_ 58 - HUJAN MERAH -

120 16 20
                                    

Beberapa hari sebelum.

"Mengapakah kau menangis dan terus menangis, Fatimah? Ada apa ini, Bunga?"

Bunga menunduk gerun.

"Ibu Fatimah mengalirkan air matanya setelah membaca surat di dalam kotak kayu milik abang Faris."

"Surat apa?" soal Pak Kenit lagi. Dia kembali berpaling pada Fatimah yang teresak dalam dakapan isterinya.

"Aku mahu pulang ke Indera Kara esok pagi."

Riak wajah Pak Kenit langsung berubah kelat.

"Apakah kau sudah gila, Fatimah?" suaranya mencanak tinggi.

"Carikan aku kapal yang mahu belayar ke sana esok pagi juga."

Pak Kenit menggeleng laju seraya dia mencekak pinggangnya.

"Apa yang sedang kau fikirkan? Sudah hampir 20 tahun lamanya kau meninggalkan segalanya di sana."

Fatimah menarik nafasnya dalam. Air mata pantas dilap dengan kain sarung yang dipakai.

"Mimpi anakku, Kenit. Orang itu benar-benar wujud. Dia mendatangi puteriku."

Garisan pada dahi Pak Kenit mengendur.

"Fatimah, apa kau berkata benar?" Mak Sari di sisi menyoal.

"Iya. Apakah kau ingat, Sari? Aku pernah mengisahkan padamu perihal mimpi puteriku bahawa ada pemuda mendatanginya membawa penawar. Dan mimpiku pula perihal kehancuran lelaki itu." Kotak kayu di atas ribanya dibuka di hadapan Mak Sari. "Aku sesal, Sari. Kerana barulah hari ini aku mengetahui gerangannya siapa."

Papan kayu dikeluarkan buat tatapan wanita itu. Mak Sari langsung tergamam. Dipalingkan lukisan itu kepada Pak Kenit yang sudah melutut turut mengintai apa yang mengagetkan isterinya.

"Allahuakbar."

Ruang itu terkaku bersama nafas mereka. Hanya Bunga yang sedang hanyut dalam kekeliruan bersandar ke dinding dengan selamba.

"Baik, akan aku usahakan seupayaku." Pak Kenit langsung menabur janji.

Di kala itu, matahari belum menjengah ke dada langit menyerakkan cahayanya. Dingin bayu membelai lembut kulitnya. Langkah tetap akur menjejak dua lelaki di hadapan. Jemari kecil dan halus yang menggenggam tangannya dibalas kembali dengan kemas.

Pasar di pelabuhan sedia riuh meski dedaunan di pepohonan masih berembun. Para peraih sibuk menjual hidupan laut daripada nelayan kepada peniaga di pasar.

Bicara SemalamWhere stories live. Discover now