaman lelaki itu ditolaknya kasar.

Nasir mendengus kasar sebelum bertukar kerlingan dengan temannya. Dada turun naik menahan amarah. Di hadapan singgahsana, lututnya mencium lantai dan  kepalanya hampir jatuh sujud ke lantai. Dia mendesah kuat di kala melihat tubuhnya sendiri menggeletar hebat.

"Ampun, tuanku. Pemuda ini bicaranya seperti ular. Katanya berbisa memusnahkan. Patik dan Syahbandar Hashim tiadalah ada berbuat sedemikian rupa kepada tuanku malah tiadalah terdetik waima sebesar kuman pun di hati kami. Ampun, tuanku," ujar Nasir lantang sebelum menjeling tajam temannya yang sudah menjahit bibir dengan bisu sedangkan tadi mulut itulah yang dibuka luas menentang kata-kata si Faris Ikram.

Bicara SemalamWhere stories live. Discover now