_ 12 - S A L A H K A H ? -

242 37 33
                                    

"Apa yang Cempaka lakukan di sini? Apakah Cempaka bersama Tuan Puteri?"

Cempaka meneguk liurnya kesat. Langsung dia tidak menyangka akan dipertemukan dengan lelaki yang berhadapan dengannya kini. Kelu lidahnya untuk berkata-kata.

"Cempaka tidak apa-apakah?" panggil lelaki itu lagi.

"Ya. Cempaka baik-baik sahaja."

Cempaka menggenggam kain sarungnya kemas. Tidak semena-mena tangannya menggeletar. Tangkai rambutan dalam tangannya juga hampir terlepas.

"Apakah kau diberi izin oleh Tuan Puteri untuk ke mari?"

Cempaka mengangguk. Tidak berani bertentang mata, pandangan ditala ke batang hidung lelaki yang berpakaian segak itu.

Tok Pandan guru silatnya pernah berpesan, "Jikalau engkau merasakan gentar akan panahan matanya yang tajam bak burung helang, rendahkanlah paras anak matamu ke batang hidungnya. Nescaya kau beroleh keyakinan untuk terus bermadah kata."

"Jikalau begitu, tidakkah Cempaka meminta izin Tuan Puteri untuk pulang dan menjenguk orang tuamu di rumah? Sudah lima purnama berlalu dan sesudah itu jualah bapa dan emak menunggu kepulanganmu," ujar lelaki itu dengan riak prihatin.

Cempaka bingung seketika. Keadaan sekeliling yang riuh rendah sedikit sebanyak membataskan pendengarannya. Setelah dia mencerna apa yang didengar, Cempaka dihurung rasa serba salah.

"Sulong yang sedang sarat juga berduka menantikan kepulanganmu. Menjadi syahbandar tiada membenarkan aku seperti selalu menjenguk isteriku. Katanya, biarlah aku bergiliran pulang denganmu. Tetapi, apakan dayaku, Cempaka? Bersua juga tidak kita di istana."

Bukan niatnya yang tidak mahu pulang. Tetapi kawalan dalam istana semakin ketat. Tambahan pula, keselamatan Puteri Azalea diberi perhatian penuh oleh sultan. Dia diwajibkan untuk menjaga Puteri Azalea sepenuh masa. Tanggungjawab yang digalas olehnya sangat penting menyebabkan dia terpaksa memperjudikan waktu bersama keluarga. Dia tersepit antara dua situasi.

"Sejak Tuan Jamil ...."

Belum sempat Cempaka selesai berbicara, lelaki itu pantas meletakkan jari telunjuk ke bibirnya sendiri. Dia menggeleng perlahan.

"Namanya tidak usahlah disebut-sebut lagi, Cempaka. Orangnya sudah menjadi keutamaan istana. Tidak boleh kita sembarangan bicara. Marilah kita ke pinggir pelabuhan sana. Rasanya lebih enak kita berbual di situ. Mari."

Lelaki itu berpaling ke belakang sebelum meredah pusuan orang ramai. Dia memberi isyarat supaya Cempaka mengekorinya segera.

Tanpa berlengah lagi, Cempaka melebarkan langkah untuk menyaingi kelajuan lelaki itu yang sudah jauh ke hadapan.

"Mengapalah pantas benar Syed Abu Bakar melangkah? Tiada terkejar aku dibuatnya," bisik Cempaka masih berusaha menyusup melalui celahan pengunjung.

Sudah lama mereka tidak bersua muka dek kesibukan masing-masing. Jikalau berjumpa sekalipun, mereka jarang bercakap sesama sendiri jika tiada sebarang keperluan.

Cempaka berhenti berlari saat mereka tiba di jeti. Tidak ramai yang lalu di situ. Kebanyakan daripadanya merupakan anak dagang yang turun daripada kapal yang berlabuh di jeti.

"Sambunglah ucapanmu, Cempaka. Apakah yang kau mahu katakan berkenaan Tuan Jamil?" Syed Abu Bakar bertanya benar-benar ingin tahu.

Meskipun sudah arif dengan gerangan empunya nama, dia tetap ingin mengorek perihal yang mahu diberitahu oleh Cempaka. Persoalkanlah akan siapa saja yang tidak kenal dengan Tuan Jamil.

Lelaki bangsawan itu mempunyai pengaruh kuat kerana bilangan pengikutnya yang tak terkira banyaknya. Lahir pula dalam emas yang menggunung iaitu harta peninggalan nenek moyang. Tidak cukup dengan itu, bapanya yang mempunyai tiga kapal dagang diberikan kepada Tuan Jamil untuk meneruskan perniagaannya.

Bicara SemalamWhere stories live. Discover now