_ 48 - BERSUA AKHIRNYA -

123 18 0
                                    

"Pergi ke hujung pekan. Cari budak lelaki bernama Bulan. Dia akan bawa Cempaka ke tempat yang lebih selamat."

Cempaka mengangguk. Beberapa langkah beredar, dia menoleh kembali. "Faris, hati-hati."

"Mengisytiharkan, keberangkatan tiba Duli Yang Maha Mulia Baginda Paduka Sultan Daris Jamil Kelabu al-Buana ke Pekan Utama Indera Kara."

Sorakan orang ramai mula dilitupi sunyi. Masing-masing bergerak serentak membentuk satu laluan selebarnya.

"Ampun, tuanku."

Lutut mereka bersatu dengan tanah debu. Kepala menunduk tanda hormat akan figura dingin yang mengorak langkah penuh misteri ke arah pentas di mana Faris setia tegap berdiri.

Faris mengerling ke satu arah mencari Daus. Melihat anggukan bersemangat lelaki itu, dia selamba menarik hujung bibir melukis senyum.

"Kepada engkau wahai pemuda yang berada di atas sana. Sembah hormatlah dikau kepada Sultan Jamil pemerintah Indera Kara. Adapun tidak berbuat sedemikian rupa, pendurhakalah engkau kelaknya." Lelaki separuh abad yang mengiringi rapat belakang sultan terus lantang bersuara.

Langkah terhenti di hadapan pentas. Tangannya saling berpaut di belakang pinggang sambil menantikan tingkah pemuda yang masih pegun di hadapannya.

Tika menyedari setiap pasang mata yang ada di situ tajam memerhatikan dia, Faris kemudiannya maju ke depan sebelum menuruni anak tangga penuh hemah.

"Ampun, tuanku. Beribu-ribu ampun, sembah patik harap diampun." Faris turut sujud hormat kepada pemerintah Indera Kara itu.

"Geranganmu siapa? Namamu apa?"

Faris langsung mendongak sambil ersengih menayangkan susunan gigi putihnya. Dia terus bangkit sambil membuang debu pada seluarnya.

"Ampun, Tuanku. Patik mengetuai kumpulan anak silat daripada Kepulauan Melaka. Patik bernama Faris Ikram. Ampun, Tuanku."

"Wahai pemuda! Sultan tidak bertitah untukmu berdiri. Ke mana hormat dan adabmu di hadapan baginda?" Lelaki tadi bersuara menegur Faris.

"Asalmu Kepulauan Melaka?" Jamil menyoal.

"Benar. Patik berasal daripada Kepulauan Melaka, Tuanku."

"Wahai pemuda! Tanggalkan kain yang menutup wajahmu tatkala berbicara dengan baginda sultan." Faris ditegur lagi.

"Bagaimana jikalau patik tidak berkehendak?" Anak mata Faris lurus membalas renungan Jamil.

"Mengapa kau begitu biadab?" Lelaki itu tadi maju dengan kerutan di dahi.

Namun serta-merta langkahnya terhenti tatkala Jamil mengangkat tangannya menghalang.

"Biarkan sahaja pemuda yang angkuh begini. Lagaknya juga menjengkelkan seperti seseorang yang beta kenali." Jamil menarik nafas dalam sebelum berpaling dan mula beredar. "Laksamana, lekas kerahkan orang suruhanmu untuk mencari si pendurhaka itu dan para pengiringnya."

"Ampun, Tuanku. Lelaki inilah yang bersama si pendurhaka itu tadi. Bertanya sahaja kepadanya akan ke manakah perempuanitu telah disembunyikannya." Daripada barisan hadapan rakyat jelata, seorang wanita yang separuh abad maju setapak dan bersuara penuh berani. Sempat hujung matanya menjeling jelik ke arah Faris.

Bicara SemalamWhere stories live. Discover now