_ 8 - D O K T O R -

315 39 14
                                    

Jauh di sudut hati, Faris tidak senang melihat Cempaka begitu merendahkan maruah diri sendiri semata-mata untuk tuan puterinya.

Kepala Cempaka digosok perlahan. Senyuman tipis diukir. Terasa pedih bibir Puteri Azalea kerana permukaannya yang kering dan merekah tertarik. Kalau dia tersenyum lebih lebar, pasti akan ada darah menitik. Bibirnya pecah.

"Bangun... Beta... ampunkan Cempaka," ucap Puteri Azalea separuh berbisik.

Faris menarik nafas panjang. Dua gadis itu didekati.

"Dah habis ke belum penggambaran drama Akasia korang? Ada drama terbaru, tak? Boleh ambil aku sebagai heronya." Faris mengangkat keningnya sebelah.

Cempaka menjeling Faris sambil menyeka air mata dengan kasar.

"Ke marilah, Tuan Puteri. Perjalanan kita hendaklah diteruskan," ujar Cempaka lembut. Dia cuba membantu Puteri Azalea berdiri.

"Berhenti anak-anak. Ayah datang nak selamatkan kamu. Jangan risau, ya. Aman tanpa perang." Faris mengangkat kedua tangannya dan berlagak selamba.

Dia yang tiba-tiba bersuara mengerutkan dahi Cempaka.

Dia duduk melutut di hadapan Puteri Azalea dan mengisyaratkan Cempaka untuk ke tepi. Decitan yang disusuli rengusan kasar Cempaka tidak dia pedulikan.

"Kau naik je atas belakang aku. Kalau setakat badan kau yang kurus macam lidi ini, macam kacang je aku angkut nak pergi mana pun. Beres?" Ibu jari dan jari telunjuk Faris bertemu dan membentuk perkataan 'OK'.

Suasana senyap seketika. Faris memandang Puteri Azalea dan Cempaka bersilih ganti.

"Waima seinci pun tidak akan hamba benarkan tuan hamba mendekat!" Cempaka mencelah sedikit lambat. Sukar benar untuk dia mencerna bahasa ke laut Faris. Dia melintangkan tangan memisahkan Tuan Puteri dan Faris.

"Kalau aku tak tolong, tahun depan pun belum tentu kita boleh keluar daripada hutan ini. Cubalah kau tengok kawan kau. Dah nazak ini. Tak kesian kat dia ke?"

Faris tersenyum sambil mengangkat panji kemenangan melihat riak kerisauan pada wajah Cempaka.

"Janganlah tuan hamba bertingkah kasar dengan Tuan Puteri. Atau tuan hamba akan hamba cencang sampai lumat!" Cempaka mengepal penumbuknya dan ditayangkan di hadapan Faris.

"Wah, takutnya saya," Faris buat mimik muka mengejek. "Oh, ya! Meh sini aku nak bagitahu. Aku ada nama tau. Fa-ris. Faris. Berpintal urat saraf otak aku dengar kau guna perkataan hamba dan tuan hamba tu. Santai saja wahai temanku."

"Huh! Sungguh buruk didengar nama tuan hamba," balas Cempaka ringkas namun cukup untuk mengguris perasaan seorang Faris.

"Eh! Sesuka hati kau je nak kutuk nama aku."

Faris mendengus geram. Obor di tangan dihulurkan kepada Cempaka. Tanpa mereka sedar, mata Puteri Azalea sudah tertutup rapat. Badan gadis itu juga sudah terkulai layu pada batang pokok berdekatan.

"Weh! Err... Cempaka! Angkat dia naik atas belakang aku ini. Cepat!" Gesa Faris saat dia melihat keadaan Puteri Azalea yang semakin lemah.

Dia sebenarnya kecut perut dengan tindakan ini. Maklumlah, anak dara orang, kan? Tapi kalau tak dibantu, mereka tidak akan ke mana. Tambahan pula, Puteri Azalea memerlukan rawatan secepat yang mungkin.

Faris memperbetulkan niat agar tidak terpesong daripada landasan yang sepatutnya.

Tanpa banyak soal Cempaka menuruti arahan. Setelah itu, Faris bangun dan berdiri tegak. Tubuh Puteri Azalea itu dirasakan sangat ringan seperti kapas. Entah berapa bulan gadis ini tidak makan nasi. Chicken Chop ke?

