_ 51 - NERACA RINDU -

121 20 4
                                    

"Hujung Kampung Nyawa."

"Bukankah jauh tempatnya? Entah pulangnya ketika berlabuh sang senja," ujar Awang berbaur khuatir.

"Akan aku usahakan untuk pulang sebelumnya. Carikan alasan buatku, ya."

Dia menyarungkan kain sarung di kepala. Lantai dipijak dengan berhati-hati gusar ditangkap emak dan ayahnya.

Jalan sunyi di pinggir hutan menjadi laluan dia ke rumah Tok Rantau. Sudah mahir dia akan setiap haluan yang diambil kerana terbiasa melencong ke sana sini bersama Azalea satu ketika dahulu.

Dalam setiap derapan kakinya, segala kenangan bersama menggamit fikiran Cempaka. Tok Rantau merupakan sahabat akrab Tok Pandan. Alasan mahu berguru dengan pesilat tersohor itu senantiasa menjadi tiket laku keras untuk mereka berdua berseronok di luar istana. Dan rumah Tok Rantau dan pondok lama Pak Andaklah yang menjadi tempat mereka meluangkan masa.

Langsung bibir melarik senyum tanpa sedar akan titisan mutiara yang sudah meruncing ke dagu. Pipi yang basah dilap segera.

Beberapa kali dia hampir tersadung dek akar yang berselirat. Tubuh yang menggeletar digagahkan jua. Namun, detik yang berlalu seakan memakan sisa tenaganya. Rengusan kasar dilepaskan oleh Cempaka.

"Mengapakah kau selemah ini, Cempaka. Ke manakah engkau yang dahulu. Yang kuat. Yang tidaklah mudah mengalah?"

Dia terus melangkah. Lutut mula lembik seperti jeli. Telapak tangan pantas mencari tempat untuk menahan tubuh daripada terjelopok ke tanah. Pokok sebesar dua pemeluk itu menjadi sandaran Cempaka sebelum dia melorot jatuh. Nafas ditarik dalam.

"Sedikit sahaja lagi."

Memaksa diri sehingga melebihi had kemampuan meletakkan Cempaka di atas tali halus. Mahu jatuh ke arah manapun, tidak lagi menjadi perkiraannya. Yang berlegaran di dalam fikiran hanyalah, dia yang menjejak tempat yang dituju.

Kedengaran suara lantang beberapa lelaki di halaman rumah Tok Rantau memberi nafas lega buat Cempaka.

"Cempaka!"

Seorang lelaki yang paling muda di antara mereka berlari ke arah Cempaka.

"Mana Ikram? Mengapakah saudari ke sini sendirian?"

"Bolehkah berikan air? Hamba berasa dahaga benar."

"Ayuh masuk ke dalam terlebih dahulu. Saudari kelihatannya sungguh kelelahan."

Tidak cukup tiga pusingan, Bulan mengisi lagi air kosong ke dalam gelas dalam tangan Cempaka. Air yang mengalir keluar daripada mulut diseka Cempaka dengan hujung lengan bajunya.

"Bertenanglah terlebih dahulu, Cempaka. Andai tidak keberatan, bolehkan kami tahu keberadaan Ikram kini di mana?"

"Ada di rumah hamba. Dia dipukul dan sudah seharian tidak sedarkan diri."

Terbuntang luas mata Ali yang mendengar. "Dipukul? Oleh siapa, Cempaka?"

"A ... ayah hamba. Dan sekarang kami hanya punya waktu sehingga ke Subuh esok hari. Jikalau tidak, ayah akan menghadap sultan memaklumkan keberadaan hamba."

Ali menggigit bibir bawahnya. Kening tebalnya bertaut bersama kerutan di dahi.

"Kemudian, apa yang harus kami lakukan buat kalian," soal Daus seraya turut memancing perhatian Ali yang sudah melencong jauh dengan perancangan yang berselirat di dalam benaknya.

"Hamba ke mari kerana mahu kalian mengendongnya ke sini. Aku pula tidak mampu melakukannya."

"Baiklah. Jikalau tiada aral yang melintang, akan kami ke rumah saudari pada malam ini."

Bicara SemalamWhere stories live. Discover now