Puteri Azalea memaut leher Faris bagi mengelakkan dia terjatuh ke belakang. Dagunya ditongkatkan atas bahu lelaki itu.

"Tajamnya dagu kau," bisik Faris ketika mereka meneruskan perjalanan yang diketuai Cempaka.

Tanpa membalas, Puteri Azalea lantas mengalihkan dagunya. Pipi cekungnya dilagakan pada bahagian belakang kepala Faris. Selesa juga dengan posisi begitu. Mata dikatup perlahan. Mungkin dia perlu tidur sekejap bagi menghilangkan rasa mual.

Entah berapa lama, mereka meredah denai yang berlumpur tanpa sebarang suara. Seperti seorang pakar akan selok belok dalam hutan, Cempaka melangkah dengan yakin. Dia tahu hala tuju langkahnya. Gambaran destinasi mereka sudah bermain-main dalam fikiran.

Faris yang hanya mengekori daripada belakang berdiam diri. Dia malas hendak bertikam lidah dengan Cempaka lagi. Penat juga kalau sudah membazir air liur tanpa sebarang hasil. Membuatkan dia kehausan saja.

Perut yang tidak diisi hampir 24 jam mula berkeroncong minta belas kasihan Faris.

"Sabarlah! Nanti aku bagilah kau makan. Takkanlah kau nak aku jadi kanibal!" Terkumat-kamit dia memarahi perut yang tidak faham akan situasi yang tegang ketika itu.

"Sebentar sahaja lagi sebelum kita tiba di sana. Far... tuan hamba bersabarlah dahulu." Tanpa berpaling sekilas pun, Cempaka berkata.

"Lambat lagi ke? Aku dah lapar tahap maksimum ini. Kasihanilah protozoa dan amoeba dalam perut aku yang menari-nari meminta diberi makan," Faris bersuara lirih.

Jika dibelek kembali fakta tadi, memang ke laut pengetahuannya. Tapi, ada dia kisah?

Bunyi suasana yang riuh dari kejauhan menyapa pendengaran Faris. Di setiap pembuluh darahnya seolah-olah direnjat elektrik keterujaan. Dia hanya mampu membayangkan makanan lazat yang bakal terhidang di depan mata.

'Ada perkampungan buniankah? Yang dua makhluk ini pun... bangsa bunian?'

Jantung Faris mula berdegup laju. Drama Sumpah Bunian lakonan Nora Danish suatu ketika dahulu terlayar di minda. Di dalam cerita itu, bunian yang masuk ke dunia manusia. Tapi kisah dia terbalik pula.

'Oh, Nora Danish! Apa yang harus aku lakukan? Ish... ada ke patut aku berharap kepada dia lebih daripada Allah SWT? Astaghfirullah....'

Faris beristighfar setelah menyedari kesilapannya.

"Ayuhlah! Kita sudah pun menghampiri Kampung Laut. Di sanalah ada satu gudang terbiar. Tuan hamba bawalah Tuan Puteri berehat di situ terlebih dahulu," arah Cempaka. Langkahnya lebih laju.

"Mana boleh! Bawa dia jumpa doktor! Kau nak kawan kau mati dulu ke?" Bentak Faris tak puas hati. Nada suara diperlahankan. Dia tak mahu kejutkan gadis di belakang daripada tidur yang pasti tidak berapa lena itu.

"Apa? Kotor? Apakah yang kotor!" Cempaka memaki Faris. Dia berpusing 180 darjah ke menghadap lelaki yang dirasakannya biadap.

"Bukanlah! Dok-tor. Doktor! Takkanlah itu pun kau tak tahu!"

"Apa dok-? Anjing? Tuan hamba ini berasal daripada negeri atas anginkah?"

Cempaka menghalakan obor ke arah Faris menyebabkan lelaki itu tersentak. Dia tidak tahu apa yang perlu dijawab. Hakikatnya otak sedang mencerna sesuatu.

'Di manakah negeri atas angin itu? Kayangan atau kerajaan langit Ayah Pin? Masha Allah.' Faris mendesah sendiri.

Tidak berpuas hati, Cempaka maju mendekati Faris. Dia bersikap lebih agresif sehingga bahang obor dapat dirasakan pada wajah Faris.

"Faris!" Jerit Cempaka geram.

..

Bicara SemalamWhere stories live. Discover now